Datuk Nik Aziz tidak setuju kahwin bawah umur

Wednesday, March 10, 2010

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau tidak bersetuju dengan perkahwinan bawah umur walaupun ia adalah sah dari segi agama.

Beliau berkata, Islam menggalakkan sesuatu perkahwinan untuk mendapatkan zuriat dan bukan semata-mata dilihat dari sudut untuk memuaskan nafsu dan amalan sunah Nabi Muhammad, semata-mata.

"Seperti juga kita makan buah durian adalah untuk mendapatkan rasa nikmat isinya, dan membuang segala benda yang tidak mendatangkan faedah seperti kulit dan bijinya.

"Begitu juga dengan berkahwin kita digalakkan bagi mendapatkan zuriat yang baik hasil percantuman jenis. Jadi saya tidak setuju jika kahwin terlalu muda, bawah umur seperti itu,” katanya.

Banyak cara lain yang boleh dilakukan untuk mengikut amalan sunah Nabi, bukan melalui kaedah perkahwinan cara itu, katanya mengulas tindakan seorang bapa dari Jelawang, Jeli, yang mengahwinkan anak perempuannya berusia 11 tahun dengan lelaki berusia 41 tahun, kononnya tuntutan sunah Nabi.

Ini adalah kejadian kedua membabitkan pernikahan budak perempuan di bawah umur di negeri itu selepas kejadian pertama membabitkan seorang bapa mengahwinkan anak perempuannya berusia 10 tahun di Pasir Mas sebelum ini. – Bernama

0 Komen:

Post a comment

 

ZONFINITI