Asiyah permaisuri Firaun

Sunday, March 28, 2010

Asiyah ialah isteri kepada Firaun. Beliau dikahwini oleh Firaun sejak kecil lagi, iaitu ketika berusia 12 tahun. Ketika Firaun sedang hebat melancarkan pembunuhan anak lelaki Bani Israel beramai-ramai, permaisuri Asiyahlah yang menyambut Nabi Musa ketika dihanyutkan di Sungai Nil dan menahan niat Firaun untuk membunuh baginda.

Nabi Musa diambil sebagai anak angkat oleh permaisuri Asiyah dan Firaun sendiri. Permaisuri Asiyah telah menerima ajaran Nabi Musa dan beriman kepada Allah SWT. Akan tetapi permaisuri Asiyah menyembunyikan keimanannya daripada pengetahuan suaminya Firaun.

Lama kelamaan, Firaun mengetahui juga bahawa permaisurinya telah menerima ajaran Nabi Musa dan beriman kepada Allah SWT. Firaun menjadi murka terhadap Permaisuri Asiyah.

Lalu Firaun pun pergi menemui ibu Permaisuri Asiyah dan menceritakan bahawa isterinya itu telah menderhakainya. Mendengar akan berita itu, ibu Permaisuri Asiyah datang menemuinya,

"Wahai anakku, ikut sahajalah kehendak Firaun itu," kata ibunya.

"Aku tidak akan sekali-kali kufur terhadap Allah SWT," jawab Permaisuri Asiyah.

Permaisuri Asiyah tetap dengan keputusannya iaitu mahu beriman kepada Allah SWT. Pujukan ibunya itu tidak berhasil. Firaun sangat marah, lalu diperintahkan para pegawainya menyalib Permaisuri Asiyah di tengah-tengah kota Misra. Firaun mahu penduduknya melihat bahawa dia sanggup menghukum sesiapa sahaja yang menderhakainya walaupun permaisurinya sendiri.



Permaisuri Asiyah digantung di atas palang dengan dipaku tangan dan kakinya. Alangkah terseksanya Permaisuri Asiyah ketika itu, namun Permaisuri Asiyah tetap bersabar dan tetap dengan pendiriannya mahu beriman kepada Allah SWT.

Firaun tidak boleh menahan sabar, lalu diperintahkan para pegawainya menambahkan seksaan ke atas Permaisuri Asiyah. Permaisuri Asiyah dipaksa memakan roti barli yang masin dan dikoyakkan kulit kakinya.

Nabi Musa juga menyaksikan penderitaan yang ditanggung oleh Permaisuri Asiyah, lalu Nabi Musa berdoa kepada Allah SWT agar Permaisuri Asiyah diberi rahmat oleh-Nya. Allah SWT telah memakbulkan doa Nabi Musa dengan mengarak awan agar melindungi Permaisuri Asiyah daripada panas matahari.

Dalam kezaliman Firaun, permaisuri Asiyah berdoa: "Ya Tuhanku, bangunkanlah untukku sebuah rumah disisi-Mu dalam syurga dan selamatkanlah aku daripada Firaun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku daripada kaum yang sangat zalim." Demikianlah doa yang hebat daripada seorang wanita bergelar permaisuri. Biarpun beliau mampu untuk kembali kepada agama Firaun dan menikmati kemewahan di istana, beliau menganggap bahawa kemewahan itu bersifat rapuh dan hanya untuk sementara. Cintanya kepada Allah jauh lebih kuat serta memohon syurga di sisi Tuhan Yang Maha Kekal.

Permaisuri Asiyah diseksa oleh Firaun sehingga menghembuskan nafasnya yang terakhir. Firaun telah memerintahkan para pengawalnya supaya melontarkan sebiji batu yang besar bagi mengakhiri hidup permaisuri Asiyah. Akan tetapi, Allah SWT telah mencabut roh permaisuri Asiyah sebelum batu itu mengenainya.

~ Petikan daripada buku 366 Kisah daripada Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI