Jins Samsudin terima PhD

Sunday, March 28, 2010

Saya harap kejayaan saya ini menjadi galakan kepada semua karyawan seni terutama generasi muda untuk terus belajar ke peringkat tertinggi bagi memastikan produk seni yang dihasilkan lebih berkualiti.”

Kata-kata perangsang itu disuarakan tokoh perfileman, Senator Tan Sri Dr Jins Samsudin, 74, yang menerima ijazah doktor falsafah (PhD) pada majlis konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) ke-23, semalam. Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, berkenan mencemar duli merasmikan majlis berkenaan.
Bercakap kepada media, Jins atau nama sebenarnya Mohamed Zain Shamsuddin, turut bersyukur kerana pada usianya, masih dikurniakan Allah SWT kesihatan yang baik sehingga berjaya menamatkan pengajian berkenaan. Bapa tiga anak lelaki itu berkata, sepanjang tempoh pengajian lebih dua tahun itu, beliau berjaya menyiapkan tesis bertajuk Filem Melayu 1930-an hingga 1960-an Sebagai Citra Budaya dan Sejarah Negara yang disifatkan cukup bermakna untuknya.

“Saya memilih 50 filem Melayu dari tahun 1930-an hingga 1960-an untuk dijadikan sampel kajian dalam proses menyiapkan tesis berkenaan. Bagi saya era perfileman pada masa itulah yang mengangkat sejarah dan martabat bangsa,” katanya.



“Antara filem yang dijadikan sampel kajian adalah arahan dan lakonan Tan Sri P Ramlee seperti Hang Tuah, Antara Dua Darjat dan Sejoli selain filem pertama lakonan saya iaitu Panca Delima,” katanya.

Jins berkata, dia bernasib baik kerana menerima hadiah RM60,000 melalui pengiktirafan sebagai seniman negara baru-baru ini, yang mana RM30,000 daripadanya digunakan untuk membiayai pengajian beliau.
“Pada awalnya, saya berhasrat membawa keluarga menunaikan haji, tetapi niat itu belum tercapai. Justeru, Insya-Allah selepas segalanya selesai saya berhasrat untuk menunaikan haji bersama keluarga,” katanya.

Ditanya apakah cabaran yang paling perit dihadapinya sepanjang tempoh pengajian, Jins berkata beliau tidak menganggap kepayahan menamatkan pengajian sebagai cabaran sebaliknya satu tanggungjawab yang perlu dipenuhi.

“Saya tidak pernah anggap ia satu cabaran, walaupun terpaksa berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Kampus UUM dengan memandu sendirian dalam usia mencecah 74 tahun, namun ia bukan alasan untuk saya mengalah," katanya.

Ketika ditanya mengenai perancangan masa depan, Jins berkata beliau berhasrat untuk merakamkan filem kisah Pasir Salak serta riwayat hidup P Ramlee ke layar perak yang akan ditayangkan ke luar negara.

Sementara itu, penerima pingat cemerlang, M Sharmila Rani, 28, berkata kejayaan ini sangat bermakna dan hadiah kepada suaminya, D Abszra, 28, yang banyak menyokong dan memberi semangat kepadanya untuk meneruskan pengajian.

Beliau yang juga pensyarah di Universiti Multimedia Melaka berkata, saat manis ini juga akan dikongsi bersama anak sulung mereka yang bakal lahir pada akhir Mei ini.

"Sebagai seorang isteri dan bakal bergelar ibu, saya perlu bijak membahagikan masa antara pelajaran, keluarga dan kerjaya. Walaupun letih, namun ia memberi kepuasan kerana segala kepayahan ini sudah berbayar.

"Justeru, saya berhasrat untuk menyambung pengajian di peringkat PhD dan sedang mempertimbang sama ada mahu penyambung pengajian di UUM ataupun di luar negara," katanya yang menamatkan pengajian dalam Sarjana Pentadbiran Perniagaan.
Admax Supports Eco-Living . Click here for 10 easy things you can do today to go green!

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI