4 perkara dikategori munafik

Wednesday, March 03, 2010

Golongan munafik wujud sejak zaman Rasulullah s.a.w lagi. Mereka berpura-pura mengikuti ajaran Islam tetapi hakikatnya hati mereka menyimpang daripada Islam.

Firman Allah bermaksud, “Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata, “Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sebenar-benarnya Rasul Allah’. Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah Rasul-Nya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.” (Surah al-Munafiqun, ayat 1). Dalam al-Quran, Allah menerangkan dengan jelas perihal orang Munafik malah menamakan satu surah, al-Munafiqun bagi menggambarkan bahayanya golongan itu.

Pada zaman Rasulullah s.a.w, mereka sentiasa berdolak-dalih apabila diminta keluar untuk berjihad ke jalan Allah.

Allah s.w.t merakamkan keadaan ini menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan juga dengan tujuan Ia hendak melahirkan dengan nyata akan orang yang munafik yang dikatakan kepada mereka. Marilah berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam), atau pertahankanlah (diri, keluarga, dan harta benda kamu)”... Mereka menjawab: “ Sekiranya kami mengetahui bagaimana hendak berperang , tentulah kami mengikut kamu (turut berperang).” (Surah Ali ‘Imran, ayat 167). Ulama mengkelaskan golongan munafik kepada dua. Pertama, munafik I’tiqadi iaitu kepercayaan dalam hati. Mereka hanya beriman kepada Allah secara luaran.

Mereka hanya berlakon di khalayak ramai, tetapi mendustakan agama Allah yang dibawa Rasul-Nya.


Firman Allah bermaksud: “Dan di antara manusia ada yang berkata: ‘Kami beriman kepada Allah dan hari Akhirat; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.” (Surah al-Baqarah, ayat 8). Golongan itu terkeluar daripada agama Allah.

Yang kedua disebut munafik ‘Amali iaitu yang berkaitan dengan perbuatan. Rasulullah s.a.w menjelaskan hal ini dalam hadisnya yang bermaksud: “Tanda orang munafik itu ada tiga; apabila berkata ia berdusta, dan apabila berjanji ia mungkir, dan apabila diberi amanah ia khianat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik yang jelas. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik hingga dia meninggalkannya iaitu apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran (menegakkan benang yang basah).” (Hadis riwayat Bukhari).

Secara fitrahnya, kita tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan kesalahan. Sudah tentu saban hari kita menuturkan kata-kata, membuat janji dan memikul amanah. Persoalannya, adakah kita melakukan perbuatan berkenaan dengan cara yang betul menurut kehendak Islam? Ataupun kita melakukan perbuatan itu mengikut cara orang munafik melakukannya? Persoalan ini hanya mampu dijawab dengan positif bagi mereka yang memiliki iman yang kukuh.

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI