Gambar Seksi Betty Benafe

Sunday, March 28, 2010

Pelakon dan penyanyi Betty Benafe sedikit pun tidak terkejut saat diajukan persoalan mengenai penyebaran gambar-gambar seksinya pada ketika ini di saluran media alternatif. Gambar yang menayangkan separuh daripada bahagian atas tubuhnya sehingga menampakkan pangkal payu daranya, kelihatan cukup berani sekali.


Lebih menimbulkan tanda tanya apabila Betty dilihat berposing dalam aksi seksi dengan gaya selamba sahaja di hadapan kamera. Ada yang berbaring, ada yang tertiarap dan ada yang kelihatan seperti seekor kucing yang sedang 'kehausan'.

Tidak perlu diperjelaskan secara terperinci di sini setiap pose berkenaan. Rasanya ia kurang sesuai untuk tatapan masyarakat tempatan yang semakin prihatin dan gemar mempersoalkan etika pemakaian individu terutama di kalangan artis.

''Memang kesemua gambar itu adalah saya. Ia dirakam pada penghujung bulan lalu untuk penerbitan sebuah akhbar mingguan bahasa Melayu yang pertama kali diterbitkan.

''Saya ditawarkan untuk meniru mana-mana karektor filem yang pernah ditayangkan untuk sesi fotografi itu. Lantas saya memilih watak Neytiri, seorang anak raja berjiwa wira dalam filem arahan James Cameron, Avatar,'' kata Betty berterus-terang.

Anak kelahiran Johor Bharu ini memberitahu, dia perlu menggayakan perwatakan Neytiri itu dan memilih untuk memakai baju sedemikian. Cara solekan dan dandanan rambut juga perlu seiring agar tidak kelihatan janggal.



Justeru, Betty menggayakan pose yang sama dengan Neytiri. Sebab itu, kelihatan dalam gambar berkenaan beberapa pose kurang sopan seperti menayangkan ketiak dan lurah dendam, selain beraksi terkangkang.

Cerita anak kacukan Melayu, Arab dan Jawa ini, sebenarnya terdapat ratusan gambar yang dirakam pada hari berkenaan. Secara dasarnya, Betty berpuas hati dengan hasil kerja jurugambar berkenaan yang berjaya menghasilkan gambar menarik.

Seingat Betty, ada sebahagian daripada gambar berkenaan yang tidak disiarkan telah dimuat naik dalam laman web sosial, Facebook milik jurugambar itu. Sudah pasti ia turut menjadi tatapan rakan dan bahan cerita selagi ia berada dalam akaun jurugambar tersebut.

''Hah, saya rasa di situlah bermula penyebaran gambar tersebut. Saya tidak merasakan ia adalah kesalahan besar kerana apa yang ditayangkan kepada umum berbeza dengan apa yang disebarkan di Internet.

''Saya juga tidak merasakan telah melakukan kesilapan kerana gambar itu adalah ekspresi fantasi sendiri. Saya meluahkan apa sahaja yang berada di fikiran mengikut konsep yang diminta. Sebagai artis juga, saya pastikan persembahan saya mencapai piawaian dan kepuasan tersendiri. Tak sangka pula ada pihak yang sanggup eksploitasi gambar itu,'' jelasnya.

Betty memberitahu dia akan dianggap sebagai berbohong sekiranya mengatakan kejadian itu tidak mengusutkan fikiran.

Sebagai manusia biasa, Betty tidak boleh menyekat hasrat jahat sesiapa sahaja yang tidak menyukai dirinya. Dia juga akui pasti melakukan kesilapan dan sepatutnya perkara itu tidak perlu diperbesarkan.

Apa yang lebih melegakan dirinya apabila cerita kurang manisnya itu mendapat sokongan penuh daripada buah hatinya yang juga penyanyi rock, Nash Lefthanded.

''Abang lebih mengenali diri saya. Dia tidak pernah ambil pusing dengan semua cerita buruk sebegini. Asalkan saya menjaga batasan yang dibenarkan. Itu sudah memadai,'' kata pemilik nama penuh Betty Ibtisam Abu Bakar Banafe ini.

Dalam masa yang sama, Betty juga menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan dia sengaja mencipta kisah percintaan untuk memastikan dirinya sentiasa mendapat publisiti.

Kononnya antara dia dan Nash dengan sengaja menggembar-gemburkan kisah 'kononnya' bercinta bagi meraih publisiti media, sedangkan realitinya mereka hanya berstatus teman rapat.

Tegasnya, itu bukan cara artis bernama Betty Banafe.

"Sebagai artis yang mempunyai platform tersendiri, saya tidak pernah menumpang populariti kekasih dan begitu juga sebaliknya. Masing-masing sudah mempunyai nama dan pengikut tersendiri," katanya sedikit tegas.

Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI