Tips hasilkan baja dan racun organik

Rabu, Julai 06, 2011

Pertanian organik adalah satu kaedah penanaman yang tidak menggunakan baja kimia atau racun. Namun setiap tanaman tetap memerlukan baja sebagai sumber makanan dan juga sering diserang oleh serangga perosak dan penyakit.

Terdapat dua jenis baja organik iaitu baja organik buatan kilang dan baja organik buatan sendiri.

Pertanian

Baja organik mudah didapati di pasaran sekarang berbanding sebelum ini kerana ramai orang telah sedar kebaikan pertanian organik.

Selain itu, baja organik juga boleh dibuat sendiri di rumah dengan menggunakan bahan-bahan yang ada di sekeliling kita.

Ini sangat sesuai bagi petani yang ingin mengurangkan kos dan tidak terlalu bergantung kepada produk baja organik di pasaran.

Sama seperti baja organik, racun organik juga boleh diperoleh dengan mudah di pasaran.

Ia juga boleh dibuat sendiri dan prosesnya sangat mudah. Kita hanya perlu memilih sama ada membeli atau membuatnya sendiri.

Selain daripada racun organik, kita juga boleh menggunakan tanaman penarik atau penghalau serangga (repellent).

Baja organik

* Baja organik adalah berbeza mengikut kadar unsur di dalamnya. Ada baja organik yang kaya dengan unsur N, P atau K.

* Baja organik N adalah campuran bahan organik (tahi ayam kering), gula perang (molasses), bahan aktif mikroorganisme efektif (EM) dan air bersih yang diperam selama antara empat dan lima hari. Selepas itu, baja boleh disiram pada batas dan tanaman.

* Baja organik P adalah campuran batang pisang, kulit buah-buahan dan air kelapa muda yang diperam selama dua minggu.

- Baja organik K pula boleh dibuat dengan mencampurkan sabut kelapa dan air dan dibiarkan selama dua minggu.

* Kulit telur dan sisa tulang juga boleh dijadikan baja. Kedua-dua bahan tersebut dibakar dan ditumbuk lumat.

- Serbuk yang terhasil ditambah dengan air dan direndam selama antara tiga dan empat hari. Siram pada tanaman yang baru mula berbunga.

Hormon Pertumbuhan Semulajadi

* Terdapat dua jenis baja hormon yang juga boleh dihasilkan sendiri iaitu fermented fruit juice (FFJ) dan fermented plant juice (FPJ).

- FFJ adalah campuran buah-buahan yang manis (betik, mangga, nangka, jambu) dan gula perang . Tambah sedikit air dan diperam selama antara lima dan tujuh hari hari. Cecair yang terhasil kaya dengan unsur P dan K.

- FPJ pula adalah campuran tumbuhan (rumput, sisa sayuran, sisa pangkasan), gula perang dan sedikit air bersih, dibiarkan selama lima hingga tujuh hari. Hormon ini kaya dengan unsur N.

- Tapis untuk mengasingkan cecair dan juga hampas. Hampas jangan dibuang tetapi ia boleh dijadikan kompos.

Penghalau serangga (repellent)

n Tumbuhan repellent ini biasanya mempunya bau yang kuat. Bau yang dihasilkan oleh tumbuhan itu sebenarnya yang menghalau serangga perosak.

- Beberapa contoh repellent iaitu serai wangi, kesum, kemangi, selasih, daun kari, limau purut, pandan, daun bawang, kucai, ketumbar, marigold, pudina dan sebagainya.

- Manakala tumbuhan yang boleh menarik serangga perosak ialah lobak putih, markisa, bunga Tunera dan jagung manis.

- Pokok repellent boleh ditanam di sekitar batas tanaman. Sebaik-baiknya tanam di bahagian angin sering bertiup supaya angin boleh menyebarkan bau pokok repellent ke seluruh kawasan penanaman.

- Selain itu, pokok repellent juga boleh dipangkas dan dipotong kecil untuk ditabur di atas batas. Potongan repellent akan mengeluarkan bau yang tidak disukai serangga perosak.

- Dan kaedah terakhir, semua daun pokok repellent boleh dicampurkan dan dikisar halus dengan sedikit air dan sabun. Cecair yang terhasil boleh disembur pada tanaman untuk kawalan serangga perosak.

Oleh Zaliza Mahat
Taman Pertanian Universiti, UPM
zaliza@putra.upm.edu.my

0 Komen:

Catat Ulasan

 

ZONFINITI