Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria 2011)

Friday, July 08, 2011

Putrajaya sekali lagi bakal ditransformasikan dengan keindahan bunga-bungaan yang berwarna-warni sempena Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria 2011).

Bertemakan Mawar Untuk Selamanya, Floria 2011 menampilkan penyertaan daripada 15 negara yang diwakili oleh para penggubah bunga terkemuka di peringkat antarabangsa.

Sepanjang sembilan hari Floria 2011, pastinya Putrajaya bakal diwarnai dengan pelbagai rekaan taman dan gubahan bunga indah lagi mempersona dari negara-negara Eropah dan Asia.

Ia yang diadakan di Pesisiran Tasik, Presint 2, Putrajaya juga bakal memberi ilham kepada para pengunjung untuk menampilkan terutamanya rekaan seni tanam untuk kediaman peribadi mereka.

Ilham dan keindahan hasil sentuhan para pereka tersohor dari seluruh pada Floria 2011 sudah tentu akan memberi kepuasan kepada mereka yang mencintai keindahan seni taman dan gubahan bunga.

Matlamat festival yang diadakan buat kali keempat itu ialah untuk menonjolkan Putrajaya sebagai bandar dalam taman dan menjadikan Floria itu sendiri sebagai ikon yang sinonim dan pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan itu.

Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman berkata, pemilihan mawar atau rose pula kerana ia bunga yang dikaitkan dengan elemen cinta dan kasih sayang.

"Elemen kasih sayang dilambangkan oleh mawar boleh diterjemahkan sebagai usaha murni kerajaan untuk memupuk dan menyuburkan kasih sayang antara rakyat berbilang kaum," kata dalam satu temu bual dengan pihak media baru-baru ini.

Pada masa sama katanya, Floria 2011 juga bakal menyediakan peluang perniagaan untuk usahawan tempatan sekali gus membantu menggerakkan ekonomi negara.

Sempena festival itu, Samsudin berkata, pameran mawar terbesar merupakan tarikan utama membabitkan lebih 60 jenis.

Dengan sasaran 800,000 pengunjung lebih 200 aktiviti harian telah dirancang selain persembahan hiburan dan kesenian untuk orang ramai.

Malah kata Samsudin, Floria 2011 juga bakal mencatatkan hasil jualan yang menarik dari 50 gerai, 55 khemah jualan produk seni dan kraftangan tempatan serta 40 gerai makanan dan minuman.

Pada tahun lalu katanya, Floria menjana RM1.6 juta.

Untuk tahun ini selari dengan temanya juga, sebanyak 12,000 pokok mawar dari pelbagai spesies akan dipamerkan.

Pameran bunga dan taman pula terdiri daripada 400,000 tumbuhan berbunga dan berwarna-warni.

Selain itu produk-produk hortikultur dan landskap, pertunjukkan taman, demonstrasi oleh pereka dan pertunjukkan bunga-bungaan akan turut menjadi tarikan.

Bagi penyertaan antarabangsa, ia membabitkan 13 taman dan susunan bunga New Zealand, United Kingdom, Amerika Syarikat, Hong Kong, Kanada, Korea Selatan, Taiwan, Jepun, Pakistan, Kenya, Indonesia, Macau dan Thailand.

Dua penggubah terkenal yang pasti menarik tumpuan pengunjung di Floria 2011 ialah Andy Djati Utomo dari Indonesia dan Joel Marc Frappier dari Kanada.

Frappier yang berpengalaman luas pernah dianugerahkan La Palme d'Or pada 2007. Dia juga pernah menjadi penggubah kepada artis terkenal seperti Celine Dion, Shania Twain, Lara fabian dan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair.

Sebelum datang ke Malaysia Frappier juga telah menggubah bunga untuk Putera William dan Kate Middleton yang berkunjung ke Kanada.

Turut diadakan sempena Floria 2011 ialah perarakan di tasik Putrajaya yang dinamakan 1Malaysia International Tourisme Night Floral Parade 2011 yang pertama kali dianjurkan.

Bagi penggemar bonsai, heliconia dan orkid, Floria 2011 juga menyediakan pameran spesies unik itu.

Yang pasti, bagi penggemar bunga dan seni taman, Floria 2011 menjanjikan 1,001 tarikan untuk mereka nikmati dan hayati.

Floria 2011 akan terus mencetuskan pelbagai peluang dan potensi dalam bidang-bidang yang berkaitan ekonomi, perniagaan dan keusahawanan.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI