3 kempen khas kesedaran wanita kerajaan Perak

Friday, July 15, 2011

Prihatin dengan pelbagai isu membabitkan wanita, kerajaan Perak menerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita mengambil langkah proaktif untuk menanganinya menerusi tiga kempen khusus.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan, Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan negeri, Datuk Hamidah Osman, berkata tiga kempen berkenaan ialah Kempen Rumah Harmoni bertemakan 'Keluarga Tanpa Keganasan', Kempen Wanita Bermaruah bertemakan 'Akhlak Mulia' dan Kempen Wanita Sihat bertemakan 'Keluarga Tanpa Diabetes'.

Katanya, Kempen Rumah Harmoni bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai, keluarga dan ibu bapa mengenai pentingnya mewujudkan keharmonian dalam keluarga dan mengelak berlaku keganasan rumah tangga di kalangan suami, isteri, anak serta datuk dan nenek.

"Oleh itu, perlu wujud perasaan kasih sayang antara suami isteri, ibu bapa dan anak, sesama adik beradik, antara cucu dengan datuk dan nenek kerana nilai sebegini semakin terhakis dalam masyarakat sekarang," katanya ketika ditemui Berita Harian di sini, semalam.

Ketiga-tiga kempen berkenaan dijadual dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, di sini, hari ini.

Hamidah berkata, Kempen Wanita Bermaruah pula untuk memberi kesedaran dan kefahaman kepada gadis dan remaja mengenai kepentingan menjaga akhlak serta mengelakkan perbuatan terlanjur sehingga melahirkan anak luar nikah.

"Kita juga akan mengadakan program TOT (latihan untuk pelatih) untuk kaunselor sekolah menengah, warden asrama dan kaunselor hospital mengenai teknik dan pendekatan untuk mendekati wanita dan remaja serta memberitahu mereka mengenai kepentingan menjaga maruah diri," katanya.

Beliau berkata, Kempen Wanita Sihat bertujuan menyedarkan wanita akan kepentingan mengamalkan pemakanan sihat dengan mengurangkan penggunaan gula dalam makanan, sekali gus mengelak kencing manis.

Katanya, ketika ini apa yang membimbangkan ialah penyakit berkenaan bukan lagi dihidapi oleh golongan tua, tetapi semakin ramai kanak-kanak turut menghidapnya.

"Justeru, menerusi kempen ini kita mahu memberitahu wanita bagaimana menjaga tabiat pemakanan, mengamalkan senaman, juga mengurangkan pengambilan makanan berisiko bukan saja untuk diri mereka, tetapi juga dalam keluarga," katanya.

Hamidah berkata, ketiga-tiga kempen itu yang akan dilaksanakan sepanjang tahun ini juga diadakan pada peringkat daerah dengan kerjasama Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) di setiap kawasan Parlimen.

Katanya, Jawatankuasa Hal-Ehwal Wanita Negeri Perak akan menyalurkan peruntukan diperlukan kepada MPWK dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan untuk menjalankan program serta aktiviti pada peringkat akar umbi.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI