Bunga Ixora (jejarum) tanaman hiasan eksotik

Isnin, Julai 25, 2011

Bila nama Ixora disebut ramai yang mengaitkannya dengan MPV pertama nasional Proton Exora. Ironinya, nama MPV itu bukan sempena nama bunga Ixora walaupun ada yang cuba mengaitkannya, lebih-lebih lagi sebutannya hampir sama.

Ixora atau bunga siantan, juga dikenali sebagai jejarum. Nama jejarum diberikan kerana rupa bunga berkenaan sebelum kembang seakan jarum peniti, manakala di India bunga ini dikenali sebagai jasmin India barat.


Bunga yang tumbuhan banyak di Asia dan kini boleh didapati di kawasan tropika di Amerika Selatan dan Tengah termasuk Florida di Amerika Syarikat menjadi hiasan pelengkap landskap kediaman dan kota berkenaan.

Selain ixora, bunga ini juga dipanggil sebagai bunga jarum-jarum, rangan, kheme, ponna, chann tanea, techi, pan, santan, bunga pecah periuk, semarak hutan dan geranium hutan.

Ixora adalah tumbuhan dalam keluarga Rubiaceae, mempunyai bunga kecil yang mekar segugus antara 2 hingga 9 sentimeter yang biasanya menjadi tanaman hiasan renek dan sederhana, selain pilihan utama sebagai tanaman pagaran dan pemisah sempadan.

Pokoknya biasanya boleh membesar sehingga tiga meter dan bunganya boleh didapati dalam pelbagai warna mengikut spesies pokok dari putih, merah, jingga hingga kekuningan.

Pokok Ixora merah dikatakan berasal dari pulau Jawa dan spesies yang terbesar dalam keluarga ini. Daun ixora merah juga lebih besar dibandingkan dengan jejarum lain.

Dilaporkan ada lebih 400 spesies ixora di seluruh dunia dan paling banyak dijumpai di Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura.

Bagi negara empat musim dan sub tropika ia biasanya berbunga pada musim panas tetapi di kawasan tropika ia berbunga sepanjang tahun, tidak mengikut musim. Ia boleh dibiakkan daripada keratan batang atau biji benih. Ia memerlukan cahaya matahari yang cukup dengan kadar air yang sederhana.


Ixora merah sering digunakan penganut Hindu dalam upacara keagamaan dan sudah lama menjadi ramuan dalam perubatan tradisional India terutama merawat penyakit berkaitan keputihan dan cirit-birit.

Akar pokok ini juga dikatakan menjadi ramuan masalah muntah, sedu dan anorexia manakala bunganya menjadi ramuan masalah cirit-birit dan keputihan melampau.

Daun dan batang lembutnya sesuai mengatasi masalah kulit, terkehel, melecur, luka atau tercalar manakala air rebusan bunganya sesuai meredakan tekanan, masalah berkaitan haid dan kesan alahan akibat mengandung.

Di benggala, akar pokok Ixora menjadi ramuan merawat masalah sakit perut manakala di IndoChina rebusan akar pokok ini dapat mengatasi masalah kencing kotor.

Spesies Ixora

* Ixora finlaysoniana dikenali sebagai bunga eksotik kerana bunganya putih berbau harum dan tumbuh renek. Ia banyak dijumpai di Thailand.

* Ixora bukan hanya mempunyai nama indah tetapi rupa yang cantik.

* Anda boleh rasakan kemanisan madu bunga Ixora hanya dengan menyedut hujung bunga.

* Bunga Ixora juga dijadikan ramuan perisa dalam makanan tradisional di Asia Tenggara seperti wajik. baunya yang manis dan sedikit harum menjadikan ia penghias rambut dan pewangi bedak.

* Spesies lain Ixora

Ixora albersii

Ixora brevipedunculata

Ixora calycina

Ixora coccinea

Ixora degemensis

Ixora foliosa

Ixora johnsonii

Ixora jucunda

Ixora lawsoni

Ixora malabarica

Ixora marquesensis

Ixora moorensis

Ixora nigerica

Ixora ooumuensis

Ixora pudica

Ixora raiateensis

Ixora raivavaensis

Ixora saulierei

Ixora setchellii

Ixora st. johnii

Ixora stokesii

Ixora temehaniensis

Ixora umbellata

0 Komen:

Catat Ulasan

 

ZONFINITI