Anugerah `Lelaki Baik' untuk lelaki baik di Kelantan

Saturday, July 23, 2011

Lelaki Kelantan yang mempunyai ciri-ciri baik dan boleh diteladani semua pihak kini dicari kerajaan negeri ini bagi dicalonkan untuk mendapat anugerah `Lelaki Baik'.

Lelaki yang dikategori baik itu termasuk mereka menjaga ibu bapa atau isteri yang sedang sakit, selain membesarkan anak bersendirian selepas kematian pasangan.

Gambar Hiasan

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Kesihatan, Wan Ubaidah Omar, berkata Kerajaan Kelantan akan memperkenalkan anugerah `Lelaki Baik' itu bagi menghargai jasa dan pengorbanan dilakukan lelaki terhadap keluarga mereka.

Beliau berkata, anugerah itu bertujuan menjadikan lelaki yang berbakti kepada keluarga, dijadikan ikon masyarakat.

"Dalam pencarian ini, kami akan turun ke setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mendapatkan calon sesuai untuk anugerah terbabit sebelum membuat saringan bagi menentukan mereka yang layak menerimanya," katanya selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Wanita 2011 sempena Kelantan Cheng Ho International Food Festival 2011 di Kelantan Trade Centra, di sini, semalam.

Beliau berkata, jumlah tidak terhad kerana bergantung kepada jumlah calon layak menerima pengiktirafan itu.

Sementara itu, kerajaan negeri juga akan memberi anugerah kepada penyampai radio Sinar FM, Salleh Yaacob sebagai penghargaan lelaki contoh berpoligami.

"Kita lihat Salleh tidak mempunyai masalah dengan empat isterinya, malah hidup bahagia walaupun berpoligami.

Kita akan menjemput beliau bersama empat isterinya untuk menerima penghargaan ini dan berharap menjadi contoh kepada lelaki lain yang ingin berpoligami. Sehingga kini jenis penghargaan masih belum ditentukan," katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI