Tarikh nikah Kris Dayanti 20 Mac 2011

Jumaat, Februari 04, 2011

Selepas sekian lama berteka-teki mengenai tarikh pernikahannya, penyanyi terkenal Indonesia, Kris Dayanti akhirnya mengumumkan bakal menikah 20 Mac ini.

Kris yang akan menamatkan zaman jandanya dengan usahawan ternama dari Timor Leste, Raul Lamos juga akan diraikan dalam satu majlis persandingan di salah sebuah hotel terkemuka di sini lima hari kemudian.

"Insya-Allah jika tiada aral melintang saya dan Raul akan bernikah 20 Mac ini," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Kris yang kini berada di kampung halaman bakal suaminya di Dili berkata, tarikh berkenaan dipilih bersempena dengan ulang tahun kelahirannya ke-36 pada 24 Mac.

Sehubungan dengan pengumuman itu, Kris mengharapkan ia sekali gus melenyapkan spekulasi kononnya dia sudah lama bernikah dengan Raul tetapi sengaja merahsiakannya.

"Tidak ada sebab untuk saya dan Raul merahsiakan pernikahan kami. Harapan saya peminat dan masyarakat akan mendoakan pernikahan saya dan Raul berjalan lancar," kata penyanyi yang juga ibu kepada dua cahaya mata itu.

Akhbar-akhbar tempatan sebelum ini melaporkan Kris dan Raul akan bernikah bulan depan tanpa pengumuman tarikh rasmi.

Kris bakal memakai baju rekaan pereka fesyen terkenal dunia, Vera Wang pada majlis persandingan sementara untuk majlis pernikahan pula, artis popular itu memilih pereka tempatan, Anna Avantie.

Artis popular dari Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan penyanyi tersohor negara ini, Ruth Sahanaya dijangka mengadakan persembahan pada majlis persandingan pasangan itu.

Ini merupakan pernikahan kedua buat Kris dan Raul yang juga bapa kepada dua cahaya mata.

Perkahwinan pertama Kris dengan komposer dan penyanyi Anang Hermansyah berakhir pada 2009 selepas 13 tahun mereka hidup bersama sebagai suami isteri.

– Utusan



Tag: Tarikh nikah Kris Dayanti

0 Komen:

Catat Ulasan

 

ZONFINITI