Kaherah kucar-kacir

Friday, February 04, 2011

Setelah 24 tahun di Kanada, Rafik dan Leila Baladi berpindah ke Kaherah dua minggu lalu untuk menetap di kota berkenaan.

Kini, seperti kebanyakan penduduk di ibu kota Mesir itu, mereka sibuk menyimpan air botol dan barang makanan keperluan apabila rusuhan terus berleluasa di kota yang dihuni kira-kira 18 juta penduduk ini.

"Kami tidak tahu apa yang bakal berlaku. Kami terlalu takut," kata Leila bersama suaminya menolak troli beli-belah yang penuh dengan dada ayam beku, kacang, susu dan barangan lain di sebuah kedai runcit di tengah Kaherah.

Setiap hari di Kaherah, keadaan kucar-kacir akibat bantahan antikerajaaan paling besar sejak berdekad lamanya di Mesir, bermula Selasa minggu lalu dan sejak itu terus berleluasa.

Sekolah ditutup dan perniagaan juga kebanyakannya tutup kedai. Kesesakan lalu lintas yang biasa dilihat juga berkurangan dan kehidupan malam kota itu juga terhenti dengan perintah berkurung bermula jam 4 petang hingga 8 pagi.

Untuk Isnin, pihak tentera memanjangkan tempoh berkenaan dengan menyatakan perintah berkurung bermula pada jam 3 petang.

Internet dan khidmat pesanan teks juga disekat sejak beberapa hari ini.
Untuk kebanyakan orang, mereka bimbangkan keadaan kucar-kacir tanpa sebarang penguatkuasaan di kota terbabit.

"Tiada wang tunai dalam mesin ATM, ada kira-kira 5,000 banduan yang berada di jalanan dan keadaan tidak selamat," kata May Sadek, ejen pegawai perhubungan awam yang tinggal di kawasan kejiranan kelas pertengahan di Dokki.

Terdapat kes banduan melarikan diri dari sekurang-kurangnya empat penjara di sekitar Kaherah dalam beberapa hari ini.

Pihak polis yang sebelum rusuhan itu boleh dilihat di hampir setiap sudut, juga bertempiaran lari pada Jumaat lalu, sekali gus memberi laluan kepada kes samun dan membakar bangunan.

Geng samun turut menyapu bersih pasar raya, pusat beli-belah dan kedai serta rumah dan apartmen mewah di kawasan kediaman golongan berpengaruh di pinggir kota.

Pada Isnin lalu, polis mula dihantar semula ke kebanyakan kawasan kejiranan.
Tetapi pada masa sama, lelaki muda turut mengisi kekoso�ngan ditinggalkan polis dengan menubuhkan jawatankuasa pertahanan kejiranan dengan senapang, belantan dan pisau bagi melindungi keluarga dan harta benda mereka.

Beberapa kumpulan pemuda turut menjadi pengawal lalu lintas di beberapa bahagian
di Kaherah sambil mengusir geng penjenayah yang men�jahanamkan kereta yang lalu lalang.

Naglaa Mahmoud, suri rumah berusia 37 tahun berkata, dia dan dua anak lelakinya tidak dapat tidur malam Sabtu lalu di rumah mereka di kawasan kejiranan Maadi di selatan Kaherah kerana bunyi letusan tembakan di luar dan bimbang�kan penyamun.

"Kami tidak dapat tidur. Suami dan abang saya turun ke bawah dengan kayu untuk melindungi kami daripada penyamun. Anak-anak saya akhirnya tertidur pada waktu subuh. Mereka cukup takut dengan bunyi peluru," katanya.

Ketika rusuhan terus berpanjangan dan seolah-olah tiada penghujungnya dalam masa terdekat ini, orang ramai berpusu-pusu membeli bekalan asas untuk menantikan keadaan selanjutnya.

Di sebuah kedai runcit di hujung kota itu, orang ramai menyimpan bekalan makanan, air dan barangan lain. Deretan kedai di kawasan kejiranan Zamalek, Mohandiseen dan Dokki kehabisan banyak barangan terutama roti dan air botol. Di sebuah kedai, air dijual tiga kali ganda daripada harga biasa.

Tetapi dengan bank ditutup dan kebanyakan mesin ATM tiada wang tunai, ramai yang mula merasai tekanan daripada jumlah wang simpanan mereka yang berkurangan.

"Kami tidak boleh mengeluarkan wang dan mempunyai wang tunai kurang daripada AS$170 (RM519) ketika ini jadi kami hanya membeli apa yang kami mampu dan cuba bertahan," kata Rafik Baladi, pemuzik dan penulis yang berusia 59 tahun ini.

Di bahagian selatan yang menjadi kawasan utama tunjuk perasaan, hampir semua bahagian hadapan kedai ditutup. Di seberang Nil di Dokki pula, hanya sebahagian kecil farmasi, kedai kopi dan tempat makan dibuka untuk meneruskan perniagaan mereka.

"Sejak Selasa lalu, hanya ada demonstrasi, tiada perkara lain. Kami terpaksa dibantu pejabat antarabangsa kerana kami tidak boleh bekerja tanpa Internet," kata Selma Abou Dahab, pengurus berusia 36 tahun yang bekerja di sebuah syarikat antarabangsa.

Kerajaan menghentikan capaian Internet di seluruh negara awal pagi Jumaat lalu. Perkhidmatan telefon selular juga dihentikan di beberapa kawasan.

Abou Dahab berkata, tindakan menghentikan perkhidmatan itu satu kesukaran yang besar berbanding perkara lain.

"Ia satu keutamaan untuk setiap orang. Ia seolah-olah me�nyekat kerongkong kami," katanya.

Bagi ejen hartanah berusia 26 tahun, Yassin Gadelhak, yang juga rakan kepada Sadek, inilah pertama kali mereka berada dalam situasi sedemikian.

"Ia bukannya soal berapa lama kami dapat bertahan tetapi persoalan berapa lama mereka (kerajaan Mubarak) mampu bertahan," katanya.

Sehingga seminggu lalu apabila pemberontakan terbesar mencabar pemerintahan 30 tahun Presiden Hosni Mubarak bermula, Mubarak dijangka cuba untuk menyerahkan kuasanya kepada anak lelakinya, Gamal, dalam usaha meneruskan kesinambu�ngan pemerintahan autokratiknya.

Penunjuk perasaan masih belum meninggalkan Medan Tahrir sejak Jumaat lalu dengan polis cuba untuk menghalau mereka dengan gas pemedih mata, semburan air, peluru getah malah memukul mereka.

Namun sejak kerajaan memerintahkan tentera untuk berkawal di jalanan malam Jumaat lalu, tunjuk perasaan kian aman dan pihak tentera juga tidak campur tangan.

Farida Jawad, guru Arab berusia 43 tahun dengan anak lelakinya, Jalil, 3, yang tertidur di pangkuan rakan, meluahkan harapan kebanyakan mereka yang berhimpun di medan itu.

"Saya membawa anak lelaki saya untuk menjadikannya saksi pada hari yang kehidupannya lebih baik berbanding kami," katanya.

Medan terbabit kelihatan lebih seperti sebuah kem bantahan setiap hari. Kira-kira 1,500 penunjuk perasaan berada di medan terbabit semalaman untuk beberapa malam ini. Ada khemah di kawasan rumput dengan beg makanan diletakkan berhampiran kelompok khemah manakala aktivis serta restoran makanan segera yang popular memberikan sandwic dan air percuma kepada penunjuk perasaan itu.

Malah ada peniaga yang berjaya melepasi kawalan dengan skuternya, membawa sekotak barangan penuh dengan bekas plastik kecil mengandungi kosheri – makanan jalanan popular Mesir yang dihasilkan dengan campuran makaroni, kacang dal, sos tomato dan bawang goreng – AP



Tag: al azhar mesir, kaherah riot, tunjuk perasaan mesir, universiti al azhar mesir

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI