‘Yang susah kami tolong, yang senang jangan sombong’ Hero Malaya

Thursday, February 03, 2011

Hero Malaya yang dicetuskan oleh pengacara, pelakon dan penyanyi popular, Aznil Haji Nawawi bermula dengan laman sembang antara rakan artis.

Ditubuhkan secara maya pada pertengahan bulan Disember tahun lalu, Hero Malaya yang terdiri daripada 21 orang artis terkenal tanah air kini bersatu bagi melakukan kerja amal.

Selain Pak Nil, artis lain yang terbabit ialah Fazley Yaakob, Shaheizy Sam, NasT, Aliff Satar, Imran Ajmain, Zahid, Altimet, Iqram Dinzly, Kamal Adli, Zoey Rahman, Syafie Naswip, Maulana, Farish Aziz, Riz Ainuddin, Adi Fashla, Cat Farish, Zizan, Zahiril Adzim, Erry Putra dan Fizo Omar.

“Hero Malaya merupakan laman sembang untuk merapatkan hubungan antara satu sama lain. Kami jarang berjumpa kerana sibuk dengan jadual seni masing-masing. Namun, dengan kemudahan teknologi, kami berkongsi banyak perkara mengenai kerjaya dan aktiviti seni serta bertukar pengalaman masing-masing.

“Malah, dari laman sembang ini, kami akhirnya menjadi adik-beradik yang sangat akrab dan dari situ timbul idea untuk membuat kerja kebajikan,”kata Pak Nil ketika ditemui semasa projek amal pertama Hero Malaya di Carrefour, Wangsa Maju baru-baru ini.

Apabila ditanya kepada Pak Nil, mengapa memilih nama Hero Malaya, penyampai radio Era FM ini memberitahu, “Nama ini dipilih secara spontan. Apa yang penting, semangat hero Malaya itu ada pada diri kita untuk memperjuangkan nasib adik-beradik kita.”

Menurut Pak Nil, walaupun hanya berbekalkan telefon bimbit Blackberry dan kecanggihan teknologi perkhidmatan mesejnya, projek amal ini akhirnya dapat dijayakan.

“Tuhan sangat Agung. Inilah keistimewaan teknologi ciptaan-Nya. Ia adalah satu permulaan yang baik untuk tahun 2011. InsyaAllah, dapat buat satu atau dua projek amal dalam sebulan sudah cukup memberi kepuasan kepada kami.”

Dengan slogan, ‘Yang susah kami tolong, yang senang jangan sombong’, Aznil memberitahu, mereka lebih selesa bergerak sebegini dan tidak merancang untuk menjadikannya sebagai sebuah persatuan.

“Kalau nak buka syarikat atau persatuan kena melibatkan banyak perkara. Buat seketika, kami lebih selesa bergerak macam ini,”ujarnya yang menolak dakwaan kononnya mereka mengejar glamour.

“Hero Malaya bukan ditubuhkan untuk mencari glamour, tapi untuk membantu mereka yang memerlukan. Kami juga tidak meminta derma kerana kami akan lakukan apa saja aktiviti yang diminta oleh badan yang sudi membantu kami.”

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI