Juara Pilih Kasih 2 Milik Siapa?

Sunday, February 20, 2011

10 minggu sudah berlalu memenangi hati pengkritik dan pengundi, debaran finalis program realiti Pilih Kasih musim kedua akan bernoktah dengan berlangsungnya kemuncak pentas yang dipancarkan secara langsung dari Auditorium Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Negeri Sembilan, jam 9 malam ini menerusi TV2.

Potensi, keberanian dan kesungguhan yang ada pada setiap peserta pada minggu lalu berjaya menagih simpati penerbit Pilih Kasih, Rosyam Nor mengekalkan tujuh peserta hingga ke pentas akhir malam ini biarpun pada perancangan asalnya hanya enam yang layak.


Bermakna Jay Iswazir, 29, Yuzwan Yunus, 24, Ku Hariz, 26, Livonia, 20, Mira Amnas, 20, Nur Jannah,24, dan Lia Natalia, 19, berpeluang membawa pulang trofi juara, sekali gus melangkah ke dalam industri seni lakon negara dengan lebih yakin.

Rosyam yakin anak didiknya musim ini tidak akan menghampakan dan mampu meneruskan kerjaya sebagai pelakon andai bijak mencari peluang.

"Keputusan saya turut disokong penonton setia program ini dan pengikut laman sosial Facebook. Jujur, pada minggu pertama, saya gelisah melihat persembahan mereka.

"Serba tak kena, keras macam kayu dan nampak tidak bersedia. Rupa-rupanya mereka terlalu gementar apabila di pentas. Untuk mengembalikan keyakinan mereka, kami berbual panjang.

"Alhamdulillah, selepas itu masing-masing menunjukkan peningkatan membanggakan. Bagi saya, semua peserta bagus dan kalaupun tersingkir awal, itu tidak bermakna mereka tidak ada peluang lagi untuk meneruskan karier sebagai pelakon.

"Peserta musim pertama ada yang tersingkir awal tapi lebih popular daripada mereka yang bertahan hingga ke minggu akhir. Saya bangga melihat mereka berpeluang beraksi di layar perak dan kaca.

"Malam kemuncak menjanjikan kelainan daripada bentuk persembahan. Peserta dicabar mementaskan monolog bersendirian, melakonkan drama yang skripnya diserahkan di set penggambaran dan untuk segmen teater pula menyanyikan lagu baru yang digubah khas untuk persembahan itu," katanya sambil memaklumkan Pilih Kasih akan disambung untuk musim ketiga dan ada beberapa negara berminat membeli konsep program ini.

Tenaga pengajar program ini iaitu Erma Fatima, Hamzah Tahir dan Aziz M Osman melihat peserta musim ini miliki kekuatan mental dan fizikal. Biarpun tidak cukup masa dan dikehendaki menjayakan 30 watak sepanjang 10 minggu, mereka mampu melaksanakannya.

Lebih membanggakan, mereka menampakkan peningkatan daripada pelakon kayu hinggalah mampu membawa apa saja watak dan mendapat pujian pengkritik.

"Saya kagum dengan mereka. Biarpun penat, mereka punya semangat kuat. Hanya orang tertentu boleh melalui cabaran ini dan pada saya, artis sedia ada pun mungkin tidak setabah mereka.

"Saya bukan saja guru tetapi ibu dan kakak kepada mereka. Saya akan pastikan mereka menjadi pelakon hebat. Mereka tidak akan dibiarkan kerana saya, Aziz dan Rosyam akan memanggil mereka untuk berlakon di bawah produksi kami," kata Erma.

Sementara itu, Aziz berkata dia meminta keizinan Rosyam untuk mengambil sebahagian peserta musim kedua menjayakan filem Azura dan sebahagian lagi akan membintangi drama Khatulistiwa yang akan memulakan penggambaran Mei atau Jun depan.

Selain gelaran juara, naib juara dan tempat ketiga, turut diperkenalkan anugerah Pelakon Terbaik TM.

0 Komen:

Post a comment

 

ZONFINITI