Sinopsis Filem Wayang

Saturday, November 15, 2008


Filem arahan Profesor Hatta bukan sekadar wayang kulit tetapi mengangkat nilai cinta yang universal

Filem: Wayang
Arahan: Profesor Dr Hatta Azad Khan
Pelakon: Eman Manan, Zul Huzaimy, Mas Muharni, Wan Kenari, Ida Nerina dan Mazlan Tahir
Genre: Drama

Persepsi sebahagian besar khalayak yang melihat Wayang sebagai sebuah filem warisan perlu diperbetulkan kerana produksi kedua Profesor Hatta Azad Khan selepas Mat Som cuma mengangkat wayang kulit sebagai latar cerita dan bukan subjek utama yang menggerakkan keseluruhan perjalanan Wayang.

Wayang adalah sebuah filem berlatarkan cinta dan kehidupan - cinta yang didasari keikhlasan lalu mengenepikan segala kekurangan antara pasangan muda, Awin yang buta ditangani Zul Huzaimy dan Melor yang sengau lakonan Mas Muharni.

Filem Wayang juga mengangkat subjek cinta yang universal untuk dibicarakan secara meluas dan matang, namun tidak pula meminggirkan aliran komersial yang dicari khalayak sekali gus membawa mereka ke panggung dan menyaksikan filem ini.

Cinta dan kasih Awang Lah, seorang dalang tersohor lakonan Eman Manan menjadi penggerak kepada perjalanan Wayang apabila dia didepani masalah untuk mengajar ilmu berkaitan wayang kulit kepada dua anak kecil serba kekurangan iaitu Awi dan Melor.
CINTA tidak mengenal sesiapa dan kekurangan juga tidak mampu mengusir perasaan suci itu.

Wayang juga menonjolkan realiti kehidupan - dalam putih akan ada hitamnya menerusi watak Jusoh, sepupu Awang Lah yang menganggap sumber rezekinya itu sebagai bertentangan dengan tuntutan agama.

Wayang turut mempamerkan pertentangan, perselisihan antara dua generasi di mana generasi tua iaitu Awang Lah mempertahankan wayang kulit perlu dipersembahkan seperti asal namun Awi pula menyelitkan unsur jenaka dan diperbaharui cara pementasannya untuk disesuaikan dengan kehendak khalayak semasa.

Mungkin perjalanan ceritanya ringkas, digerakkan

secara perlahan pada permulaan namun semakin dihayati, berdikit-dikit penonton akan tenggelam dalam permainan emosi hasil keberkesanan pengarahan serta lakonan pemainnya.
JUSOH menyimpan perasaan terhadap Melor tetapi ditolak gadis itu.

Wayang sebenarnya tidak membawa khalayak lari jauh daripada norma filem Melayu, tetapi apa yang wajar dipuji adalah cara persembahannya yang perlahan-lahan akan mengheret emosi penonton tanpa anda sedari.

Justeru, bukan sesuatu yang mengejutkan ketika larut dalam perjalanan ceritanya tiba-tiba ada air mata menitis kerana terbuai dengan alun Wayang yang mengesankan.

Kelebihan Wayang terletak kepada kekuatan setiap pemainnya yang berjaya melunaskan watak yang diamanahkan dengan berkesan.

Menonton Wayang umpama menyaksikan realiti perjalanan sebuah kehidupan yang dipersembahkan di atas kanvas di mana khalayak ialah pemain sebenarnya.

Di sinilah kelebihan Hatta yang mengumpan emosi khalayak dengan lakonan hebat pemainnya kerana setiap watak dizahirkan dengan baik.

Peminat Zul Huzaimy akan dapat melihat perspektif baru aktor berwibawa itu kerana dia berjaya lari daripada kebiasaan watak hitam yang acap kali diserahkannya kepadanya.

Sebagai Awi yang hilang penglihatan, lakonan jujur Zul Huzaimy akan mengundang simpati penonton malah membangkitkan perasaan marah dan geram kepada Jusoh lakonan Wan Kenari yang cuba mengambil kesempatan di sebalik kelemahan pemuda itu.

Alun momentum Wayang digerakkan Hatta penuh perisa kerana dia bijak memancing emosi khalayak di tempat yang tepat, lalu membuatkan mereka tenggelam dan tidak pulang kosong.

Lakonan hebat Eman tidak perlu dipertikai, begitu juga dengan Ida Nerina yang memberikan nadi kepada Wayang walaupun watak hampir serupa pernah dibawa dalam beberapa produksi drama yang dibintanginya.

Biarpun Wayang adalah pengalaman pertama Wan Muharni di layar perak namun persembahannya tidak mengecewakan, bahkan dia berupaya melakar nama besar jika mendapat kepercayaan penerbit.

Sinopsis Wayang:

AWANG Lah, seorang dalang tersohor tiba-tiba berdepan masalah apabila dipertanggungjawabkan menjaga dua anak istimewa iaitu Awi, kanak-kanak lelaki buta dan Melor yang bersuara sengau tetapi minat menonton persembahan wayang kulit.

Awi sekalipun buta mampu menghafal cerita wayang kulit dengan baik, manakala Melor pula pandai melukis patung dan menggerakkannya mengiringi cerita yang dituturkan Awi.

Apabila dewasa, Awi menyuntik elemen jenaka pada cerita berkaitan Hikayat Ramayana, namun percubaannya tidak disenangi Awang Lah.

Awang Lah berpendapat wayang kulit adalah seni yang tidak boleh dipinda atau diubah. Dia semakin serabut apabila menghadapi gangguan daripada sepupunya, Jusoh yang menganggap pekerjaannya itu bertentangan dengan agama.

Cinta berputik antara Awi dengan Melor. Jusoh yang turut menaruh hati kepada Melor menjadi marah dan mengganggu Awi sehinggakan Awi dituduh membakar panggung wayang kulit.

Pelbagai kemelut berlaku hingga satu hari, Awang Lah terjatuh ketika bermain wayang kulit.

Oleh Zul Husni Abdul Hamid

1 Komen:

Mahfot MH on 16 November 2008 at 01:09 said...

Wayang sememangnya satu filem yang sarat dengan segala rencah. Sememangnya ia telah digarap dengan baik sekali baik oleh keseluruhan produksi filem ini dari pengarah sehinggalah ke tukang pembancuh air.

Satu filem yang wajib di tonton.

Post a Comment

 

ZONFINITI