Nasir P.Ramlee meninggal dunia

Wednesday, December 17, 2008

Pelakon Nasir P. Ramlee, 55, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hari ini (17 Disember 2008) akibat sakit jantung dan kencing manis.

Allahyarham yang juga anak kepada Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dengan isteri pertamanya Junaidah itu meninggal dunia di HKL kira-kira pukul 5 petang.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke kediamannya di Taman Setapak di sini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Danau Kota, esok.

Filem terakhir lakonan Allahyarham ialah Budak Lapok yang dihasilkan pada tahun 2007.

Nasir, 55, mengadu sesak nafas dan badannya mengeras kira-kira jam 3 pagi semalam tetapi kembali stabil selepas disapu minyak angin.

Bagaimanapun, isteri Allahyarham, Suria Bakar, berkata pada jam 2 petang, semalam, Allahyarham dikejarkan ke hospital selepas mengadu sakit kepala.

"Sejak dua hari lalu, arwah tidak berselera makan dan banyak berdiam diri. Arwah memang tidak mahu dibawa ke hospital kerana bimbang ditahan.

"Pernah dia bercakap, saya akan menyesal jika membawanya ke hospital

"Tadi petang pun, saya terpaksa berkeras dan memujuknya supaya mendapatkan pemeriksaan di hospital tetapi katanya, dia mahu tidur dulu," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Setapak, malam tadi.

Selain sakit jantung dan buah pinggang, Allahyarham dilaporkan menghidap paru-paru berair dan darah kotor.

Nasir dilahirkan di Singapura pada 23 November 1953, hasil perkahwinan P Ramlee dengan Junaidah Daeng Harris.

Allahyarham meninggalkan tujuh cahaya mata, tiga hasil perkahwinan dengan isteri pertama, Mariati dan dua bersama pelakon Rashidah Jaafar iaitu Natasya, 23, dan Najua atau Nadia, 22. Beliau dikurniakan dua anak bersama Suria yang dinikahinya pada Disember 1999, iaitu Zakaria, 17, dan Zaidi, 16.

Allahyarham yang bertugas sebagai penyelaras muzik di Istana Budaya sejak 2001 pernah menerbitkan beberapa album kumpulan Panca Sitara dan adiknya, Dian P Ramlee di bawah syarikat Warnada.

Sebagai pemuzik, Allahyarham turut menghasilkan muzik untuk filem Manis Manis Sayang (1983), Bujang Lapok Kembali Daa (1986) dan Pagar-Pagar Cinta (1986).

Allahyarham juga pernah mencuba bakat dalam bidang lakonan dengan membintangi filem cakera padat, Bujang Lapok Kembali Daa... selain Anak Bapak dan Kalau Berpaut Di Dahan Rapuh.

Sementara itu, anak Allahyarham, Nadia berkata, kali terakhir dia menemui ayahnya dua minggu lalu ketika menjalani penggambaran untuk pementasan teater, Puteri Saadong.

Beliau mendapat tahu pemergian bapanya daripada pelakon, Fauziah Nawi.

Hadir menziarahi jenazah malam tadi, Pengerusi Persatuan Seniman Malaysia, Datuk Mustapha Maarof; Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lirik Tanah Air (Papita), Datuk M Daud Wahid; pelakon veteran, Abu Bakar Omar dan pemuzik, Hussein Ali.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, di sini, jam 11 pagi ini.

1 Komen:

Riesa said...

Al-Fatihah buat arwah...semoga roh dicucuri rahmat

Post a Comment

 

ZONFINITI