Selamat pengantin baru Mawi dan Ekin

Monday, December 22, 2008

Image Hosted by ImageShack.us

Image Hosted by ImageShack.us


Sebaik saja kaki melangkah masuk ke dalam Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang menjadi lokasi majlis persandingan keluarga pihak perempuan, aroma segar mawar merah bertebaran memenuhi suasana.

Pelamin yang tersergam indah, berlatarkan dedaun hijau serta lampu chandelier menerangi suasana seakan menggamit pasangan pengantin baru untuk singgah di sana.

Sejak awal lagi tetamu yang diundang begitu setia menanti ketibaan pengantin popular ini. Sambil diiringi gesekan biola yang mengalunkan melodi Kaulah Segalanya yang dinyanyikan Ruth Sahanaya.

Bak pahlawan melayu, Mawi kelihatan segak mengenakan kot baldu hitam yang direka khas Putra dari butik Cosry. Manakala Ekin kelihatan menyerlah dengan kebaya ekor meleret yang juga direka khas oleh pereka yang sama.

Selepas acara menepung tawar oleh ahli keluarga masing-masing, pasangan pengantin ini dibawa ke meja santapan. Sambil menikmati juadah enak iaitu nasi briyani, dalca, ayam masak merah serta pencuci mulut, tetamu dihiburkan dengan persembahan nyanyian bekas peserta Akademi Fantasia, Akma dan juga Haziq.

Bagi acara potong kek, sekali lagi pasangan ini bertukar pakaian. Kali ini Mawi tampil dengan memakai kot yang ditaja khas Lord's Tailor manakala Ekin kekal dengan rekaan Cosry.

Menepati janjinya untuk tidak berlebih-lebihan dalam mengadakan majlis perkahwinan, apa yang dikatakan majlis persandingan itu cukup ringkas dan tetamu yang hadir turut diberi peluang untuk beramah mesra dan merakamkan foto kenangan bersama pasangan pengantin.

Mungkin majlis persandingan ini bukanlah seperti majlis "Wedding of the Year' seperti yang diuar-uarkan, namun apa yang lebih penting, Mawi dan Ekin berjaya membuktikan jodoh mereka memang kuat dan walaupun pelbagai rintangan datang melanda sewaktu mereka melayari lautan cinta, namun kuasa tuhan tiada siapa yang dapat menghalangnya.

Selamat Pengantin baru Mawi dan Ekin. Semoga kekal hingga ke akhir hayat.

INFO: Sekitar perkahwinan Mawi dan Ekin

* SEHARI sebelum majlis pernikahan, Mawi dan Ekin tetap selamba seolah-olah tiada apa yang berlaku. Malahan pasangan sehati sejiwa ini sempat meluangkan masa meninjau persiapan terakhir yang dilakukan penganjur.

* SUASANA di persekitaran Masjid Sultan Abu Bakar di Johor Bahru, Johor tempat berlangsungnya acara akad nikah kedua mempelai kelihatan tenang dan terkawal walaupun kononnya ada yang menjangkakan kawasan itu akan sesak kerana akan menjadi tumpuan ramai.

* MAWI akui semakin tarikh perkahwinannya hampir, semakin kerap dia ‘bertemu’ dengan arwah bapanya, Ani Ahmad di dalam mimpi.

* UNTUK pakaian yang dipakai Ekin bagi acara akad nikah, bersanding dan sesi memotong kek serta dua helai pakaian untuk Mawi yang ditaja Cosry, semuanya bernilai mencecah angka RM47 ribu ringgit.

* BAGI acara akad nikah, penonton berpeluang menyaksikannya secara langsung di saluran Astro Oasis manakala majlis persandingan di sebelah malam, penonton mungkin berpeluang menyaksikannya menerusi Astro Prima dalam bentuk rakaman

* UNTUK pelamin di Stadium Tertutup MBJB, sebanyak 15 ribu kuntum mawar merah segar digunakan sebagai bahan penyeri.

* SERAMAI 30 anggota rela, enam polis dan 10 pengawal peribadi digunakan khidmat mereka untuk acara ini.

* PENGACARA yang mengendalikan majlis persandingan di Stadium Tertutup MBJB tersalah konsep apabila gaya percakapannya seolah-olah sedang mengacarakan konsert. Terlalu banyak menjerit hingga mengundang perasaan tidak puas hati ramai pihak.

* PENGANTIN nampaknya cukup mesra apabila memberi peluang kepada tetamu untuk merakamkan foto mereka bersama sebagai tanda kenangan

* TETAMU malam itu turut dihiburkan persembahan deklamasi sajak, tarian tradisonal, nasyid serta nyanyian daripada dua bekas peserta AF iaitu Haziq dan Akma.

* BEG kertas yang tertera gambar kedua mempelai dan berisi manisan menjadi hadiah cenderahati buat tetamu jemputan yang menghadiri acara akad nikah.

* SEBAIK saja acara selesai, bunga mawar merah yang menjadi perhiasan di meja makan turut dibawa pulang tetamu sebagai hadiah kenangan.

1 Komen:

linda said...

tahniah mawi!! world! semoga bahagia ke anak cucu!

Post a Comment

 

ZONFINITI