Pencarian Bintang Nostalgia Klasik

Saturday, December 13, 2008

LANGKAH demi langkah telah diatur oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi memastikan kehendak para pendengar serta penonton setia stesen penyiaran milik kerajaan itu dipenuhi, selain memenuhi tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat.

Menerusi saluran radio Klasik Nasional misalnya, RTM akan menganjurkan sebuah lagi pertandingan yang fokusnya bagi memartabatkan lagu-lagu klasik sepanjang zaman menerusi pertandingan Bintang Nostalgia Klasik Nasional 2008 (BNKN 2008).

Jika sebelum penganjuran pertandingan Bintang Klasik Nasional (BKN) kebanyakannya disertai oleh golongan remaja,lain pula halnya dengan BNKN 2008 yang membuka peluang kepada para pendengar berusia 30 tahun ke atas.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Abdul Rahman Hamid berkata, pertandingan tersebut diadakan bagi memenuhi permintaan para pendengar setia saluran itu terutamanya para pendengar berusia 30 tahun ke atas yang meminati lagu-lagu klasik.

“Pertandingan ini adalah satu lagi usaha RTM khususnya Klasik Nasional bagi memelihara serta menyuburkan semula irama lagu-lagu klasik sedia ada.

“Kali ini kita beri peluang kepada para peserta yang berusia 30 tahun ke atas kerana para pendengar Klasik Nasional bukan hanya terdiri daripada golongan muda semata-mata.

“Secara peribadi, saya sendiri pernah didatangi oleh beberapa artis veteran yang meminta pertandingan lagu-lagu klasik seperti yang dianjurkan sebelum ini turut dibuka kepada para peserta yang seusia dengan lagu-lagu tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Radio, Angkasapuri, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada sidang media itu, penaja utama pertandingan tersebut, Tengku Zaini Raja Baharudin yang juga pengasas T. Z. Emas Holdings Sdn. Bhd., menyerahkan replika cek tajaan bernilai RM75,000 kepada RTM.

Turut serta pada majlis itu ialah Pengarah Urusan Radio RTM, Norliza Mohd. Ali dan Pengawal Klasik Nasional, Chuari Selamat.

Kepada mereka yang berminat menyertai pertandingan tersebut, boleh hadirkan diri ke peringkat saringan di lokasi-lokasi terpilih iaitu di Metro Point, Kajang pada 13 Disember ini, Maju Junction, Kuala Lumpur (14 Disember) dan Klang Parade, Selangor (20 Disember) bermula pukul 10 pagi hingga 4.30 petang.

Lokasi lain termasuklah Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada 21 Disember, Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri, Kuala Lumpur (27 Disember) dan Seremban Parade, Negeri Sembilan (28 Disember).

Lagu-lagu yang disenaraikan untuk kategori lelaki ialah Cincin Belah Rotan nyanyian asal Ahmad CB, Hanya Nyanyian (S. Effendy), Hati Ku Kecewa (R. Azmi), Taman Puspawarna (P. Ramlee) dan Puteri Remaja (Jasni).

Sementara lagu-lagu untuk kategori wanita pula termasuklah Jangan Main Mata oleh Jamaliah Shariff, Cahaya (Normadiah), Jikalau Abang Merindu (Asiah), Mari Jalan Bersama (Saloma) dan Ikatan Janji nyanyian asal Asiah Tuah.

Pada peringkat saringan kategori lelaki dan wanita, johannya masing-masing bakal menerima wang tunai RM300, sementara naib johan (RM200) dan RM100 pula bagi pemenang tempat ketiga.

Seramai 12 orang peserta termasuk enam peserta lelaki dan enam wanita yang memenangi peringkat saringan bakal diserapkan ke peringkat akhir pertandingan itu yang akan diadakan pada tahun hadapan.

Johan bagi kedua-dua kategori bakal membawa pulang RM3,000 beserta piala iringan dan sijil penyertaan.

Selain piala iringan dan sijil penyertaan, ganjaran berupa RM2,000 disediakan untuk naib johan, RM1,000 untuk pemenang tempat ketiga dan saguhati RM300.

Di samping menilai vokal dan mutu nyanyian, para peserta juga akan diadili menerusi tarian serta pakaian mereka.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI