UMUM mengetahui, dua peserta wanita rancangan realiti tarian Sehati Berdansa 2, Amyza Aznan dan Lisdawati Nazaruddin telah menafikan sekeras-kerasnya isu bahawa mereka bersengketa dan bermasam muka baru-baru ini.
Hal itu sudah dijelaskan kedua belah pihak termasuk di dalam Kosmo! semalam. Maka tiada lagi episod mengaitkan dua pelakon drama terkenal ini punya sikap dengki disebabkan kedudukan markah atau perhatian peminat dan juri yang senget sebelah setiap minggu.
Kini, tercetus lagi isu baru membabitkan orang yang sama, Lisdawati. Kali ini lain pula ceritanya. Isu terkini mengatakan Lisdawati telah dipulaukan oleh peserta lain dalam rancangan berkenaan. Ini gara-gara sikap isteri kepada pelakon berkulit hitam manis ini, Fauzi Nawawi jarang bercampur gaul dengan peserta lain.
Lisdawati juga dikatakan cuba menolak untuk berkomunikasi dengan peserta lain dan dikatakan cuba menjauhkan diri daripada berinteraksi dengan pihak lain.
Hal-hal ini menjadi buah bicara orang dalam set dan di luar set Sehati Berdansa 2, sama panasnya dengan kisah dua pengacaranya, Linda Onn dan Fahrin Ahmad bertelingkah di lokasi.
SUDAH terang lagi bersuluh. Lisda dan Amyza tidak pernah bermusuhan, malah saling mengusik sesama sendiri.
Lisda ketika ditemui sempat menumpahkan seluruh emosi yang tidak terbendung dalam jiwa setelah ditafsir audiens bahawa dia menjadi penyebab utama masalah itu sekali gus mulai dijauhi rakan-rakan lain.
"Tiada istilah saya dibenci artis yang melibatkan diri dalam program realiti ini, sebaliknya mereka cukup tahu tentang perangai saya yang tak banyak bercakap.
"Tak tahu bagaimana isu saya dipulaukan oleh peserta lain ini wujud sedangkan selama ini saya tak pernah langsung mengacau mereka.
"Bahkan, saya sering buat hal sendiri dan tidak buat kecoh. Saya tak fahamlah dengan kata-kata yang tak berasas macam ini. Saya hanya jadi diri sendiri dan tak hipokrit," ungkap Lisda sambil mengerling ke arah si suami yang ada berhampiran.
Sambung Lisda lagi, sudah menjadi lumrah diri yang tidak banyak berbicara dengan orang sekeliling apatah lagi dia mengakui bukan mudah untuk serasi dengan individu lain lebih-lebih lagi dalam tempoh singkat.
"Semua peserta pertandingan ini tidak punya banyak masa untuk berbual disebabkan masing-masing sibuk mendalami corak tarian yang diamanahkan di konsert mingguan.
"Kami jumpa dua kali seminggu. Kalau di studio semua sibuk buat hal itu dan ini, jadi bila waktunya kami nak berborak? Kalau betul-betul ada perkara yang nak dicakapkan, barulah saya akan membuka mulut, lalu berborak dengan kawan-kawan lain.
"Lagipun saya tak suka borak kosong dan merapu tak tentu pasal sesama rakan lain, sebaliknya saya suka bercerita jika perbualan itu merangkumi skop lakonan, kerjaya dan perihal anak.
"Saya tak kisah kalau dikatakan sebagai orang yang sombong. Susah rasanya hendak memuaskan hati semua orang," tutur Lisda yang sememangnya memiliki personaliti sebagai wanita pendiam.
Menyifatkan dia bersama suami betul-betul ingin mengorek sedalam mungkin asas tarian dalam program ini, Lisda hanya berpegang kepada matlamat utama dalam menyertai Sehati Berdansa 2.
"Saya tak kisah nak berkawan dengan sesiapa dalam rancangan ini, sebaliknya saya selalu ingatkan diri agar tidak memikirkan perkara yang dapat mengganggu konsentrasi," kata Lisdawati.
Tolak publisiti murah
Menyertai rancangan Sehati Berdansa 2, juga bukan bertujuan untuk menambah musuh melalui persaingan dengan peserta lain. Jujurnya, Lis mengharapkan agar niat dan keinginannya difahami oleh semua pihak agar dia tidak lagi dikaitkan dengan hal-hal yang tidak sedap didengar selepas ini.
"Paling penting, saya nak belajar tentang ilmu tarian dengan lebih baik dan membantu badan kebajikan kami, Rumah Nur Salam.
"Itulah objektif sebenar kami sertai Sehati Berdansa 2. Bukan kerana nak glamor ataupun mencari publisiti, namun kami ingin mendapatkan pengalaman luas tentang bidang baru ini.
"Justeru, saya tak pernah terasa hati atau ambil peduli dengan khabar angin bahawa saya dipulaukan rakan Sehati Berdansa 2. Itu semuanya adalah persepsi dan pendapat orang luar yang sebenarnya tak tahu menahu tentang kesahihan perkara ini.
"Untuk menyenangkan hati, saya anggap isu saya dan Amyza bertegang-urat serta dipulaukan orang lain, saya anggap itu hanyalah usik-mengusik dalam memeriahkan lagi program ini," akui Lisda dalam nada penuh optimis tanpa dendam di hati.
Gara-gara bertegang urat
Gara-gara visual berselisih faham antara Sabrina Ali bersama pasangannya Shahrin Abdul Halim dengan pereka tari, Joshua Anak Jaralson Linang, barangkali dilihat menjadi faktor utama penyingkiran mereka dalam Sehati Berdansa 2, Ahad lalu.
Mereka yang menjadi pasangan keenam terkeluar carta itu bagaimanapun menafikan isu bertegang urat dengan Joshua, terus memakan diri.
Menurut Sabrina, percanggahan idea dan pendapat terlihat menjadi perkara normal disebabkan masing-masing memiliki isu yang harus dibangkitkan.
Namun, pertalian yang terjalin sejak beberapa bulan lepas kembali terjalin seperti sedia kala, selang beberapa minit kemudian tanpa masing-masing menyimpan amarah di jiwa.
"Kami jadi diri sendiri sewaktu berada di depan kamera. Kami tak berlakon atau pura-pura baik depan audiens.
"Perkara bercanggah pendapat dengan Joshua memang benar-benar terjadi, tetapi ia sebenarnya pergaduhan manja.
"Lebih baik kami meluahkan segala perasaan kurang puas hati supaya Joshua mengerti sedalam-dalamnya tentang apa saja yang kami mahukan.
"Buat apa kami nak simpan jika ada sesuatu yang kami rasa kurang berpuas hati dan perlu diperbaiki untuk kesenangan semua pihak kelak.
"Lagipun rancangan ini dihasilkan bagi tujuan kebajikan, jadi tidak manis jika kami gaduh berpanjangan.
"Seboleh-bolehnya kami memang berusaha untuk menyelesaikan masalah dalam masa itu juga," luah Sabrina yang suka berterus-terang.
Pelakon jelita ini bersama suaminya, Shahrin yang mewakili Persatuan Kesihatan Mental Malaysia menyampaikan replika cek berjumlah RM6,000 kepada persatuan tersebut sebaik sahaja diumumkan pengacara, Fahrin Ahmad dan Linda Onn sebagai peserta keenam tersingkir.
Menurut pasangan itu lagi, penyingkiran ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan, malah ia sudah dijangka semenjak minggu ketiga dek melakukan sedikit kesalahan semasa mempersembah tarian berentak Hip Hop.
Rentetan itu, Sabrina dan Shahrin mulai menyedari bahawa kedudukan mereka sentiasa berada dalam kedudukan paling tidak selamat saban minggu.
Nasib terus menyebelahi pasangan ini setelah beberapa kali mereka terselamat hinggalah akhirnya mereka mendapat undian terendah kali ini.
Optimis dengan ketentuan itu, Sabrina dan Shahrin mengakui tidak menyalahkan pereka tari mereka apatah lagi Joshua merupakan pereka tari yang berpengalaman dan kreatif dalam mengadun rentak tari.
Hakikatnya, Sabrina memandang kekalahan itu sebagai tuah yang tidak menyebelahi mereka untuk bertahan ke peringkat akhir seterusnya merangkul gelaran juara Sehati Berdansa 2.
SABRINA dipeluk jurutari, Norhayati Yusof setelah pasangan ini diumumkan kecundang pada minggu keenam sambil diperhatikan Fahrin.
Sabrina yang sentiasa berpijak di bumi nyata tidak sesekali berharap kepada popularitinya untuk meraih undi kerana dia bukanlah seorang selebriti terkenal yang sering meraih tumpuan media.
Si suami yang hanya diam termangu awalnya memberitahu, dia sedar baik dirinya ataupun Sabrina bukannya popular, malah kurang dikenali dibandingkan peserta yang kekal.
"Saya dan isteri tahu kami tak popular. Lantaran itu, kami tak meletakkan sebarang harapan tinggi untuk menang.
"Sebetulnya, kami memang sudah menjangka akan tersingkir sejak minggu ketiga lagi.
"Walaupun tak berjaya teruskan perjuangan kami hingga ke peringkat akhir, namun saya dan Sabrina berbangga kerana kami adalah pasangan yang berani melaksanakan bermacam aksi stunt.
"Bukan nak berbangga diri, sebaliknya keberanian kami ini cukup dikagumi penari profesional kerana mereka tidak menyangka kami boleh buat aksi menjurus kepada stunt meski bukan profesional," jelas Shahrin teruja.
Kalau diperhatikan dalam program itu hujung minggu lepas, Sabrina seolah-olah tidak dapat menerima kenyataan bahawa mereka tidak akan bersama berdansa lagi selepas ini. Bukannya tidak berpuas hati dengan penyingkiran muktamad itu, sebaliknya Sabrina sedih kerana dia harus mengucap salam perpisahan buat rakan seperjuangan lain.
Biarpun mereka sekadar bertentangan mata dalam tempoh yang singkat; dua kali seminggu, namun Sabrina tidak dapat menahan air matanya daripada jatuh kerana perhubungan yang terbina, menjadi semakin akrab saban minggu.
"Saya menangis bukan sebab disingkirkan, cuma sedih kerana tak dapat berjumpa dengan kawan-kawan lain lagi, terutama Sasha dan Amyza," jawab Sabrina ringkas sambil mengelap air mata emosi yang gugur dari kelopak matanya.
Oleh FAIZAL SAHARUNI
Lisdawati dipulau peserta Sehati Berdansa?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment