“Aksi 'cium' itu hanya satu permainan!” - Nik Zaris Nellydya

Thursday, December 18, 2008

Kemunculan laman sosial yang cukup popular di kalangan remaja kadangkala mendatangkan masalah terutamanya kepada golongan yang dikenali masyarakat. Sebelum ini pun, beberapa artis muda tempatan sudah ‘rebah’ setelah gambar aksi yang mereka yang kurang sesuai disebarkan menerusi internet. Kadangkala kejadian ini berlaku bukan kerana silap mereka yang tidak berhati-hati, tetapi kerana orang lain seperti kawan-kawan mereka sendiri yang menyiarkan gambar berkenaan di laman web sosial milik mereka.

Terbaru, pelakon muda yang membintangi drama rantaian popular Spa Q dan Spa Q 2, Nik Zaris Nellydya Nik Sen, 14, yang mesra dipanggil Nelly pula menjadi mangsa. Gambarnya yang sedang ‘bercium’ dengan seorang jejaka yang dikatakan teman lelakinya disebarkan di laman-laman gosip. Biarpun sekeping kad diletakkan di tengah-tengah mulut tetapi gambar itu menimbulkan polemik kerana usia pelakon berkenaan yang masih terlalu muda berada dalam keadaan seperti itu. Sinar Harian menghubungi Nelly sendiri untuk meminta penjelasan daripadanya.

“Itu sebenarnya cuma satu permainan yang dibuat sewaktu Hari Raya Haji tempoh hari. Mama buat ‘makan-makan’ jadi sepupu, saudara mara dan kawan-kawan dijemput hadir ke rumah. Kami kemudiannya bermain pas kad dari mulut ke mulut dengan disaksikan keluarga saya termasuk mama, kakak dan adik-adik. Mereka tiada masalah pun dengan perkara ini, malah saya ada gambar-gambar lain yang menunjukkan kehadiran mereka,” ujar Nelly yang kini berada di Jakarta. Mengikut perancangan, dia dan keluarga yang bercuti di sana akan bertolak pulang petang ini (semalam).

Ditanya lebih lanjut tentang hubungannya dengan lelaki dalam gambar berkenaan Nelly menjelaskan: “Tidak perlulah saya sebutkan siapa namanya tetapi dia bukan teman istimewa kerana saya masih terlalu muda untuk bercinta. Dia cuma salah seorang kawan sekolah yang hadir ketika itu. Sewaktu permainan kad itu berlangsung dia tidak berada di sebelah saya, tapi apabila seorang demi seorang terkeluar akhirnya kami duduk bersebelahan.”

Biarpun nada suaranya kedengaran agak terkejut ketika mula-mula diajukan pertanyaan tersebut, Nelly bagaimanapun menyatakan dia tidak berasa gentar dengan isu yang timbul kerana dia berada di pihak yang benar, apatah lagi kejadian berkenaan berlaku di rumahnya sendiri.

“Apa pun pandangan orang, bagi saya itu cuma satu permainan biasa dan gambar itu pun bukannya menampakkan saya berbuat sesuatu yang teruk sangat macam bercium betul-betul. Lagipun segala-galanya berlaku di rumah saya dan disaksikan keluarga,” tegas Nelly yang bercita-cita menjadi seorang juruterbang satu hari nanti.

Menurutnya, dia kini sibuk berlakon Spa Q 2 membawa watak Melissa dan berkemungkinan besar, dia akan memperlahankan seketika aktiviti seninya pada tahun hadapan bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

~ Sinar Harian

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI