Sang lelaki dan puaka
Damai pagi tiba-tiba tergugah. Kemunculannya di muka desa selepas sedekad, menyumbat kejutan setempat. “Di... dia balik …di...di... dia balik!” laung seorang teruna gagap lewat empat puluhan menyentap bualan pagi di warung pangkal simpang.
Dari jauh, dari arah Bukit Rimba, dengan suluhan sinar pagi yang cerah, kelihatan kepalanya berbalut, tangan kiri beranduh, ketiak kanan bertopang dengan kaki yang rengkot, mengheret kepayahan diri. Dia dipapah terus ke laman rumah Sidang Jumari. Simpati terbelit dalam jemala kumpulan lelaki yang mengiringi.
“Kamu?”
“Saya pulang...” suara sebaknya terputus, menguis hening yang menyambut sejenak sapaan Sidang Jumari. Sidang Jumari menuruni tangga lantas memaut tubuh kurus bekas anak buahnya. Lama dakapan itu. Mendakap sesalan.
Sekilas, dia terpandang lelaki yang berdiri di tangga masjid sebelah timur rumah Sidang Jumari.
“Tinggallah saja di sini anakku. Kamu lebih diperlukan di sini, membantu rakan-rakan mempertahankan Desa Lembah ini. Memperjuangkan masa depan desa ini. Kamu pemuda paling dihormati, paling berwibawa dalam kalangan rakan-rakanmu...”
“Maafkan saya Pak Guru. Sudah bulat tekad saya. Di situ, ada sinar saya nampak menyuluh masa depan; terasa ada makna kehidupan menunggu. Terpeta di mata hati saya di Bukit Rimba ada kejayaan untuk saya teroka. Ada kebahagiaan menanti”. Lelaki yang baru pulang teringat kalimat-kalimat akhir yang diucapkan kepada Pak Guru. Membidas rasa kebersalahan yang bergayut
Tanpa bertangguh dia terdengkot-
dengkot menghambat bekas Pak Gurunya yang masih berdiri di tangga masjid. Sidang Jumari dan yang lain-lain menyongsong. Si teruna gagap lantas meluru mendahului. Tersengih-sengih
“Pak Guru... saya pulang!". Pak Guru, ditenung legat lelaki yang menyerah diri itu. Sepuluh tahun, sudah banyak yang terhakis dari wajah bekas anak kesayangannya itu. Pak Guru tersenyum. Turun, lalu memeluk lelaki yang pulang itu. Lelaki yang pernah diharapkan mengimarahkan ilmu, menghidupkan semangat masjid Desa Lembah.
“Akhirnya kamu pulang, anakku.” Rindu dan mesra memaut lama dakapan Pak Guru. Kasih meresap ke dada lelaki yang pulang. Si teruna gagap mengangguk-angguk. Tersengih-sengih. Seperti lelaki-lelaki lain.
Di sebalik kehijauan flora yang tampak damai, tersembunyi cengkaman ganas. Pergolakan merampas jernih embun yang tak pernah sempat kering di hujung rumput dan daun. Sepuluh musim bermukim, kebejatan menimbus keluhuran. Keluhuran yang diharap menambah kebahagiaan.
“Kamu belum terlambat, Rawana.” Erat genggaman salam bagai tak terlepas. Satu dekad berpisah tiada sejengkal pun dirasai kejanggalan.
“Be...be...be...betul Pak Guru,” pintas si gagap.
“Ya, banyak tugas yang perlu kita lakukan di sini. Cekauan bahana dari di bukit tu, perlu kita sekat,” kesal Sidang Jumari menarik seluruh pandang.
“Be...be..be..betul Sidang,” angguk si gagap, pantas mendahului.
Terasa kini olehnya betapa tenatnya wajah lereng-lereng Bukit Rimba setelah berada jauh di lembah ini. Hanya terasa, setelah bukit pujaannya dulu, menjadi bukit kebenciannya kini. Betapa hodohnya kini, Bukit Rimba yang menggamit jiwa mudanya dahulu. Kehodohan dan ketenatan itu tidak pernah difikirkan sepanjang merencana untuk berkelana usia di situ. Sebak menyendat dada, dendam menyondak jiwa, rancangan terangka di kepala.
Bertahan
“Kita kena bangun. Kita tidak boleh bertahan selamanya Pak Guru, Sidang Jumari. Kita tidak boleh bertahan lagi teman-temanku sekalian. Kita kena bangun bertindak! Bangun menentang” Wajahnya ditepati seluruh mata. Rawana menggetap bibir, gerahamnya berkeriut dan tangannya mengepal rencana.
“Be...be...be...betul R...r...r..r...awana,” si gagap mengangguk laju.
“Menentang? Apa yang nak ditentang?" entah suara siapa yang mencelus.
“Ya, kita tentang. Makhluk yang kita tentang kini bukan sekadar ular, musang, dan kera. Bukan! Yang kita hadapi kini lebih rakus, lebih haloba daripada semua haiwan itu!”
“Apa maksud kau, Rawana? Apa yang kau tahu?” Pak Guru memegang kedua-dua bahu lelaki lewat empat puluhan itu sambil menjunam mata ke kedua-dua mata anak muridnya.
Dari serambi rumah kutai Sidang Jumari, pentas suara Rawana berpindah dari satu rumah ke satu rumah. Dengan jumlah hadirin yang mendadak. Medannya semakin sempit. Dari laman rumah berpindah ke laman masjid dan berpindah ke padang. Turun naik intonasi suaranya memukau tumpuan.
Rawana terus bercerita dan bercerita. Tentang Bukit Rimba yang penuh onar. Tentang Bukit Rimba punca datang segala petaka.
Dan puncak cerita Rawana yang ditunggu-tunggu, menutup memoir peribadi, sudah pasti tentang pertarungan ngerinya, yang mendesak langkahnya kembali ke desa.
“Bukan sembarangan puaka-puaka itu!”
Cerita Rawana memukau perhatian yang menadah sebulat-bulatnya.
“Puaka-puaka itu ibu segala bahana. Jelmaan roh-roh jahat yang berkurun bertunjang di puncak Bukit Rimba. Hingga menggugat rukun hidup Bukit Rimba, semua dirakus.”
“Be...be...be... betul R..r...r...r...awana !”
Belakangan ini, kata Rawana, hampir semua hidupan yang layak dimangsainya cabut meninggalkan bukit. Kerakusan puaka-puaka sialan itu sudah di luar kawalan. Kelaparan mendesak untuk dirungkai. Apa sahaja dilahapnya.
Di lapangan khalayak, suara Rawana memukau. Tua muda, lelaki perempuan mata tak berkejip walau sekelip. Mulut terpasung. Longo.
“Terbatas di rimba, bejatnya menyusuri lembah. Sudah tentunya Desa Lembah ini, ya... desa ini yang paling hampir jadi lokasi ganasnya. Dan kalian sendiri sudah melihat bahana yang dibawanya.”
Mata-mata terfana dengan kehebatan Rawana yang diceritakannya sendiri.
“Usaha menghalang bahana puaka itu hanya membawa padah kepada diri sendiri. Dua minggu saya terlantar cedera. Dalam terlantar itu saya terfikir betapa keganasan dan keserakahan puaka-puaka bukit itu perlu dihalang...” suara Rawana terhenti seketika. Kening sebelah kanannya terangkat.
“...demi kebahagiaan, demi ketenteraman desa tercinta ini, saya kembali untuk berjuang bersama bapa-bapa, ibu-ibu serta saudara-saudari yang amat saya sanjungi.”
“Ya! Kita berjuang! Kita tentang puaka-puaka durjana itu! Allahu Akbar!”
Laungan takbir terlontar ke langit, menyambut penutup ceramah. Sana sini orang bercakap tentang Rawana dan puaka. Melampaui batas mukim, menjejak hujung daerah, perihal Rawana dan cerita puakanya memikat perhatian.
Kebun, ladang dan ternakan sudah tidak penting lagi. Suara juang Rawana adalah segala-galanya. Duduk sejam menadah bicara lelaki hebat itu lebih bermakna daripada sehari duduk menghadap kebun, ladang dan ternak.
Seruan
Hanya beberapa bulan, seruan Rawana lelaki yang pulang itu menyimpul perhatian. Genggaman demi genggaman menerjah ke udara menyahut tuntutan perjuangan. Sebulat sekata, kesepakatan dilaungkan - Puaka Bukit Rimba mesti dilupuskan.
Suara Rawana berpusar merantai semangat perjalanan. Si teruna gagap tidak lepas jauh daripadanya. Sekejap ke depan, sekejap di belakang, sekejap di kiri, sekejap di kanan. Bertingkah dengan deruman jentolak dan jengkaut yang turut sama dipacu mengiringi. Belum sempat keringat di dahi mencecah kaki, gerombolan pemburu dari Deasa Lembah sederap langkah menjejak kaki bukit. Dengan ampuh, tanpa ada lagi topang kayu di ketiak dan rengkot yang sudah pulih, Rawana laung ulangkan tujuan kehadiran mereka di situ.
Tugasan bermula. Sebatang demi sebatang meranti, cengal, beringin yang bertunjang ratusan tahun terbungkang menyembah bumi disambut sorakan.
Satu demi satu jerumun, rumpun dan belukar ranap rapat. Menjelang petang asap berkepul kala lidah api menjilat rumpun dan daun dan jangkar kayu yang tewas. Hampir seminggu, cerun bukit rimba sebelah selatan menghadap desa tampak perang kekuningan. Bara masih enggan berhenti memerun sisa kayu dan tunggul.
Belum ada kelibat seekor puaka pun ditemui, apatah lagi untuk ditewaskan. Rawana terus memalu semangat. Kebangkitan penghuni desa tidak harus dibiarkan kelu dan mati. Perburuan tidak harus dibiarkan bertangguh. Perjuangan baru separuh perjalanan.
“Teruskan saudara saudari. Musuh kita makin terhimpit. Mereka tak mungkin dapat melepaskan diri lagi. Biar gondol habis Bukit Rimba ini, puaka-puaka itu mesti kita hapuskan seluruhnya,” suara Rawana bertingkah dengan jeritan monyet, ungka, siamang, dan segala haiwan yang bersisa bertempiar mencari perlindungan baru. Berlindung daripada petaka yang meluru dari lembah.
“Tidak lama lagi, perburuan kita selesai. Puaka-puaka itu semakin terkepung,” di tangga masjid, Pak Guru berdiri tersenyum sambil mengangguk-angguk. “Ya... puaka pembawa bahana itu semakin terkepung, semakin terdesak dan pastinya terperangkap! Ya, puaka itu pasti tewas!" Pak Guru puas hati.
Kerja-kerja perburuan perlu berjalan lancar, meskipun dia tidak menyertai penghuni-penghuni lain. Rawana memintanya mengawasi desa. Bertindak kalau ada yang kecut berundur pulang.
Pak Guru mengalih pandang ke lelaki sebaya yang masih duduk di tepi pintu utama. Kata-katanya tadi sengaja diujar untuk didengar, menggiat temannya itu yang asyik menggentel tasbih. Sejak awal kepulangan Rawana lagi, Pak Guru menyedari lelaki sahabatnya itu tidak pernah bersedia untuk duduk di hadapan Rawana, apatah lagi untuk menadah suara lelaki berkarisma itu. Tidak pernah.
Sejenak sahabat yang dikenali sebagai Pak ‘Abid melangkah berdiri di sisi Pak Guru. Merenung jauh cerung bukit yang gondol dan licin.
“Kita belum pasti, sahabat,” getar suara Pak ‘Abid meningkah.
“Belum pasti?" Pak Guru mencerlung ke wajah lelaki di sebelahnya. Kerut di dahi menjelas ketidakpuasan hatinya. Sudah lama Pak Guru ini tidak berbicara dengan sahabat yang seorang itu. Sahabat yang tidak pernah tercuit hati menerima pujukan untuk mendengar bicara Rawana.
“Ya, kita belum pasti. Sama ada puaka-puaka itu yang terkepung dan terdesak atau...”
“Atau apa, sahabat?” suara Pak Guru meninggi.
“Atau kita ini yang kian terperangkap!” sejenak Pak ‘Abid melempar pandang ke lereng bukit yang makin redup di suluh cahaya petang. Pak Guru terkebil-kebil seketika, merenung tepat wajah sahabat sepengajiannya dulu, menagih kesimpulan.
“Apa maksud sahabat?”
“Angin tengkujuh tak beberapa hari lagi. Hujan akan berhari-hari lebatnya. Apakah sahabat tidak terfikir nasib lereng bukit yang tiada sebatang pohon dan serumpun jerumun untuk dijadikan benteng daripada terjahan arus hujan? Apakah sahabat tidak terfikir nasib kita dan desa ini selepas rebakan bukit itu dibawa arus hujan menuju ke lembah ini?”
Kecacatan yang mengheret sial keluarganya memencil di gua sebelahan jurang sebelah barat bukit rimba, tidak memampukannya untuk bangun menuntut keadilan. Sejak lelaki khianat dibawa bapa dalam keadaan malang ke gua itu, hati Sita sudah diterpa sangsi. Apakan daya, tiada sepatah kata yang mampu melolos dari bibirnya untuk difahami bapa dan ibu.
“Lelaki ini terjatuh dari pokok cemara. Dahan tempatnya berpijak sekah, semasa tangannya mahu menggapai serindit emas di hujung dahan yang sekian lama diburunya,” ujar bapa yang cuma mampu difahami telinga dan fikirnya. Ibu mengangguk taat dalam limpah cahaya jamung di dinding.
Serindit emas! Satu-satunya yang masih ada di rimba bukit ini. Siulannya bagai mentera yang menyihir telinga pendengarnya. Memang selalu dia mendengar siulan serindit emas itu. Bapa pernah berkata, sesiapa yang dapat menangkap serindit emas itu, akan kaya rayalah hidupnya. Dia tidak faham apa kaitan antara serindit emas dengan kaya raya, seperti yang dikatakan bapa.
Rawat
“Kakinya patah, kepalanya luka. Kita rawat hingga sembuh.” Begitulah sikap bapa yang baik hati. Sejarah tersingkirnya mereka tiga beranak dari perdesaan kaumnya, adalah berpunca daripada sikap bapa yang terlalu baik dan banyak beralah itu. . Tohmahan dan tuduhan sial akan kelahiran Sita ke muka bumi tidak mampu ditepis bapa dan ibu, lalu menuntut keluarganya membawa diri.
Mata Sita tidak pernah menipu untuk menjadi saksi. Akalnya tidak pernah lupa untuk membaca
Tak sangka lelaki yang dirawat bapa dan ibu selama dua minggu tanpa jemu, bertindak menghukum. Bertindak ganas hanya untuk menutup cerita kegagalannya menggapai serindit emas di dahan cemara. Untuk menutup cerita cederanya kerana jatuh sewaktu menggapai serindit emas di hujung dahan. Itulah yang terluah dari mulut lelaki itu ketika nyawa bapa hampir ternoktah, setelah ibu dilihatnya terkulai di sisi.
Lelaki durjana itu, kemudian mengkebumikan kedua-dua tubuh bapa dan ibu ke dalam lubang yang rupa-rupanya digali sepanjang malam ketika mereka anak-beranak lena beradu. Dia tak mampu melakukan apa-apa. Kedua-dua tangan yang kudung atas paras siku, kedua-dua kaki yang kaku sejak lahir hanya mengizinkannya jadi saksi tragedi. Hanya mengizinkan matanya menyaksikan lelaki khianat melangkah pergi membawa dosa.
Lolongan terakhir Sita pada tengah malam itu tenggelam dalam hujan yang amat lebat yang turun sejak petang. Serentak lolongan terakhir itu, dirusuk timur Bukit Rimba yang tergondol, lereng tanah lapang menghala ke Desa Lembah, satu petaka besar meluru deras likat lumpur perang berbaur hitam menuruni cerun bersama arus hujan yang tidak lagi bersimpati.
Oleh Mohd. Hashim Osman
ARKIB : 18/10/2009
Cerpen Sastera - Sang lelaki dan puaka
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment