Nadia digabungkan dengan Red Peanut

Tuesday, November 10, 2009


Hanya kerana lagu ciptaan komposer Malaysia, kumpulan indie dari seberang, Red Peanut memulakan langkah ke persada seni di negara ini. Lagu ciptaan Eddie Hamid dan seni kata tulisan Fedtri Yahya berjudul Aku, Dia & Kamu itu dinyanyikan secara duet bersama Nadia.

Usaha syarikat RMZ Showbiz Sdn Bhd yang bersungguh-sungguh membawa kumpulan rock ini ke Malaysia ini wajar dipuji.

Pengarah Perniagaannya, Solhi Saidin, dalam masa yang sama strategi serampang dua mata turut dipraktikkan apabila ruang yang terbentang ini memberi faedah kepada penyanyi tempatan, Nadia untuk meneroka pasaran Indonesia.

“Keterbukaan Red Peanut menyelitkan lagu komposer negara kita, satu langkah terbaik untuk terus melebarkan karya kita di negara mereka. Ini satu pembaharuan yang kita mulakan dan harap ia menjadi ikutan.

“Pemilihan Eddie Hamid untuk bekerjasama dengan Red Peanut dilihat tepat apabila adunan muzik tangkap ‘leleh’ atau balada yang sering dibuat oleh Eddie sebati dengan konsep rock Red Peanut. Melalui siri jelajah yang kita buat tahun lalu, Nadia juga berkesempatan mencipta nama di Bandung,” kata Solhi di sidang media pelancaran album sulung Red Peanut, di ibu negara pada 4 November lalu.

Kumpulan Red Peanut menjadi pilihan RMZ Showbiz yang kerap menonton persembahan mereka di premis hiburan di Bandung. Malah apa yang dilakukan RMZ sebagai melengkapkan cabang dan sisi syarikat induknya iaitu RMZ Studio yang ditubuhkan tiga tahun lalu.

“Bukan setakat bidang hiburan, RMZ turut mempelbagaikan kerja termasuk dalam bidang arkitektur dan pengurusan acara. Dulu kami lebih kepada memantau persembahan di Bandung dan kini menerusi pembikinan album pula.

“Anggota Red Peanut bukan hanya menjadi artis naungan kami malah ada di antara mereka bekerja di RMZ sebagai artis grafik dan kerja kreatif lain. Mereka sebenarnya seba boleh dan tidak terbatas kepada bermain muzik dan menyanyi semata-mata,” kata Solhi lagi.

Album Stairway To The Future adalah album sulung Red Peanut biarpun mereka sudah berkecimpung dalam seni lebih dari tujuh tahun. Sementara itu lagu Aku, Dia & Kamu nyanyian bersama Nadia tercalon dalam separuh akhir Muzik Muzik minggu lalu.

Di Bandung, Red Peanut dilantik sebagai duta jenama kacang merah. Malah hampir setiap bulan, kumpulan yang dianggotai lima orang ini turut membuat persembahan di kelab Klasik Rock.

Ditanya kenapa mengambil masa terlalu lama untuk muncul dengan album pertama, vokalisnya, Hilman mempunyai alasan tersendiri. “Pertama kalinya kami senang sekali dapat berduet dengan Nadia dan nada suara yang dimilikinya cukup serasi dengan genre muzik yang kami bawakan. Untuk album ini, kami menggelarnya sweet rock & roll. Malahan, kami tidak menafikan pengaruh kumpulan Barat seperti Aerosmith dan Gun’s N Roses banyak memberi inspirasi.

“Kenapa baru sekarang kami muncul dengan album? Kami rasa ini disebabkan masa dan peluang. Pengalaman bertahun-tahun menjadi azimat untuk kami terus adi matang. Apa yang mampu saya katakan sudah tiba masanya emosi kami bersatu di dalam album,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada peminat di Malaysia yang menghargai karya mereka di sini.

Sementara itu, Nadia ternyata bangga menjadi pilihan untuk berduet dengan Red Peanut. Disebabkan peluang itu mungkin hadir sekali dalam seumur hidup, penyanyi ini memberitahu semuanya terjadi pada tahun lalu.

“Nadia tidak ada masalah bekerjasama dengan Red Peanut. Mereka juga berpengalaman dalam dunia muzik. Kalau tahun lalu, Nadia ke Bandung untuk mempromosikan lagu ini, kali ini, mereka ke Malaysia,” katanya yang turut mempromosikan single terbaru berjudul Kita Sama yang turut menyaksikan kemampuannya menulis lirik.

Selain itu, berita baik yang dikongsi Nadia ialah pemergiannya ke Amsterdam, Belanda dari 9 hingga 17 November. Nadia membuat persembahan atas undangan kedutaan Malaysia di sana.

Katanya, duta Malaysia di Belanda pernah menjadi jiran keluarganya di Menara Sri Jati, Kuala Lumpur. Peluang itu juga akan dimanfaatkan Nadia untuk mengintai peluang di sana selain menguji pasaran genre muzik pilihannya.

“Bukan senang nak ke sana. Kalau tidak dijemput mungkin takkan bermimpi untuk ke sana. Dengan bajet yang tinggi, memang Nadia sendiri tak pernah terfikir peluang ini akan datang lagi,” katanya.

Oleh Zaidi Mohamad

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI