Segunung Harapan Astro Oasis

Tuesday, November 10, 2009

Segunung Harapan kisah kejar impian

Jika individu yang berkemampuan mengimpikan sesuatu yang dihajati tanpa perlu bersusah payah, bagaimana pula bagi individu yang tidak berkemampuan, namun bertekad mengubah nasib hidup melalui usahasendiri. Tanpa modal dan pengalaman sukar bagi mereka memulakannya biarpun semangat membara.

Berdasarkan impian individu yang kurang bernasib baik melalui kehidupannya setiap hari, Astro Oasis dan Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) akan merealisasikan impian mereka melalui program realiti, Segunung Harapan.

Segunung Harapan yang akan memulakan episod pertamanya menerusi saluran 106 di Astro Oasis bermula Ahad ini jam 6 petang, memaparkan pelbagai kisah individu mengejar impian masing-masing.

Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, adalah menjadi tanggungjawabnya menggalakkan perasaan saling membantu di kalangan komuniti, khususnya kepada mereka yang kurang bernasib baik.

"Program ini adalah tanggungjawab Oasis untuk memainkan peranan dalam menyampaikan nilai positif dari sudut kerohanian dan pengetahuan ilmiah di dalam program yang kami tawarkan.

"Kami percaya dengan kerjasama yang terjalin antara Oasis dengan PruBSN secara tidak langsung mampu menyedarkan masyarakat bahawa Islam menyanjung sikap dan sifat yang terpuji, hidup berkomuniti secara harmoni dan bantu -membantu tanpa mengira warna kulit, agama dan budaya.

"Prinsip ini selaras dengan konsep asas takaful iaitu berkongsi tanggungjawab, bekerjasama dan saling membantu untuk kepentingan bersama. Idea melaksanakan program yang memaparkan usaha murni insan berhati mulia ini dicetuskan PruBSN. Ia adalah satu program pilihan yang dapat memberi dorongan dan semangat kepada masyarakat untuk terus berusaha memajukan diri," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran program ini baru-baru ini.

Menurut Izelan, sejak tersiarnya promo menerusi saluran Oasis, pihaknya menerima banyak maklum balas daripada masyarakat yang bermurah hati untuk membantu insan yang kurang bernasib baik melalui program ini.

Sementara itu, Izelan memaklumkan permohonan menyertai program ini masih dibuka. Hantarkan permohonan bertulis kepada Astro Oasis.

Hadir sama ada majlis itu, Ketua Kandungan Penjenamaan, Haris Ismail; Ketua Pegawai Operasi PruBSN, Azim Mitahni; Ketua Sokongan Pemasaran PruBSN, Tengku Sheila Tengku Azib; Ketua Pegawai Pengedaran PruBSN, Wan Azman Wan Mamat dan Pengacara Program, Nabil Ahmad.

Oleh Rozdan Mazalan

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI