Taman Tema Snowalk,I-City, Shah Alam

Jumaat, Januari 07, 2011

Taman Tema Snowalk,I-City, Shah Alam merupakan tarikan terbaru menggamit orang ramai ke bandar itu yang akan memberi pengalaman musim salji seperti di negara-negara hemisfera utara kepada pengunjung.

Snowalk dibuka setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 1 pagi pada hari bekerja dan 10 pagi hingga 2 pagi pada Sabtu, Ahad dan cuti umum.

Setiap pengunjung akan dikenakan bayaran RM25 untuk dewasa dan RM20 untuk kanak-kanak.

Bayaran termasuk baju sejuk sementara kasut pula dikenakan bayaran sewa sebanyak RM10.


Taman tema salji Snowalk terbesar di Malaysia bernilai RM20 juta itu mula dibuka kepada umum sejak Krismas lalu.

Antara tarikan di Snowalk ialah iglu, istana, kapal dan jambatan gantung yang diperbuat daripada salji dan diserikan dengan cahaya lampu berwarna-warni.

Turut disediakan ialah permainan musim salji seperti gelanggang luncur ais, keretapi, gelongsor salji dan beberapa permainan kanak-kanak.

Pegawai Perhubungan Awam I-City, Tang Soke Cheng berkata, Snowalk yang berkeluasan 15,000 kaki persegi itu amat sesuai dikunjungi seisi keluarga kerana menyediakan pemandangan indah selain beberapa jenis permainan musim sejuk untuk semua golongan umur.

Apabila dirasmikan tidak lama lagi, Snowalk juga akan menjadi pusat pendidikan dan hiburan yang sesuai untuk golongan pelajar dan kanak-kanak.

"Di Snowalk, kami bukan hanya menyajikan suasana musim sejuk kepada para pengunjung tetapi kami akan memastikan mereka akan mendapat pengetahuan di samping keseronokan bersama keluarga di taman tema salji yang besar," katanya.

0 Komen:

Catat Ulasan

 

ZONFINITI