Adat Membelah Mulut Bayi

Rabu, Februari 08, 2012

Sebelum tahun 60-an dahulu telah menjadi adat Melayu mana-mana bayi yang baru dilahirkan diadakan acara yang dipanggil membelah mulut. Tujuannya supaya apabila bayi itu pandai bercakap, kelak dia tidak menggunakan perkataan yang buruk, jahat dan kesat.

Setelah bayi itu dilahirkan, yang lelaki diazan dan perempuan diqamat di kedua-dua belah telinganya. Selepas bayi itu dibersih dan dibalutkan dengan kain bersih, adat membelah mulut pun dilaksanakan iaitu dengan menjemput anggota keluarga rapat. Mereka yang berilmu dan bertutur kata elok, tidak jahat atau kasar adalah menjadi pilihan untuk membelah mulut bayi itu agar dia mengikut sifat orang yang membelah mulutnya.

Sebelum itu disediakan air zamzam dan cincin emas. Simbolik air zamzam ialah kerana air zam-zam digunakan untuk membersihkan dada Nabi Muhamad s.a.w daripada segala keburukan dan kebusukan manakala cincin emas pula sebagai simbolik bagi mendapat rezeki yang murah.

Kemudian dijemputlah orang yang berilmu dan bertutur kata elok itu untuk membelah mulut bayi tersebut dengan mencecah cincin ke dalam air zamzam serta menyapu di antara dua bibir tersebut sambil membaca Bismillah dan selawat ke atas Rasulullah dan berdoa agar bayi itu bercakap perkara yang baik serta beradab waktu bercakap dan semoga dilimpahkan dengan rezeki yang halal.

Adat ini kian berkurangan sejak tahun 60-an atau 70-an kerana kebanyakan ibu sekarang bersalin di hospital.

0 Komen:

Catat Ulasan

 

ZONFINITI