Seminar Kebangsaan Pustakawan Malaysia 2013

Thursday, May 23, 2013

Seminar Kebangsaan Pustakawan Malaysia 2013

SEMINAR Kebangsaan Pustakawan Malaysia (SKPM) 2013 akan diadakan di Hotel Mahkota, Melaka, pada 25 hingga 27 Ogos. Mereka yang berminat membentangkan kertas kerja perlu menyerahkan abstrak sebelum 31 Mei dan kertas kerja penuh (1 Ogos).

Seminar bertemakan Transformasi Perpustakaan dan Perubahan Budaya: Peranan Pustakawan itu meliputi skop perkhidmatan perpustakaan, penyelidikan, teknologi komputer dan maklumat (ICT) serta inovasi, pentadbiran dan pengurusan, selain turut mengambil kira pengurusan ilmu, rekod dan maklumat.

Dalam konteks perkhidmatan, kertas kerja boleh menjurus kepada dunia perpustakaan abad ke-21, pembudayaan masyarakat, promosi, kempen gerakan membaca, perkhidmatan rujukan dan pendidikan pengguna.

Skop penyelidikan, ICT dan inovasi merangkumi perpustakaan digital, cabaran teknologi maklumat (IT), universiti penyelidikan, transformasi maklumat ke arah elektronik dan kajian bibliometrik, infometrik serta webometrik.

Subtema pentadbiran dan pengurusan mengambil kira penyediaan infrastruktur yang memenuhi kehendak pelanggan, perubahan pada persekitaran dan komunikasi perpustakaan dengan pengguna.

Tema pengurusan ilmu, rekod dan maklumat pula melihat kepada pengumpulan warisan sejarah, maklumat tempatan serta peranan perpustakaan sebagai pusat maklumat setempat.

SKPM 2013 bertujuan menyediakan platform kepada pustakawan dalam penyebaran maklumat, strategi dan pengalaman sekali gus membina, memperluas dan memperkasa jaringan pustakawan serta perpustakaan seluruh negara.

Ia juga menjadi pentas perkongsian amalan terbaik perpustakaan yang boleh dilaksanakan dalam peningkatan mutu perkhidmatan dan pengurusan, selain membudayakan penyelidikan dan inovasi.

Yuran penyertaan kepada ahli Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) ialah RM750; bukan ahli (RM950) dan pelajar (RM500), manakala pembentang dalam kalangan ahli PPM sebanyak RM650; bukan ahli (RM850) dan pelajar (RM500).

SKPM 2013 dianjurkan Jawatankuasa Tetap Perpustakaan Akademik 2012/2014 dengan kerjasama Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM).

Maklumat lanjut, hubungi Ratnawati Sari Mohamad Amin di talian 0379673922.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI