Boikot AirAsia bukan gimik politik - Cuepacs

Wednesday, May 22, 2013

Boikot AirAsia bukan gimik politik - Cuepacs

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini memberitahu gesaannya untuk memboikot syarikat penerbangan AirAsia bukanlah satu gimik politik.

"Tidak, saya bukan orang politik. Saya pejuang pekerja dan bersimpati dengan nasib mereka. Saya ingin pastikan ahli saya dihormati," jelas presidennya Datuk Omar Osman kepada Astro Awani.

Omar hari ini dalam satu kenyataan di Utusan Malaysia menggesa kakitangan awam seluruh negara memboikot perkhidmatan penerbangan AirAsia atau pun menjadikan syarikat penerbangan itu sebagai pilihan terakhir untuk ke mana-mana destinasi.

Presiden Cuepacs itu memberitahu bahawa kongresnya serius dan tidak memandang enteng isu berkenaan.

"Saya kini di lapangan terbang dan akan menaiki pesawat Firefly dan semalam saya menaiki pesawat Sistem Penerbangan Malaysia (MAS).

"Kami telah lama menerima aduan berhubung AirAsia. Tidak boleh terlewat mahupun ketinggalan pesawat, maka duit penumpang tidak akan dikembalikan," jelas Omar.

Presiden Kongres itu menyarankan agar kakitangan awam menggunakan kuasa pengguna agar memilih perkhidmatan penerbangan lain.

"1.4 juta penjawat awam dan 700 ribu pesara kerajaan harus memandang serius perkara ini. Sedikit sebanyak usaha mereka mampu memberi kesan kepada syarikat penerbangan tambang murah itu," ujar Omar.

Dalam pada itu Omar turut memberitahu bahawa Cuepacs kini dalam peringkat rundingan dengan pihak MAS, Firefly dan Malindo Air untuk memberi peluang kepada penjawat awam bercuti menggunakan perkhidmatan penerbangan syarikat itu.

"Cuepacs dalam peringkat rundingan bersama syarikat penerbangan itu untuk memperkenalkan pakej penerbangan sewaktu musim perayaan mahupun penjawat awam yang ingin melancong menggunakan perkhidmatan udara.

Sementara itu dalam reaksi beberapa penjawat awam, ramai yang musykil dengan saranan Presiden Cuepacs itu samada ia mampu dilaksanakan.

Zainudin Abu Bakar, 54, berkata "Selain AirAsia, kakitangan kerajaan tidak mampu menaiki pesawat lain kerana kos yang tinggi.

"Sebelum wujudnya AirAsia, tak pernah mendengar kakitangan kerajaan yang melancong pergi ke luar negara bersama keluarga.

"Kita ingin juga bawa keluarga bercuti. Jadi dengan adanya AirAsia barulah penjawat awam mampu berbuat demikian.

"Contoh ketara adalah dengan kosnya yang rendah untuk terbang ke Medan atau Bandung, semua kakitangan awam mampu untuk terbang," jelas Zainudin yang berkhidmat di Jabatan Tenaga Manusia di Pudu Sentral, Kuala Lumpur.

Ahmad Saifullah, 29, pula menegaskan rakyat berhak memilih untuk penerbangan yang mereka percayai.

"Hak rakyat untuk memilih perkhidmatan yang lebih baik sama ada MAS, AirAsia atau Malindo yang terbaru.

"Usaha boikot yang pernah dilakukan oleh badan bukan kerajaan sebelum ini tidak berjaya. Kenyataan boikot mungkin bertujuan untuk mendapatkan publisiti media.

"Tambang AirAsia tidaklah begitu rendah. Tetapi promosi yang ditawarkan dalam jangka masa panjang, memberikan pelanggan pilihan untuk mendapatkan penerbangan yang lebih baik," jelas Saifullah yang berkhidmat di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Saifullah turut mengalu-alukan Mas untuk menawarkan harga penerbangan yang lebih rendah agar perkhidmatan penerbangan itu dapat dinikmati oleh penjawat awam yang kurang berkemampuan.

Sementara itu, Pengurus Komunikasi Korporat AirAsia Aziz Laikar sewaktu dihubungi Astro Awani enggan mengulas mengenai perkara yang dibangkitkan oleh Cuepacs itu.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI