PRU13: BN tubuh Kerajaan Persekutuan

Monday, May 06, 2013

Datuk Seri Najib Tun Razak menerima mandat pertamanya daripada rakyat untuk menerajui negara sebagai Perdana Menteri keenam selepas Barisan Nasional (BN) memperoleh majoriti 133 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) malam tadi.

Keputusan muktamad PRU-13 bagi kesemua 222 kerusi Parlimen masih belum diumumkan sepenuhnya.

Setakat berita ini ditulis pada pukul 2.20 pagi, DAP berjaya memperoleh 36 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (24) dan Pas 20 kerusi Parlimen.

Kemenangan pada PRU-13 ini merupakan saat bersejarah bagi Najib dan negara apabila anak bekas perdana menteri itu berjaya menerajui 13 parti gabungan BN untuk memenangi PRU-13.

Najib mempertahankan kerusi Parlimen Pekan menewaskan Fariz Musa daripada PKR dengan majoriti 35,613 undi, manakala timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh menewaskan Mohamad Rozali Jamil daripada Pas dengan majoriti 12,842 undi.

Lebih 80 peratus daripada 13.276 juta pemilih berdaftar keluar mengundi di seluruh negara semalam.

Najib, 60, telah berkempen tanpa mengenal penat di seluruh negara untuk meyakinkan pengundi mengenai transformasi yang dibawa BN.

Beliau juga berusaha gigih bersama Pasukan Transformasi BN untuk melaksanakan Aku Janji dalam manifesto BN yang mendahulukan rakyat sekali gus membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi di mata dunia.

Najib dan para pemimpin parti komponen BN berkumpul di Ibu Pejabat BN di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini untuk menunggu keputusan PRU-13 yang bersejarah itu.

BN juga berjaya merampas Kedah daripada penguasaan Pas yang dihukum oleh para pengundi yang majoritinya Melayu dan beragama Islam.

BN turut berjaya mengekalkan kerajaan negeri di Pahang, Perlis, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Sabah dan Johor. BN juga berjaya membentuk kerajaan di Perak.

Bagaimanapun, Kelantan kekal di tangan pemerintahan Pas manakala DAP terus menguasai kerajaan negeri Pulau Pinang, begitu juga Selangor masih terus dikuasai pembangkang.

Keputusan pilihan raya DUN kali ini tidak membabitkan Sarawak yang telah mengadakan Pilihan Raya Negeri pada tahun 2011.

Pada sidang akhbarnya, Najib yang bimbang dengan trend pengundian berbentuk perkauman pada PRU kali ini bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera BN berikutan kejayaan membentuk kembali Kerajaan Persekutuan.

Beliau juga amat berharap semua pihak menerima keputusan berkenaan dengan hati terbuka kerana ia merupakan amalan demokrasi sebagaimana diamalkan sebelum ini.

“Demi kepentingan negara, semua pihak terutama pembangkang perlu menerima keputusan dengan hati terbuka dan membenarkan proses demokrasi berjalan dengan baik.

“Saya juga berjanji semua Aku Janji semasa kempen pilihan raya akan dilaksanakan oleh kerajaan BN,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan BN juga akan menubuhkan sebuah mekanisme khusus untuk memantau pelaksanaan janji berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai trend pengundian berbentuk perkauman yang menampakkan pemberontakkan pengundi Cina yang disifatkan Tsunami Cina, beliau berkata, ia perlu ditangani sebaik mungkin bagi mengelakkan perbalahan dalam negara.

“Perkara yang kita akan lakukan ialah mengadakan perundingan kefahaman supaya unsur-unsur perkauman yang tidak sihat dapat diketepikan dan terus kepada dasar yang berpaksikan kesederhanaan,” ujarnya. ~ Kosmo

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI