Guru sekolah menengah ditembak mati ketika memandu

Friday, July 19, 2013

Cikgu ditembak tengah jalan

"Saya terkejut dengar bunyi letupan macam mercun," kata Muhamad Sufian Hassan, 21, saksi kejadian seorang guru sebuah sekolah menengah maut akibat terkena sekurang-kurangnya enam das tembakan dilepaskan dua lelaki ketika berhenti berdekatan lampu isyarat di simpang empat Jalan Keladi, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.25 tengah hari, mangsa K Shanmugam, 45, guru sekolah menengah di Berapit, Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish secara sendirian dalam perjalanan ke sekolahnya sebelum berhenti berdekatan lampu isyarat di jalan berkenaan.


Difahamkan, dua lelaki bermotosikal lengkap memakai topi keledar berhenti di sebelah kenderaan mangsa sebelum mengeluarkan sepucuk pistol dan menembak mangsa menembusi cermin kereta hingga terkena beberapa bahagian badan mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, mangsa yang baru keluar dari rumahnya di Taman Bidara, berhenti di simpang empat Jalan Keladi sebelum ditembak dua lelaki.

Katanya, polis percaya kejadian itu membabitkan dua lelaki menaiki motosikal Yamaha LC hitam yang melepaskan beberapa das tembakan selepas berhenti di sebelah kereta mangsa ketika lampu isyarat merah.

"Ketika kejadian kawasan terbabit sesak kerana waktu puncak selain kedudukannya yang berhampiran simpang empat lampu isyarat Jalan Keladi.

"Selepas ditembak mangsa cuba melarikan diri melalui pintu penumpang hadapan namun tidak berjaya sebelum dia rebah dan tersembam pada tempat duduk penumpang hadapan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Mohd Nashir berkata, polis menemui beberapa kelongsong peluru digunakan suspek dalam kejadian itu namun masih menyiasat motif kejadian.

Sementara itu, saksi, Mat Ali Saad, 63, berkata, dia mendengar bunyi letupan yang disangkannya bunyi mercun namun tersedar ia bunyi tembakan apabila kereta mangsa melanggar keretanya.

"Ketika itu saya tidak menyedari apa yang berlaku dan tiba-tiba sebuah motosikal melalui melepasi kereta saya serta dalam masa sama bahagian belakang kereta dilanggar kereta mangsa.

"Saya keluar kenderaan dan terkejut melihat kereta belakang saya cerminnya pecah dan menyedari mangsa terkena tembakan," katanya. ~HM

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI