The Biggest Loser Asia

Thursday, November 19, 2009


The Biggest Loser Asia

Seandainya pada program realiti lain, seseorang peserta perlu mendapatkan sesuatu untuk memenangi pertandingan, ia berbeza sekali dengan The Biggest Loser Asia apabila pesertanya perlu kehilangan berat badan untuk muncul juara.

Buat kali pertama, rancangan yang sudah pun memasuki lapan musim di Amerika Syarikat, serta ditayangkan di 90 negara seluruh dunia, kini mencipta kelainan apabila versi Asia bakal menemui penonton mulai 24 November ini, jam 9 malam, di saluran Hallmark.

Menerusi episod pengenalan, siri realiti tanpa skrip mengenai peserta yang cuba mengurangkan berat badan akan memaparkan bagaimana peserta mencuba nasib pada peringkat uji bakat. Episod terbabit memperlihatkan gelagat sebahagian daripada 2,000 peserta yang menaruh harapan, serta kisah di sebalik keazaman mereka untuk terpilih menjayakan program berkenaan.

Pada sidang akhbar mengumumkan kemunculan program itu di ibu kota baru-baru ini, hadirin dipertontonkan dengan siri pertama yang memaparkan kisah di sebalik kesungguhan peserta untuk menyertainya. Banyak kisah suka dan duka dipendam insan dengan berat yang berlebihan ini, sehingga membuatkan mereka melangkah ke uji bakat yang diadakan.

Lebih daripada kesanggupan mereka berdepan serta menyahut cabaran, peserta yang terpilih juga bakal bersaing sesama sendiri bagi merebut wang tunai berjumlah ASD100,000 selaku juara.

Juara juga bakal memandu pulang sebuah kereta mewah Renault.

Seramai 30 penduduk benua Asia akan dipilih dan dilatih dua jurulatih kecergasan, Dave Nuku dan Kristy Curtis, dalam aktiviti fizikal harian di Kem The Biggest Loser Asia di Melaka.


Bagi menambahkan kerancakan program terbabit, empat personaliti tanah air dipilih untuk menjayakan segmen khas rancangan ini. Mereka terdiri daripada pengacara Zainal Alam Kadir, aktres Syanie Hisham, pelakon Jehan Miskin dan penyanyi Dina. Empat personaliti ini akan mengikuti beberapa cabaran yang diberikan Nuku dan Curtis, bagi membolehkan penonton mendapat bayangan awal tugasan yang bakal menunggu peserta program ini.

The Biggest Loser Asia ialah sebuah produksi pan-serantau yang diterbitkan oleh Imagine Group (Contender Asia) dan diacarakan pelakon yang juga pengacara terkenal, Sarimah Ibrahim.

Ia mendapat sokongan kuat daripada jenama terkemuka dunia, Fitness First, sebagai penyedia kepada kepakaran pengurangan berat badan peserta, selain Nestle, Renault, serta A’Formosa.

Jadi, jika anda ingin mendapatkan inspirasi serta pesanan kesihatan serta gaya hidup positif, ikuti The Biggest Loser Asia yang akan disiarkan mulia 24 November, jam 9 malam di Hallmark Channel.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI