Caldina Club Malaysia

Saturday, February 20, 2010

Tak dapat dinafikan dunia maya telah menjadikan dunia semakin kecil. Ia mampu menyatukan ramai orang merentasi sempadan. Selain mengembangkan teknologi maklumat, ia turut mencipta pelbagai komuniti maya yang mengkhusus kepada berbagai hobi dan kecenderungan berbeza. Komuniti itu juga membabitkan pelbagai latar belakang dan salah satu daripadanya ialah kelab kereta.

Berkongsi minat dalam bidang automotif membolehkan ahli sesebuah kelab bertukar-tukar pandangan serta pengetahuan.


Kelab kereta dan motosikal merupakan antara yang aktif dalam menjalankan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan, sesuatu yang agak asing ketika dunia tidak dihubungkan dengan Internet.

Salah satu kelab automotif yang aktif di ibu kota ialah CCM atau Caldina Club of Malaysia. Ia ditubuhkan dua tahun lalu atas inisiatif sekumpulan individu yang ingin mengumpulkan mereka yang mempunyai minat serupa.

Konvoi ke PD

Ahli kelab itu terdiri daripada pemilik kereta Toyota Caldina. Walaupun masih baru berbanding kelab kereta yang lain, CCM antara yang aktif menganjurkan pelbagai aktiviti untuk ahli-ahlinya.

Tanpa disedari, CCM telah menyambut ulang tahun yang kedua penubuhannya. Kali ini, majlis sambutan ulangtahun telah dijalankan dengan cukup meriah bertempat di Thistle Resort, Port Dickson pada 20 Disember lalu.

DERETAN Toyota Caldina pelbagai warna dan spesifikasi yang memenuhi ruang parkir kereta Thistle Resort, Port Dickson.

Selain daripada aktiviti utamanya iaitu Majlis Makan Malam Sempena Penubuhan CCM, aktiviti konvoi yang begitu sinonim dengan kelab kereta turut diadakan. Aktiviti itu walaupun telah acap kali diadakan, namun ia amat bermakna kerana hampir separuh daripada peserta yang terlibat ialah ahli baru yang belum merasai kenikmatan konvoi sebenarnya.

Bermula pukul 2.30 petang, peserta berkumpul di pusat beli-belah Mines, Sri Kembangan Selangor untuk pelbagai aktiviti prakonvoi seperti menampal pelekat penaja, taklimat dan bergambar.

Peserta yang menyertai perjalanan itu datang dari zon tengah, utara dan sejauh Kota Kinabalu, Sabah. Sesi taklimat dimulakan oleh Presiden Kelab, Jefry Othman, diikuti oleh ketua konvoi, Daren dan seterusnya oleh wakil polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya.

Seramai 120 ahli berdaftar dari zon berbeza telah terlibat dalam menjayakan aktiviti itu. Seperti yang lazim dilakukan, untuk memastikan keselamatan dan urusan konvoi berjalan lancar, pihak pengurusan telah mendapatkan terlebih dahulu permit konvoi daripada PDRM Bukit Aman dan kerjasama pihak PLUS untuk melancarkan urusan tol. Ini bagi memastikan susunan ahli dan 120 buah kereta yang terlibat tidak terpisah jauh.

Walaupun di pertengahan konvoi hujan turun agak lebat dan terdapat kesesakan lalu lintas akibat kemalangan, namun konvoi CCM tiba dengan selamat ke Thistle Resort pada pukul 5.30 petang. Tidak ada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Semua peserta patuh dengan arahan yang diberikan, selain mempamerkan disiplin yang tinggi.

Suasana di Thistle yang agak tenang pada mulanya, mulai riuh dengan deruman ekzos Caldina. Deretan 120 buah Toyota Caldina nyata menarik perhatian pengunjung-pengunjung di resort tersebut.


Setelah konvoi dari Kuala Lumpur sampai, setengah jam kemudian, 12 buah Caldina dari Johor Bahru tiba menyertai kumpulan. Aktiviti seterusnya ialah sesi bergambar dan beramah mesra antara ahli CCM.

Majlis makan malam sempena penubuhan CCM kali kedua bermula pada pukul 8 malam dengan tema "1Malaysia, 1CCM" sebagai tanda sokongan atas gagasan 1Malaysia yang diinspirasikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Cabutan bertuah

Para peserta yang terdiri daripada berbilang bangsa dan ahli keluarga masing-masing menggayakan pakaian yang melambangkan ciri 1Malaysia dan satu organisasi kelab yang bersatu di bawah satu bumbung.

Aktiviti sewaktu makan malam dipenuhi dengan persembahan nyanyian, pertunjukan fesyen mini dan cabutan bertuah. Hadiah untuk cabutan bertuah pada kali ini adalah yang terbesar dalam sejarah CCM dengan anggaran hadiahnya mencecah nilai lebih RM28,000. Ia hasil daripada sumbangan individu dan beberapa buah syarikat.

Apa yang istimewanya dalam majlis itu ialah semua peserta dijamin mendapat hadiah. Ada yang bergembira dengan pakej servis kereta, tidak lupa juga ada yang bergaya dengan sport rim 18 inci baru.



Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah menjayakan majlis ulang tahun kedua penubuhan CCM.

Tidak lupa juga ucapan penghargaan kepada penaja-penaja cabutan bertuah iaitu HLH Klinikar, Pitworks, Quick Save, GT Auto, JFA Motorsport, Racing Fit, Regina Home Décor, Gold Class Car Care, QQQ Audio World, After 12 Motorsport, Meguiar Detailing, Poly Speed, Mutiara Performance Vehicle Proservice, Menara Optometris, Pudina, Nadi Alam Eng & Services, Ilham Sdn Bhd, Altena Sdn Bhd, Current Line Engineering, NJ Networks SB, Bintang Syurga Resources, Perspec Prime (M) SB, Virtual Peak Group SB, Body Perfect Beauty Salon, Radhi CCM587, Belleza Enterprise, Sticker Ontime, Label S Saloon dan Cpyap.

Untuk rekod, CCM telah ditubuhkan pada bulan September 2007. Sehingga kini ia mempunyai ahli berdaftar seramai 650 orang di seluruh Malaysia. Di samping lebih 4,000 ahli forum di www.caldinaclub.com.

Sebarang pertanyaan berkaitan kelab, keahlian mahupun berkaitan Caldina sila e-mel ke alamat: admin@caldinaclub.com.

Oleh IRWAN ASRI MOHD NOR

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI