Nasi lemak kukus daun pisang

Tuesday, February 09, 2010

Nasi merupakan menu 'wajib' bagi rakyat Malaysia terutama di kalangan orang Melayu.

Bangun pagi sahaja, nasi lemak pasti dicari untuk sarapan. Begitu juga dengan tengah hari dan malam, hidangannya parti nasi. Kadang-kadang tengah malam pun ada yang masih cari nasi berbanding menu lain.


Nasi lemak misalnya, cukup sinonim dengan warga negara ini tanpa mengira kaum. Makanan tradisi ini tetap menjadi pilihan utama walaupun ada pilihan lain seperti roti canai, mee, kuih-muih dan nasi goreng.

Trend makan nasi lemak kini tidak lagi hanya pagi hari malah pada waktu malam.

Bagi peminat-peminat nasi lemak, apa yang menyedapkan lagi menu tersebut ialah sambal serta lauk sampingan yang disediakan.

Lebih istimewa jika ia dibungkus menggunakan daun pisang, kerana ia membangkitkan aromanya yang harum dan mampu membuka selera.

Jika dahulu nasi lemak disajikan bersama lauk pauk asas seperti kacang tanah, timun, sambal ikan bilis dan telur rebus, kini ia menawarkan pelbagai cita rasa. Antaranya rendang ayam dan daging, sambal sotong, sambal kerang, ayam goreng dan telur goreng.

Di Kuala Lumpur, pergilah ke mana ceruk pastinya anda dapat menikmati nasi lemak atau nasi lemak kukus.

Salah satu nasi lemak kukus yang sedap untuk dinikmati ialah nasi lemak kukus daun pisang Mastar Catering.

Boleh dinikmati di Kampung Warisan, Putrajaya; Restoran Maulana, Seri Kembangan dan Restoran Maulana, Serdang, nasi lemak kukus daun pisang Mastar Catering sememangnya digilai pelanggan.

Menurut pemilik Mastar Catering, Mastar Muni, lazimnya ayam dara goreng berempah, sambal sotong, daging rendang, paru masak tiga rasa serta sambal kerang menjadi menu pilihan pelanggannya.

''Nasi lemak ini sebenarnya bergantung kepada santan yang digunakan dan yang membuatkannya lebih sedap apabila dihidangkan di atas daun pisang.

''Lauk-lauk sampingan sebenarnya untuk menyedapkan lagi nasi lemak tersebut dan apa pun samballah yang menentukan kehebatan sesuatu nasi lemak,'' ujarnya ketika ditemui di Putrajaya, baru-baru ini.

Jelas Mastar, setelah melibatkan diri selama 15 tahun dalam bidang ini, dia berasa puas kerana nasi lemak yang disajikan terus mendapat sambutan.

''Apa yang memuaskan hati setiap tukang masak ialah apabila melihat apa yang disediakan begitu disukai pelanggan.

''Rasa penat bekerja seharian akan hilang, seronok berniaga rasanya,'' tambah Mastar.

Mastar yang dibantu isteri-isterinya, Jamilah Shahir dan Suzrina Mohd. Sabri bangun seawal pukul 4 pagi untuk memulakan kerja-kerja memasak.

Nasi lemak kukus daun pisang ini menggunakan resipinya sendiri dan setiap hari Mastar pastinya menyediakan 90 kilogram (kg) nasi, 20 kg lauk dan 100 kg ayam.

Menurut beliau lagi, nasi lemak kukus daun pisangnya hanya dijual untuk sarapan bermula pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari.

Nasi lemak yang disajikan dengan ayam dara goreng berempah dijual dengan harga RM5.50 sementara bersotong (RM3.50).

Bagaimanapun anda boleh membeli nasi lemak kukus daun pisang Mastar serendah RM1.20 sebungkus (biasa) dan juga boleh mencecah sehingga RM9 sebungkus (pelbagai jenis lauk).

''Kini saya dalam perancangan untuk membuka restoran Nasi Lemak Kukus Daun Pisang Mastar selain bercita-cita menjadikannya sebuah perniagaan francais,'' katanya mengakhiri bualan.

Bagi yang ingin menikmati atau membuat tempahan, boleh hubungi 016-672 5543 atau www.mastarcatering.com.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI