AS dilanda ribut Snowmaggedon

Monday, February 08, 2010

AS dilanda ribut Snowmaggedon

Ribut salji terburuk yang membawa salji tebal yang diberi gelaran Snowmaggedon merentasi pantai timur Amerika Syarikat (AS) semalam, melumpuhkan Washington dan rantau tersebut.

Ia turut mengakibatkan bekalan elektrik kepada 350,000 penduduk terputus dan menyebabkan dua orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya.

Ribut besar itu menjangkau lebih 1,000 kilometer dari timur Indiana merentasi New Jesey dan kemudiannya turun melalui Maryland sehingga South Carolina, yang menjejaskan berpuluh-puluh juta rakyat AS.

Dengan tiupan angin hampir mencecah 90 kilometer sejam, ahli kaji cuaca menyatakan ia telah mencatat rekod turunan salji setinggi 96 sentimeter berhampiran Baltimore, Maryland iaitu satu rekod bersejarah.

Salji tebal turut menumbangkan pokok dan memutuskan bekalan elektrik menyebabkan lebih 350,000 orang di Maryland dan kejiranan Virginia kini hidup tanpa bekalan elektrik.

"Snowmageddon kini berada di DC," kata Presiden Barack Obama dalam ucapannya kepada Demokrat, setahun selepas menegur ibu kota itu atas langkah waspada mereka terhadap salji kecil.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) meletakkan kawasan metropolitan Washington-Baltimore di bawah amaran ribut salji luar biasa sehingga pukul 10 malam tadi (11 pagi waktu Malaysia).

Agensi ramalan kaji cuaca memberi amaran kepada penduduk supaya duduk di rumah serta mengingatkan tidak akan berlaku perubahan cuaca sepanjang hari ini dan suhu yang sejuk akan menyebabkan salji bertukar menjadi ais.

"Secara formalnya ia tidak memecah rekod di DC, tetapi secara tidak formalnya anda yakin ia akan memecah rekod," kata Paul Kochin, pakar cuaca di timur laut kepada AFP.

Menurutnya, Maryland dan Virginia merupakan kawasan paling terjejas teruk akibat ribut salji ini dan dianggarkan mencatat rekod turunan salji tertinggi.

Pasukan kecemasan berusaha keras untuk membaiki bekalan tenaga elektrik yang terputus. Seramai 200 Pengawal Kebangsaan telah ditempatkan di seluruh Maryland, sementara polis Virginia mengesahkan seorang ayah bersama anak lelakinya terbunuh kelmarin ketika cuba membantu kenderaan yang terperangkap. - AFP

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI