Eropah amal diskriminasi agama

Tuesday, May 04, 2010

Sentimen anti-Islam semakin meningkat di Eropah sejak kebelakangan ini.

Yang terbaru, Parlimen Belgium pada 29 April lalu meluluskan undang-undang mengharamkan pemakaian purdah dan burqa di tempat awam di negara itu.

Belgium merupakan negara pertama di Eropah yang mengharamkan purdah dan burqa atas alasan keselamatan dan mempertahankan hak kebebasan rakyat.

Undang-undang itu yang akan dikuatkuasakan beberapa minggu lagi, meliputi larangan memakai purdah dan burqa di jalan raya, taman awam dan tempat sukan serta bangunan perkhidmatan awam.

Mereka yang melanggarnya pula akan berhadapan dengan denda antara 15 hingga 25 euro (RM63 hingga RM106) dan penjara selama tujuh hari atau kedua-duanya sekali.

Undang-undang itu yang diluluskan hampir sebulat suara oleh Parlimen Belgium menggambarkan meningkatnya sentimen dan kempen anti-Islam di kalangan pihak berkuasa di Eropah, walaupun undang-undang seperti itu mendapat bantahan penduduk Eropah sendiri.

Pemimpin Islam di Eropah dan Amnesty International mengutuk pengharaman tersebut, sambil menyifatkan pengharaman itu melanggar hak-hak kebebasan bersuara dan beragama bagi wanita.

Sentimen serupa turut berlaku di beberapa negara Eropah yang lain seperti Sweden dan Perancis apabila Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy sendiri mengetuai kempen di negaranya menentang pemakaian purdah dan burqa.

Sarkozy mahu menguatkuasakan segera undang-undang itu dengan alasan ia bertentangan dengan nilai negara tersebut.

Persoalannya, apakah pengharaman purdah itu benar-benar dilakukan atas tujuan keselamatan seperti yang digembar-gemburkan atau ia ada 'udang di sebalik batu'.

Di Eropah sekarang, kebanjiran pendatang asing dari negara-negara Asia Barat telah menjadi masalah utama di kebanyakan negara Eropah dan pendatang asing ini sering dikaitkan dengan isu keselamatan, jenayah dan keganasan.

Undang-undang tersebut dilihat semata-mata untuk mengenakan tekanan terhadap pendatang asing ini dengan memberi alasan ia perlu bagi mempertahankan nilai-nilai yang menjadi amalan majoriti penduduk di negara mereka.

Walau apapun, motifnya, sama ada ia bagi menyekat kebanjiran penduduk Asia Barat ke negara-negara Eropah atau ia dilakukan untuk tujuan keselamatan, ia tetap merujuk kepada Islam kerana kebanyakan penduduk Asia Barat yang memasuki Eropah adalah penduduk Islam yang dirujuk Eropah sebagai kumpulan yang sering dikaitkan dengan keganasan.

Inilah sikap double standard negara Barat, sering mengkritik negara lain kerana mengamalkan diskriminasi dan mengecam negara-negara membangun berhubung isu hak asasi manusia.

Pada satu ketika, mereka menonjolkan imej sebagai juara hak asasi manusia dan menentang diskriminasi, sedangkan hakikatnya mereka sendiri menyekat kebebasan, mengamalkan diskriminasi dan menafikan hak asasi penduduknya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI