Skim Smart Kutu: SSM kesan tiga lagi syarikat

Friday, May 14, 2010

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah mengesan tiga lagi syarikat dipercayai terlibat dalam skim smart kutu, selain empat syarikat yang didedahkan sebelum ini.

Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan SSM, Muhamad Redzuan Abdullah berkata, pihaknya kini memantau syarikat terbabit dan kemungkinan mempunyai kaitan dengan empat syarikat yang didedahkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Selasa lalu.

“Syarikat terbabit didapati menggunakan promosi di Internet bagi menarik orang ramai menyertai skim pelaburan mereka.

“Mereka dipercayai melakukan penipuan dan memperdayakan orang ramai khususnya pelabur Bumiputera dalam mencari keuntungan menerusi skim itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Ismail Sabri sebelum ini mendedahkan, keempat-empat syarikat di Johor dan Kedah itu telah disiasat sejak tiga bulan lalu berikutan maklumat yang diterima daripada orang ramai.

Isnin lalu, SSM membuat serbuan ke atas premis Aeroswift Consultancy Sdn. Bhd. yang berpangkalan di Kulim kerana disyaki melakukan penipuan membabitkan skim pelaburan burung layang-layang dengan wang pelaburan mencecah RM400,000.

Menurut Redzuan, selain membawa tiga syarikat terbabit ke mahkamah, pihaknya juga akan membatalkan lesen perniagaan mereka jika didapati terlibat dalam penganjuran skim cepat kaya.

Dalam pada itu, Redzuan menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan penganjur pelaburan smart kutu.

“Pelaburan ini terbukti tidak berdaftar sebagai pengantara pasaran modal atau pengutip wang deposit daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC) atau Bank Negara Malaysia (BNM) malah aktiviti dan jenis pelaburan yang dijalankan juga mengelirukan orang ramai.

“Kita tidak nampak orang ramai perlu melabur dalam skim ini,” katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI