BN gagal pertahan kerusi Sibu

Monday, May 17, 2010

Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sibu apabila calonnya, Robert Lau Hui Yew tewas kepada calon DAP, Wong Ho Leng dengan majoriti 398 undi pada pilihan raya kecil kawasan itu, hari ini.

Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Ho Leng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Assek mendapat 18,845 undi, Hui Yew memperoleh 18,447 manakala calon Bebas, Narawi Haron mendapat 232 undi dan 395 undi rosak.

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Sibu, Wong See Meng pada pukul 10.45 malam di Dewan Suarah, di sini sebaik sahaja kesemua 111 peti undi selesai dikira, termasuk undi pos yang terakhir dikira.

Jumlah pengundi yang keluar mengundi ialah 32,742 iaitu mewakili 59.86 peratus daripada 54,695 pengundi berdaftar bagi pilihan raya yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew.

Jumlah itu sangat rendah untuk sebuah pilihan raya kecil kerana pada Pilihan Raya Umum 2008, peratus keluar mengundi Parlimen Sibu ialah 67.7 peratus.

Hoi Chew yang merupakan penyandang kerusi Sibu selama lima penggal sebelum ini telah menewaskan calon DAP yang sama, Ho Leng dalam pilihan raya umum itu dengan majoriti 3,235 undi.

Antara pemimpin DAP yang hadir bagi meraikan kemenangan Ho Leng ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan para penyokong yang menanti di dalam hujan renyai-renyai di luar pagar dewan.

Sepanjang kempen berlangsung sejak 8 Mei lalu, kepimpinan BN berusaha keras meyakinkan pengundi mengenai komitmen kerajaan untuk membantu mengatasi masalah penduduk seperti banjir, pendidikan sekolah Cina dan prasarana yang lebih baik di pedalaman.

Bagaimanapun, usaha itu tidak memberi banyak kesan, terutama di kawasan pengundi Cina yang lebih mengharapkan calon pembangkang untuk mewakili mereka di Parlimen.

Tindakan pembangkang yang memainkan isu-isu sensitif, perkauman dan membenci pemimpin tertentu berjaya memberi kesan kepada penduduk Sibu yang menjadi agak keliru dengan cara 'politik baru' oleh pemimpin pakatan pembangkang dari Semenanjung.

Oleh RIDZWAN IMAN, FAUZI JAAFAR, SOPI SOMALIE dan HASNURUL MASJURINA MOHAMED

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI