Waris ke-7 Mahsuri sanding di Langkawi

Wednesday, May 12, 2010

Waris keturunan ketujuh Mahsuri, Wan Aishah Nawawi, 23, dan suami, Alee Tongyon, 27, belum bercadang menimang anak dalam tempoh terdekat, sekali gus melenyapkan hasrat orang ramai mahu melihat keturunan kelapan legenda itu.
Wan Aishah berkata, hasratnya dan suami untuk memiliki cahaya mata selepas berkahwin pada 23 April lalu tetap ada, namun bukan dalam tempoh terdekat.


“Kami baru berkahwin kira-kira dua minggu lalu di Phuket, Thailand. Belum ada apa-apa (mengandung). Bagaimanapun, jika ada rezeki, saya terima dan dia akan menjadi penyambung keturunan kelapan Mahsuri.


“Kehadiran anak pengikat kasih sayang, sekali gus melengkapkan kebahagiaan rumah tangga kami,” katanya menerusi seorang penterjemah selepas majlis Kembara Kasih di jeti pelancongan di sini, malam kelmarin.


Terdahulu, pada majlis mulai jam 9 malam itu, Wan Aishah dan Alee diarak sejauh 500 meter dari hotel penginapan diiringi 50 ahli Langkawi Pirate’s Bikers yang menaiki motosikal berkuasa tinggi.


Sejurus tiba di pekarangan Kompleks Jeti Pelancongan, pasangan mempelai yang mendapat jolokan ‘Puteri dan Putera’ itu disambut paluan gendang peribumi dan perarakan bunga manggar.


Hadir sama menyaksikan persandingan dan menyertai upacara merenjis termasuk Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Paduka Abu Bakar Taib; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuah, Datuk Nawawi Ahmad dan Adun Ayer Hangat, Mohd Rawi Abdul Hamid.

Turut serta dalam acara sama, datuk Wan Aishah, Wan Hashim Wan Hussain, 72; ibunya, Sumaini Yaji, 46, dan bapanya, Nawawi Wan Hashim, 46.

Pasangan yang didatangkan khas dari Kampung Kemala, Phuket itu begitu teruja apabila upacara merenjis turut disertai pelancong asing yang sebelum itu tertarik menyaksikan adat dan budaya Melayu secara dekat.

Selain tetamu dihidangkan jamuan makan malam dengan menu nasi putih dan kari daging, majlis turut dimeriahkan dengan persembahan tarian dan nyanyian oleh artis tempatan.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI