Piala Thomas - Malaysia VS Denmark - Malaysia menang

Thursday, May 13, 2010

Mohd. Hafiz Hashim, pemain perseorangan ketiga, dijulang sebagai wira selepas menghadiahkan mata kemenangan buat skuad Piala Thomas negara semalam.

Pada aksi suku akhir menentang Denmark di Stadium Putra, Bukit Jalil itu, skuad negara seakan-akan berada di ambang penyingkiran ketika kedudukan terikat 2-2.

Bagaimanapun, Hafiz menyelamatkan maruah skuad negara di hadapan ribuan penyokong sendiri dengan menyumbang mata ketiga, sekali gus mengesahkan kemaraan Malaysia ke saingan separuh akhir.

Hafiz menghadirkan gegak gempita di Stadium Putra apabila menumbangkan Joachim Persson hasil kemenangan straight set 21-12, 21-10.

“Sudah pasti saya cukup berasa gembira dengan kemenangan ini selepas semalam (kelmarin) saya gagal untuk berbuat demikian.

“Sebenarnya, saya berasa selesa apabila diturunkan sebagai pemain penentu seperti ini kerana saya mendapat peluang bagi menebus kehampaan sebelum ini, sekali gus membuktikan kemampuan saya.

“Saya akan kekalkan rentak permainan saya ini dan sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi sesiapa sahaja pemain perseorangan China di peringkat separuh akhir nanti,” jelas Hafiz.

Kehebatan Hafiz itu turut diakui oleh lawannya, Persson yang mengganggap bekas juara Seluruh England tersebut berhak untuk meraih kemenangan

“Dia (Hafiz) bermain dengan begitu baik sekali sehingga kerap kali memerangkap saya untuk melakukan kesilapan.

“Saya cuba untuk menukar strategi permainan tetapi Hafiz berjaya membacanya sehingga tamat perlawanan,” katanya.

Terdahulu, skuad negara memperoleh mata pertama menerusi pemain perseorangan pertama, Datuk Lee Chong Wei yang mudah mengenepikan Peter Hoeg Gade 21-17, 21-17.

Rentak kecemerlangan itu diteruskan beregu utama negara, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong yang membenam cabaran Carsten Mogensen/Mathias Boe 21-17, 21-19.

Begitupun, kem skuad negara tersentak seketika apabila Wong Choong Hann yang turun selaku perseorangan kedua tewas di tangan Jan O Jorgasen 22-20, 16-21, 18-21.

Selepas Choong Hann, giliran pasangan ‘bidan terjun’, Mohd. Zakry Abdul Latiff/Hoon Thien How pula dikecewakan oleh Laars Paaske/Jonas Rasmussen 26-24, 12-21, 19-21 sebelum Hafiz memberi mata kemenangan buat skuad negara.

Skuad negara dijadualkan berdepan China dalam saingan separuh akhir esok.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI