Drama Dottie - Nor Syuhaida

Friday, July 02, 2010

Bukan mahu menyindir atau sengaja mempersenda bentuk badan mereka yang berisi, drama terbaru Astro Megadrama, Dottie bagaimanapun mempunyai mesej positif. Berbeza daripada karya lain yang menggunakan aktres berbadan ramping, Dottie mengangkat pelakon berisi yang sejajar dengan jalan ceritanya.


Menceritakan kisah gadis ceria bernama Dottie, dia tidak menjadikan saiz badannya sebagai penghalang dalam hidupnya. Mahu menjadi pengacara TV, Dottie lakonan Nor Syuhaida pada mulanya diketawakan kerana bentuk badannya.

Namun, kecekalan dan keikhlasan telah memberi Dottie peluang. "Drama ini bukan untuk mengetengahkan kekurangan orang. Watak Dottie adalah untuk menyakin penonton yang mengalami masalah berat banda untuk hidup secara positif.

"Jangan anggap saiz badan itu sebagai penghalang. Kami mahu memberikan mesej dan bukannya sebagai bahan sindiran atau ketawa," kata pengarahnya, Ghaz Abu Bakar ketika ditemui pada sidang media mempromosikan drama tersebut.

Turut diarahkan oleh Nizam Zakaria, drama sebanyak 13 episod itu mengambil risiko dengan pemilihan pelakon yang tidak pernah terlibat dalam mana-mana produksi. Menurut Ghaz, Nor Syuhaida dipilih menerusi satu sesi uji bakat.

"Seramai 15 orang datang sesi uji bakat itu. Disebabkan perwatakan dia yang bersesuaian dengan skripnya, Nor Syuhaida dipilih. Memang dia tidak pernah berlakon atau muncul dalam iklan. Jadi sebelum penggambaran, kami ada memberikan sedikit kelas lakonan kepada Nor Syuhaida.

"Pada hari penggambaran pertama, Nor Syuhaida yang terlalu gementar menangis. Namun, selepas itu dengan bantuan pelakon senior, lakonan dia bertambah baik."

Bagi Nor Syuhaida, dia tidak pernah menyangka dirinya akan menjadi tunjang utama dalam drama. Ditambah ini merupakan percubaan pertamanya. "Dulu masa zaman persekolahan, saya ada berlakon teater. Tapi kalau hendak berlakon secara komersial, ia tidak pernah terlintas dalam otak saya.

"Semua orang tahu kalau anda mahu aktif dalam dunia lakonan, penampilan serta bentuk badan amat penting. Namun, saya ternampak pengumuman uji bakat pada laman sosial Facebook. Kawan saya yang menyuruh saya untuk mencuba," kata gadis yang berasal dari Taiping, Perak itu.

Selain ingin mencuba nasib, Nor Syuhaida memberitahu minatnya terhadap drama siaran Astro juga menaikkan semangat dia. Jalan cerita yang menarik serta nilai moral juga menjadi salah satu sebab Nor Syuhaida terpikat.

Ditambah dengan dirinya yang sentiasa menjadi mangsa ejekan, dia mahu mengubah persepsi umum terhadap masyarakat bersaiz besar. "Sejak kecil lagi saya memang bersaiz besar dan berat saya kini adalah 83 kilogram.

"Saya sering dipanggil SG (Syuhaida Gemuk) di sekolah. Malah saya masih mengingati satu insiden semasa membeli baju di kedai. Saya dimalukan oleh pekerja kedai yang menyatakan saya akan menggoyakkan pakaian mereka jika saya mencuba.

"Insiden itu amat memalukan. Namun, selepas lama menjiwai watak Dottie, tahap keyakinan saya juga bertambah. Watak ini memang banyak membantu saya secara peribadi," jelasnya yang meminati Adibah Noor.

Dottie bakal disiarkan pada setiap Isnin bermula 5 Julai di saluran Astro Ria (Astro 104) pada pukul 10 malam.

Oleh JESSABELL SOO

1 Komen:

Anonymous said...

best giler cite die

Post a Comment

 

ZONFINITI