Fasha mengaku bercinta dengan Rizal

Thursday, July 01, 2010

Pelakon Fasha Sandha akhirnya mengaku bercinta dengan bekas suami pelakon drama popular, Nora Danish iaitu Toh Muda Rizal Ashram Ramli, sejak Mei lalu.

Bagaimanapun, katanya, bukan niatnya untuk bermain tarik tali mengenai status kisah cintanya dengan jejaka yang mesra dengan panggilan Jejai itu.

“Kami kenal sejak tujuh tahun lalu. Cuma sebelum ini, saya sendiri tidak pasti hubungan di antara kami itu betul menguntum cinta atau hanya perasaan seronok berkawan. Usahanya datang ke Pulau Lang Tengah menjadi kenangan istimewa dan jelas menampakkan kesungguhannya memiliki hati saya.

“Saya boleh katakan memang saya bahagia sekarang ini bersamanya. Beliau cukup istimewa dan kami menerima diri masing-masing seadanya. Beliau boleh saya katakan cinta sejati kedua saya selepas berakhirnya kisah cinta saya dengan Shahril (kekasih pertamanya),” katanya ketika ditemui dalam sidang media pelancaran drama Duyung Aridinata semalam di Ampang.

Ditanya lanjut apakah pengumuman dilakukan sebagai isyarat untuknya mempertimbangkan hasrat menamatkan zaman solo, Fasha mengakui secara jujur sehingga setakat ini topik itu bukan menjadi keutamaan baginya mahupun Jejai.

Bagaimanapun, katanya, beliau ada menerima cincin istimewa daripada Jejai ketika pertemuan di Pulau Lang Tengah sebagai tanda kasih cinta mereka.
“Mengaku atau tak, suka atau tidak, saya yakin apa yang saya umumkan ini bukan tiket untuk saya terlepas daripada terus menjadi bahan cemuhan. Jadi kami tidak payah menyembunyikan lagi selepas ini.

“Begitu juga halnya dengan membabitkan keluarga. Soal keluarga pula sama ada mereka suka atau tidak dengan hubungan kami, ia bukan satu masalah apatah lagi hubungan kami belum sampai ke arah perkahwinan. Cuma masing-masing tahu kami bercinta.

“Saya sendiri tidak menyasarkan bila akan berkahwin. Dulu sepatutnya saya sudah berkahwin, tetapi apakan daya tiada jodoh. Dengan Jejai, kalau ada jodoh, adalah. Biarkan ia terjadi secara semula jadi, ” katanya.

Fasha berkata, penjelasan terbuka yang diberikannya ini bukan sebagai alasan menutup gosip yang mengaitkan Jejai yang kononnya mempunyai hubungan dengan aktres, Tiz Zaqyah.

Oleh Zaidi Mohamad

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI