Bila pasaran saham tidak menentu atau meruap, apakah yang patut dilakukan oleh pelabur saham amanah? Patutkah mereka mengambil lebih banyak risiko dan memanfaatkan pemulihan ekonomi dan pasaran?
Rencana ini membicarakan isu-isu yang perlu diberi perhatian oleh pelabur.
Pada kemuncak krisis kewangan pada 2008, Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) jatuh daripada paras tertinggi 1,516 mata pada Januari 2008 kepada kira-kira 800 mata pada Oktober 2008.
Memandangkan indeks ini melantun semula ke paras semasa pada 1,361 mata pada akhir Julai 2010, pelabur sepatutnya sudah meraih pulangan lumayan lebih daripada 70 peratus jika dia telah melabur semasa pasaran berada pada paras terendahnya.
Namun begitu, ia adalah mustahil untuk meramalkan paras terendah kejatuhan dan justeru itu menentukan masa pasaran adalah mustahil bagi pelabur biasa.
Tanpa bola kristal di tangan untuk menilik pergerakan pasaran pada masa depan, kaedah pemurataan kos ringgit akan memberikan pulangan yang berpatutan kepada pelabur runcit apabila pasaran pulih asalkan pelabur mempunyai perspektif jangka panjang dan cukup sabar untuk mengharungi naik turun pasaran.
Strategi pemurataan kos ringgit bertujuan untuk mengurangkan kemeruapan dengan melaburkan jumlah tetap ringgit pada selang masa yang tetap, tanpa menghiraukan haluan pasaran.
Jadi, apabila harga sekuriti naik, kurang unit dibeli, dan apabila harga turun, lebih unit dibeli.
Bergantung pada profil risiko dan objektif dana mereka, pengurus dana profesional mungkin memanfaatkan kemeruapan pasaran dengan mencari saham murah yang terlebih jual dan menghentikan pelaburan dalam saham yang terlebih nilai.
Dengan berbuat demikian, mereka berhasrat untuk mengambil kesempatan daripada salah harga aset semasa pasaran meruap.
Memandangkan kecanggihan strategi pelaburan ini, pelabur saham amanah hendaklah memfokus kepada pelan pelaburan tetap dan menyerahkan kepada pengurus dana untuk menangani kemeruapan pasaran.
Bagaimana pelabur saham amanah patut memberikan reaksi kepada kemeruapan? Prestasi lalu saham amanah hendaklah dinilai berdasarkan pulangan dan kemeruapan.
Pelabur hendaklah cuba menilai sama ada kemeruapan dana itu disebabkan oleh keadaan pasaran yang menjejaskan prestasi dana yang serupa secara menyeluruh atau sama ada ia disebabkan oleh keputusan pelaburan pengurus dana untuk mengambil lebih banyak risiko.
Ia adalah jelas bahawa sebab utama dana ekuiti meruap pada tahun kebelakangan ini adalah disebabkan kemeruapan pasaran dalam pelbagai aset kewangan.
Seperti yang disebutkan sebelum ini, pasaran saham global mengalami kerugian teruk apabila krisis gadai janji subprima Amerika Syarikat (AS) merebak ke seluruh dunia pada 2008, sekali gus menyebabkan institusi kewangan global menghapus kira hutang berjumlah AS$1.7 trilion.
Selepas ini, ekuiti melantun pada 2009 berikutan tanda-tanda pemulihan dalam aktiviti ekonomi hasil reaksi kepada langkah rangsangan fiskal dan kewangan yang dilaksanakan oleh kerajaan dan bank pusat di seluruh dunia.
Gelembung komoditi juga meletus pada pertengahan 2008, diterajui oleh kenaikan harga minyak mentah yang mencecah paras tertinggi AS$147 setong pada Julai 2008 sebelum menjunam kepada AS$33 setong pada Disember 2008.
Kemeruapan juga disaksikan dalam pasaran pertukaran asing apabila kemerosotan kewangan memaksa pelabur AS menarik balik dana luar pesisir untuk dihantar pulang ke negara asal, lantas menyebabkan nilai dolar AS mengukuh pada 2008.
Ekoran pemulihan dalam pasaran ekuiti diikuti penyusutan dolar AS pada tahun 2009 kerana pelabur bersedia mengambil lebih banyak risiko.
Ketika ini, kemeruapan masih lagi melanda pasaran, bagaimana pelabur boleh merancang pelaburan mereka sebelum meletakkan wang dalam saham amanah?
Kemeruapan sering kali dianggap sebagai sesuatu yang negatif kerana ia dikaitkan dengan risiko dan ketidaktentuan.
Bagaimanapun, dengan pendekatan yang berdisiplin dan konsisten, pelabur boleh meletakkan kedudukan diri mereka untuk mencapai pulangan jangka panjang yang berpotensi diraih daripada pasaran.
Pada umumnya, pelabur yang mahukan pulangan yang melebihi paras purata hendaklah bersedia untuk menerima risiko yang lebih tinggi dalam pelaburan mereka.
Sebelum melabur dalam saham amanah, pelabur hendaklah menilai sama ada kemeruapan dana menepati selera risiko.
Mereka boleh bermula dengan membaca prospektus dan laporan tahunan dana, serta membandingkan angka prestasinya tahun ke tahun.
Daripada angka itu, pelabur boleh mengetahui sama ada dana itu memperoleh kebanyakan pulangannya dalam tempoh yang singkat atau sama ada pulangannya dicapai secara yang lebih konsisten dalam suatu tempoh masa.
Sebagai contoh, dalam tempoh sepuluh tahun, dua dana mungkin mencatatkan peningkatan purata 12 peratus setahun, tetapi kedua-duanya mungkin telah mengambil laluan yang sungguh berbeza untuk mencapai itu.
Satu dana mungkin meraih prestasi cemerlang selama beberapa tahun dan meraih pulangan rendah atau negatif pula selama beberapa tahun, manakala prestasi dana yang satu lagi mungkin lebih stabil dari setahun ke setahun.
Faktor kemeruapan dana
Bagi membantu pelabur dalam pemilihan dana mereka, Persekutuan Pengurus- pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM), yang dahulunya dikenali sebagai Persekutuan Pengurus-pengurus Amanah Saham Malaysia (FMUTM), memperkenalkan faktor dan klasifikasi kemeruapan dana yang ditentukan oleh Lipper untuk dana dengan rekod prestasi tiga tahun.
Meskipun prestasi lalu mungkin tidak dapat meramalkan pulangan masa depan, namun ia boleh memberitahu anda mengenai tahap kemeruapan dana dan menggambarkan rekod prestasi pengurus dana.
Dalam menggunakan faktor kemeruapan dana, pelabur saham amanah hendaklah ingat untuk membandingkan kemeruapan dana dengan pulangan tahunannya.
Selain itu, mereka juga hendaklah menilai pulangan dan kemeruapan dana dalam kategori dana yang setaraf dan tidak meliputi kategori dana yang berbeza.
Kemeruapan saham amanah berbeza-beza bergantung kepada apakah jenis aset yang dilabur dengan dana.
Komoditi dan ekuiti dilihat sebagai lebih meruap berbanding bon dan deposit tetap.
Bagi ekuiti, faktor industri dan sektor boleh menyebabkan kemeruapan pasaran meningkat.
Contohnya, dalam sektor perladangan, ribut besar yang melanda kawasan perladangan penting boleh menyebabkan harga minyak sawit mentah melonjak.
Ekoran itu, harga saham berkaitan minyak sawit juga akan turut melonjak.
Peningkatan kemeruapan ini memberi kesan kepada pasaran keseluruhan dan juga saham individu.
Terdapat saham amanah yang melabur di negara atau wilayah tertentu seperti China, Australia, Vietnam, dan pasaran sedang muncul seperti Brazil, Russia, India dan China (BRIC).
Dana ini mudah terdedah kepada risiko negara seperti risiko politik dan peristiwa kewangan di negara berkenaan.
Pelabur hendaklah mengetahui tentang kemeruapan saham dan bon asing.
Faktor ekonomi yang khusus berkaitan dengan wilayah dan negara, seperti dasar cukai dan kadar faedah, juga menyumbang kepada perubahan haluan pasaran dan dengan itu juga menyumbang kepada kemeruapan.
Pelabur dana komoditi biasanya meneliti keadaan permintaan dan penawaran untuk menilai prospek pasaran komoditi.
Pada 2008, lonjakan dalam harga komoditi adalah sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan permintaan dari China yang dahagakan tenaga dan negara sedang meningkat.
Namun begitu, peningkatan besar dalam permintaan spekulatif di kalangan dana lindung nilai bagi komoditi terpilih menolong melonjakkan harga komoditi ini ke paras tertinggi yang tidak sejajar dengan asasnya.
Ekoran krisis kewangan, dana lindung nilai dipantau dari segi peranannya dalam spekulasi. Sementara itu, permintaan komoditi global dijangka meningkat sejajar dengan pemulihan ekonomi tetapi tiada jaminan bahawa dana lindung nilai tidak akan kembali dan mewujudkan permintaan spekulatif.
Sebagai reaksi kepada krisis kewangan, bank pusat di seluruh dunia telah menurunkan kadar faedah ke paras terendah bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.
Akan tetapi, bank pusat rantau terpilih telah mula menaikkan kadar faedah pada separuh pertama tahun 2010 bagi membendung inflasi yang mungkin berlaku apabila keadaan ekonomi bertambah baik.
Kesimpulannya, pelabur saham amanah boleh menggunakan kaedah pemurataan kos ringgit dalam persekitaran pasaran yang meruap.
Strategi ini akan dapat mengurangkan risiko kemeruapan dengan berkesan kerana ia tidak menetapkan tempoh masa pasaran.
Pemurataan kos ringgit paling sesuai untuk pelabur jangka panjang kerana ia memerlukan pelabur kekal melabur tanpa menghiraukan haluan pasaran.
Bagi pelabur dengan selera risiko yang lebih tinggi, mereka perlu memahami faktor tertentu yang mempengaruhi kemeruapan dalam kelas aset dan kawasan geografi yang berbeza dan memilih dana mereka sewajarnya.
Dengan kerjasama Public Mutual Bhd
Panduan melabur ketika pasaran tidak menentu
Entri Lain
Permalink: Panduan melabur ketika pasaran tidak menentu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment