Pengalaman Menakutkan Identiti Facebook Dicuri

Saturday, October 30, 2010

Berlari meredah stesen tube, Carolyn Owlett berasa jantungnya berdegup kencang lalu panik.



Di belakang kawasan tiket, seorang lelaki yang tidak dikenalinya memekik namanya, menyatakan dia cintakan Carolyn dan mahu bersamanya.

Di dalam tren, ibu kepada seorang anak lelaki itu mula menyedari mimpi ngeri yang mula menyelubungi hidupnya gara-gara penipuan pengguna laman sesawang rangkaian sosial.

"Saya memang takut. Lelaki ini menjerit nama saya dan maklumat peribadi mengenai saya di stesen Oxford Circus, tetapi saya tak tahu apa yang diperkatakannya.

"Dia kata datang dari Belgium untuk bersama saya. Saya cukup takut. Saya menjerit padanya supaya tinggalkan saya. Dia memandang saya dengan begitu terperanjat sekali," kata Carolyn, 26.

Carolyn kemudian mengetahui bahawa seorang wanita berusia 21 tahun di Belgium mencuri identitinya di Facebook.

Wanita itu membuka akaun e-mel dan Facebook menggunakan namanya, mengambil 2,000 gambar di Internet dan mengubah suai sebahagiannya serta menipu rakan dan keluarga Carolyn untuk menjadi 'rakannya.' Carolyn palsu itu yang menggunakan gambar dan butiran maklumat Carolyn yang sebenar, bermain cinta selama 17 bulan bersama Regis Remacle - lelaki di stesen tube berkenaan - malah mendakwa menjadi ibu kepada anak lelaki Carolyn, Billy, 3.

Kisah terbabit mula terbongkar minggu lalu apabila Remacle yang dilamun cinta mengembara dari Brussels untuk menyatakan perasaannya kepada Carolyn secara bersemuka.

Carolyn yang mempunyai teman lelaki berkata akhirnya dia menemui akaun Facebook palsunya itu manakala keluarga dan rakannya juga memang terpedaya dengan penipuan itu.

"Dia mengaku sebagai ibu kepada anak lelaki saya, malah mengadakan seks siber dengan lelaki secara dalam talian.

"Semua kejadian itu membuatkan saya sangat susah hati," katanya.

Carolyn dari timur London ialah penerbit dan penyampai radio serta televisyen. Pada 2004, dia adalah sebahagian daripada kumpulan penyanyi wanita The 411 yang mempunyai dua lagu popular dalam carta.

"Waktu itu memang hebat menjadi sebahagian daripada kumpulan berkenaan dan ada peminat yang membuat laman web kami.

"Saya cukup gembira mereka menghayati muzik kami dan ada kalanya saya sertai forum mereka untuk bersembang.

"Kumpulan itu berpecah pada 2005 dan saya melahirkan Billy pada 2007. "Sebagai ibu baru, saya dapati Facebook memang menarik untuk mencari teman lama dan terus berhubung dengan ibu bapa saya yang tinggal di luar negara," katanya.

Carolyn, salah seorang daripada 26 juta warga Britain yang menggunakan laman sesawang berkenaan, mengakui tidak mempunyai sebarang masalah sehinggalah Jun tahun ini apabila dia menerima satu mesej ganjil daripada seorang lelaki bernama Regis.


"Ia berbunyi 'adakah teman lelaki anda tahu apa yang anda lakukan?' Saya fikir dia tersalah orang jadi saya menghantar mesej kepadanya.

"Saya juga menerima pesanan daripada lelaki di Afrika dan Turki yang memberi gelaran menggoda pada saya.

"Minggu lalu ketika berjalan di stesen Oxford Circus, saya sedar seseorang berjalan sangat rapat kemudian saya dengar ada orang berbisik nama 'Carolyn' di telinga saya. Saya sedar dia adalah orang yang mengekori saya," katanya.

Carolyn berlari meredah stesen berkenaan, meninggalkan lelaki asing itu menjerit namanya. Dialah Regis Remacle, 28, yang bekerja sebagai pereka grafik.

Di dalam tren berkenaan barulah Carolyn teringat mesej pelik yang diterimanya beberapa bulan lalu.

"Sebaik saya keluar dari tren itu, saya menemuinya di Facebook dan teman lelaki saya menghantar mesej padanya, bertanyakan apa yang sedang berlaku. Lelaki itu menjawab dengan pantas dan terbongkarlah segala cerita," katanya.

Selama ini, Remacle percaya dia menjalin hubungan maya dengan Carolyn apatah lagi dia melihat beribu-ribu gambar rakan dan keluarganya, malah tahu tempat dia bekerja.

Tidak hanya seks secara dalam talian bersama 'Carolyn', dia juga bersembang di laman Skype dan membelikannya rantai berlian.

"Regis menghantar berdozen e-mel menunjukkan perbualan 'kami.' Saya rasa sangat kecewa.

"Hubungan saya dengan teman lelaki saya cukup baik dan dia percaya apabila saya katakan hubungan sulit itu hanya rekaan. Tetapi jika kami tidak kuat, perkara ini tentunya memusnahkan kami.

"Saya kasihan pada Regis kerana selama 17 bulan ini dia hidup dalam penipuan yang bukan salahnya," katanya.

Wanita yang menipu identiti itu adalah seorang wanita Belgium yang menggelarkan dirinya Kristella Erbicella, 21.

Remacle kemudian menghubungi Carolyn palsu itu dan Kristella mengaku kesalahannya.

Carolyn menghubungi rakannya dan sebahagian daripada mereka mempercayai Kristella lantas memberikan gambar serta maklumat mengenai Carolyn.

Carolyn menghubungi Kristella dan menghantarnya satu mesej sebelum Kristella menghapuskan semua akaun e-mel, Facebook dan laman sosial lain yang membuatkan sukar untuk menjejakinya.

"Kristella kata dia adalah peminat The 411. Satu ketika ketika dia bersedih, dia mengambil keputusan untuk menggunakan gambar saya dan membuka laman Facebook. Dia mendapat pujian dan itu membuatkan dia rasa gembira lalu dia pun meneruskan laman itu.

"Dia perlu dapatkan maklumat lanjut mengenai saya untuk meneruskan pembohongan itu dan akhirnya, segalanya jadi tak terkawal," katanya.

Malah, Kristella turut mengubah suai gambar Carolyn untuk menggambarkan hubungan fantasinya dengan Remacle.

"Saya tak percaya apa yang saya lihat. Regis dan saya kelihatan seperti pasangan gembira tapi realitinya, kami tidak pernah bertemu. Memang menakutkan apabila mengetahui apa yang Kristella mampu lakukan," kata Carolyn apabila melihat gambar berkenaan.

Dalam salah satu mesej dihantar Kristella kepada Carolyn, dia meminta maaf atas apa yang dilakukannya.

"Saya benar-benar menghormati anda. Anda sentiasa menjadi pujaan saya. Saya minta maaf atas segalanya.

"Sukar bagi saya kerana saya mencintai seseorang manakala saya pula wujud bukan sebagai diri. Saya hanya mahu anda memahami saya dan perasaan saya kini," katanya.

Carolyn menyatakan dia berkomunikasi dengan pusat jagaan Billy menerusi e-mel dan tidak mampu membayangkan pelbagai kemungkinan. Wanita itu mungkin tiba-tiba muncul di pintu pagar dan mengambil anaknya.

"Pengalaman ini menunjukkan pada saya tiada apa yang diletakkan di Internet akan lenyap begitu saja. Kita harus berhati-hati apabila meletakkan gambar anak-anak dan kehidupan kita sendiri di Internet.

"Kita tidak akan tahu siapa yang memerhatikan kita," katanya.



Rahsia Doa Pengasih. Klik sini.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI