Facebook: Bahagia atau bahana?

Sunday, October 17, 2010

“Tak ada facebook? Alah, ketinggalan zamanlah kau ni, tak modenlah.”



Dialog biasa yang kita dengar kalau berani berterus terang kepada teman-teman bahawa kita tidak pernah mewujudkan akaun facebook (FB) sendiri.Pendek kata, kalau mahu berasa seiring dengan masa dan tak mahu ‘dimalukan’ oleh kawan-kawan.

Saya membuka akaun FB pada awal 2009. Saya perlu berterimakasih kepada Mark Zuckerberg kerana mewujudkan laman sosial ini. Di situlah, saya berjaya mencari hampir 100 teman-teman lama sewaktu di alam persekolahan.

Juga berkomunikasi dengan saudara mara, jauh dan dekat. Ada kenduri kendara, ada keluarga bertambah bilangan ahli, kawan-kawan kemalangan dan sebagainya, di sinilah ‘pusat sumber’ kita. Sementelah FB secara percuma, apa yang nak dirisaukan, balun sajalah sampai tutup mata (tidur).

Pun, ada yang tidak senang dengan FB, barangkali mereka yang menerima natijah negatif daripada laman sosial ini.

Saya tidak nafikan, dalam kebaikan yang dibawa, FB turut sama membawa sejuta masalah, gejala negatif dan tidak sihat. Ada orang menjadikan FB sebagai luahan perasaan yang tidak munasabah. Tidak kurang yang mahu menunjuk-nunjuk harta benda, kemewahan dan kesenangan diri.

Lebih dahsyat lagi, ada juga yang menjadikan FB sebagai medium menghina manusia lain tanpa usul periksa. Bicara tanpa bertentang mata, pasti akan ada saja khilaf penerimaannya.

Malah yang lebih keterlaluan, pergaduhan suami isteri pun disampaikan dalam FB. Saya pernah membaca status seperti ini di FB “Dah bertahun-tahun kahwin, sudah banyak aku berkorban, apa yang aku dapat?” Malah, ada yang minta cerai dalam laman sosial ini. Masya Allah. Kalau saya, saya terus menyekat diri daripada menjadi sahabat kepada orang sebegini.

Tak kurang juga ada teman yang telah ‘membuang’ saya daripada senarai secara tiba-tiba, hanya semata-mata kerana saya tidak menjawab soalan dia, “Sudah makan ke belum? Buat apa tu? Sihat ke hari ini?” Huhuhu! Sedih!

Kalau setakat persoalan yang sebegitu dan kebetulan kita tiada masa untuk melayan, apakah ‘berdosa’ kalau kita tidak memberi respons? Entahlah labu!

FB akan membawa kebaikan kalau kita gunakan ia ke arah kebaikan. Tetapi ia menjadi sebaliknya kalau kita menjadikan FB sebagai ruang sembang memudaratkan.

Justeru, berhati-hatilah untuk menerima teman yang memohon berada dalam list anda. Tak semua yang mendaftar sebagai teman itu ikhlas dan jujur. Ada juga yang hanya mahu menjadi pengintip, mencari kelemahan dan kekurangan kita, kemudian menyebarkannya kepada pihak lain.

Ada juga yang masuk ke senarai kita hanya semata-mata untuk menulis yang bukan-bukan. Isu perkauman, isu lucah, isu politik yang merapu, macam-macam lagi onar.

Berselindung di sebalik nama palsu, gambar metafora dan fotografi unik, orang seperti ini tidak boleh berada dalam senarai teman sosial kita. Ia hanya akan mengundang seribu kemungkinan yang kita sendiri tidak boleh jangkakan.

Oleh itu, terimalah kawan yang anda sudah pasti membawa kebaikan, memberi motivasi dan berinteraksi dengan darjah silaturahim yang tinggi. Walaupun hanya berteman di alam maya, adalah sangat penting untuk kita mempunyai teman sosial yang baik.

Seperti nasihat seorang abang senior saya “Layanlah orang dengan betul dan yang betul-betul orang sahaja, ya Along.”

~ Utusan

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI