KRU studios dominasi pencalonan FFM23

Tuesday, October 19, 2010



FESTIVAL Filem Malaysia ke-23 (FFM23) yang akan berlangsung pada 24 Oktober ini menyaksikan KRU Studio muncul sebagai syarikat produksi yang paling banyak menerima pencalonan dalam festival itu.
KRU Studio misalnya, menerima paling banyak pencalonan iaitu bagi 12 kategori bagi filem terbitan mereka yang berjudul Magika termasuklah bagi kategori Cerita Asal Terbaik dan Filem Komedi Terbaik.

Selain Magika, syarikat produksi milik bumiputra itu turut mempertandingkan dua lagi filem mereka bertajuk Jin Notti yang menerima dua pencalonan iaitu bagi kategori Pereka Kostum/Busana Terbaik dan Penataan Seni Terbaik.

Sementara itu, sebuah lagi filem terbitan KRU Studios iaitu My Spy pula mendapat tiga pencalonan bagi kategori Pereka Kostum/Busana Terbaik, Lagu Tema Asal Terbaik dan Filem Komedi Terbaik.

Menurut Pengarah Urusan KRU Studios, Norman Abdul Halim, dia tidak menduga mendapat 17 pencalonan keseluruhan buat tiga filem terbitannya itu memandangkan saingan yang sengit daripada filem lain seperti Estet.
“Ini adalah pencapaian terbaik KRU Studio setakat ini. Saya tidak sangka mendapat banyak pencalonan dalam FFM23 kerana filem-filem kami bersaing dengan banyak filem lain yang hebat seperti Estet dan Lagenda Budak Setan.

“Saya tidak boleh menjangkakan berapakah trofi yang akan diraih daripada tiga filem terbitan kami itu tetapi pencalonan seperti ini pun sudah dianggap sebagai suatu pencapaian yang baik. Kalau menang saya anggapnya sebagai bonus.

“Ia akan memberi semangat kepada kami. Apatah lagi, Magika adalah filem pertama arahan Edry Abdul Halim di mana selama ini dia kurang menonjol selepas 18 tahun terbabit dalam bidang seni,” katanya kepada Hits sewaktu ditemui selepas sidang akhbar FFM23 di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Pada sidang akhbar di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) itu, sempat meluahkan rasa kecewanya apabila pelakon Diana Danielle tidak dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik atas penampilannya menerusi filem Magika.

Katanya, dia menjangkakan nama Diana akan disenarai dalam Top 5 kategori tersebut memandangkan lakonannya yang mantap menerusi filem dengan kos penerbitan dan promosi yang mencecah RM2 juta itu.
“Apa pun saya tetap menaruh harapan agar Magika akan meraih banyak anugerah. Setakat ini sambutan tayangannya agak memberangsangkan dengan kutipan tiket mencecah RM3.3 juta selepas tiga minggu ditayangkan.

“Pada masa sama, saya tidak menaruh harapan yang tinggi terhadap filem Jin Notti dan My Spy untuk memenangi anugerah dalam FFM23 kerana saingan mereka amat sengit,” ujarnya.

Selain Magika, filem Estet arahan Mamat Khalid pula antara filem yang menerima banyak pencalonan iaitu lapan pencalonan termasuklah bagi kategori Pelakon Harapan Lelaki, Pelakon Pembantu Lelaki dan Cerita Asal Terbaik.

Mamat Khalid yang ditemui berkata, dia bersyukur kerana Estet dicalonkan dalam banyak kategori termasuklah pelakon wanitanya yang berketurunan India, Jasmine Michael bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik.

“Saya harap Estet akan membawa kejayaan dengan memenangi beberapa anugerah dalam kategori yang dipertandingkan. Saya harap dengan adanya elemen 1Malaysia yang diterapkan dalam filem ini akan menarik perhatian juri.

“Ini kerana, ia sesuai dengan senario sekarang ini biarpun idea untuk menzahirkan semangat 1Malaysia ini saya fikirkan beberapa tahun lalu iaitu sebelum kempen ini dimulakan oleh kerajaan lagi,” jelasnya.

Oleh ABD. AZIZ ITAR

Rahsia Doa Pengasih. Klik sini.
Layari : Zonfiniti

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI