Ili Zawani Ismail merupakan Pengarah Eksekutif Naturalife Solution Sdn Bhd yang juga pemilik FCC (Farmasi Colour Cosmetic)
Biodata Profil Ili Zawani Ismail
NAMA: Ili Zawani Ismail
ASAL: Selangor
PRINSIP HIDUP: Jika ada kemahuan, pasti ada jalan
MAKANAN KEGEMARAN: Laksa Pulau Pinang terutama masakan ibu serta masakan Melayu yang pedas dan masam.
MINUMAN KEGEMARAN : Teh panas, Milo ais dan jus jambu batu.
IDOLA: Sebaik-baik contoh sudah tentu Rasulullah SAW. Dari segi kesungguhan dan kreativiti saya mengagumi Steve Jobs dan Warren Buffet.
NEGARA YANG INGIN DIKUNJUNGI: Afrika Selatan, Maldives dan Yaman serta ingin berkunjung lagi ke Madinah, MAkkah dan Turki
PENCAPAIAN: Bendahari Kehormat Peniagawati sejak 2009, dan ahli termuda memegang jawatan EXCO Anugerah Gadis Ikon (Keusahawanan) anjuran Utusan Karya Sdn Bhd
-------
Bergelar Pengarah Eksekutif Naturalife Solution Sdn Bhd pada usia 20 tahun tentunya memberikan pengalaman berbeza kepada wanita kelahiran Selangor ini. Di saat remaja lain masih tercari-cari kerjaya atau sedang mengikuti pengajian ketika itu namun dia terpaksa memikul tanggungjawab besar menerajui perniagaan.
Semuanya bermula ketika Ili Zawani yang mesra disapa Wani sedang menduduki pengajian tahun akhir jurusan perakaunan, The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) di Kolej Universiti Sunway. Bapanya, Ismail Kamin memerlukan seseorang yang boleh dipercayai untuk menguruskan syarikat yang baru dibuka dan meletakkan harapan kepadanya.
"Pada mulanya, saya rasa tertekan kerana tidak yakin dengan kemampuan diri. Apatah lagi saya tidak mempunyai pengalaman dan ilmu dalam perniagaan. Tapi kata-kata semangat dan nasihat daripada orang sekeliling terutama keluarga memberi motivasi dan kekuatan pada saya untuk menyahut cabaran dan membuktikan saya mampu menjalankan amanah ini dengan baik," ujarnya.
Walaupun bercita-cita menjadi seorang yang berpengaruh dalam industri kewangan dan bercadang memiliki perniagaan sendiri dalam bidang fesyen dan makanan segera, Wani mengakui sangat bertuah kerana percaturan hidupnya bermula di landasan yang betul, sedangkan pada usia begini kebanyakan rakan masih tercari-cari arah dan tujuan hidup namun Wani berjaya menjadi pemimpin dalam sebuah organisasi perniagaan kosmetik.
Percaya wanita dan kecantikan tidak dapat dipisahkan, bagi pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Perakaunan Universiti Oxford Brookes, mengakui keputusan menceburi perniagaan kosmetik bermula selepas mengikuti lawatan di sebuah ekspo kecantikan. Dari situ dia mula tertarik dengan produk FCC kerana merasakan begitu dekat di hati.
"Apa yang membuatkan saya yakin adalah pada kualiti produk dan harga yang mampu dimiliki semua. Saya juga turut mencuba dan mendapati tekstur sangat ringan dan selesa sehingga merasakan seperti tidak memakai bedak. Lebih penting dan menambah keyakinan kerana FCC mempunyai dua sijil halal antarabangsa dan dalam proses mendapatkan sijil halal tambahan ketiga di Malaysia bagi meningkatkan keyakinan pengguna Malaysia," jelasnya.
Tidak berhenti di situ, Wani turut melawat kilang kosmetik FCC di Istanbul Turki dan ternyata penghasilan menggunakan teknologi tertinggi, sistematik dan bersih adalah di antara ciri yang menyebabkan dia tidak menoleh ke belakang untuk menceburi perniagaan ini.
Lebih penting, semua produk termasuk rangkaian bedak asas, bedak debu, bedak padat, gincu, pembayang mata, pemerah pipi dan maskara sesuai untuk semua jenis kulit sama ada cerah, gelap dan sawo matang. Malah pelbagai maklum balas positif daripada pelanggan memberi keyakinan dan semangat kepadanya untuk terus bertahan dan memastikan FCC menjadi pilihan utama wanita. Apatah lagi harganya sangat berpatutan iaitu antara RM9.90 sehingga RM69.90 saja.
Tekad hadapi cabaran
Selepas bersetuju membawa produk ini ke Malaysia, cabaran pertama yang terpaksa dihadapi adalah meyakinkan diri yang dia mampu menggalas tanggungjawab diberi. Dalam hal ini pergaulan dengan ramai kenalan tanpa mengira usia banyak membantu dirinya menjadi lebih matang.
"Ramai menyatakan usia bukan ukuran dan penghalang kejayaan. Semuanya bergantung kepada minda. Jika kita memberi banyak alasan kita tidak akan ke mana. Jadi dari situ saya sedar saya perlu mengambilnya sebagai sesuatu yang positif. Lagipun, saya percaya dalam hidup kita tidak selalunya dapat apa yang kita inginkan, kerana Allah memberi berdasarkan keperluan bukannya kemahuan," katanya.
Sebagai usahawan muda, Wani banyak belajar mengenai proses mengimport produk, mengatur masa kerana zon waktu yang berbeza dengan pengeluar di Istanbul, perlu memahami permintaan pasaran, warna yang bersesuaian dengan wanita Asia dan pengurusan sumber manusia.
Walaupun pernah berdepan cabaran apabila isu nama bersamaan ejaan dengan farmasi menjual ubatan dan penjualan terpaksa dihentikan sementara, semuanya kembali pulih apabila menerusi kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata sepakat dicapai dan kini produk ini dikenali sebagai FCC iaitu singkatan dari Farmasi Colour Cosmetics.
Wani juga tidak gentar pada persaingan dan menganggap ia lumrah dalam perniagaan. Baginya persaingan satu tekanan yang sihat kerana akan menyebabkan individu berusaha menjadi lebih baik dan memperbaiki kelemahan diri.
Jika ada yang berkata wanita ini beruntung kerana dilahirkan dalam sebuah keluarga mewah, tidak perlu bersusah payah, tetapi sebenarnya itu tanggapan silap. Menurut Wani dia dan keluarga dulunya pernah melalui zaman sukar.
"Namun saya bersyukur kerana apa yang diperoleh hari ini datangnya daripada Allah dan ibu bapa yang banyak mendidik saya mengenai kehidupan. Kami juga melalui susah senang bersama, sentiasa menjadi tulang belakang serta tidak jemu memberi peringatan mengenai baik buruk setiap keputusan," katanya.
Bagi Wani didikan ibu bapa banyak membentuk peribadi menjadi seperti sekarang. Sejak kecil dia diajar menjadi seorang yang sangat berdisiplin dan menghargai masa. Jika ada kesalahan denda dan rotan adalah hukuman supaya dia tahu perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan.
"Malah ayah memberi tanggungjawab yang banyak kepada saya menjadikan saya lebih matang daripada usia. Sifat ini menyebabkan saya menjadi lebih berdikari dan jarang memberikan alasan sebelum berusaha melakukan sesuatu perkara," jelasnya.
Sukakan gaya ringkas dan sederhana
Melihat penampilannya yang ringkas dan sederhana, anak kedua daripada tiga beradik ini mengakui walaupun gemar pada produk berjenama, dia mementingkan kualiti dan keselesaan. Sejak kecil dia diajar untuk berbelanja kepada barang yang memberi manfaat dan bukan sekadar mengikut trend.
"Sesuai usia yang semakin meningkat, keselesaan menjadi keutamaan. Saya akui sangat sukakan rekaan pereka tempatan seperti Innai Red, Syaiful Baharim dan Rizalman kerana rekaan mereka elegan dan versatil," ujarnya yang suka berehat di rumah bersama keluarga dan bermain dengan kucing kesayangan jika tiada aktiviti di luar.
Selain menjaga penampilan perkara paling utama adalah memastikan wajah bersih daripada solekan, tidur mencukupi serta mengambil makanan tambahan. Dia juga mengelak minuman berkarbonat dan makanan berminyak untuk memastikan wajah sentiasa segar dan sihat.
"Walaupun sibuk dengan tugasan di pejabat, saya akan pastikan mampu mengendalikan tekanan dengan sentiasa berfikiran positif dan tersenyum walaupun sedang dilanda masalah. Kadang-kadang apabila ada masa terluang saya memanjakan diri di spa," katanya.
Dia yang kini banyak meluangkan masa bersama adikberadik di Madrasah Tazkiyah USJ 1 menjelaskan dengan menghadiri majlis ilmu ba- nyak manfaat diperoleh. Ini kerana manusia mudah lalai dan lupa jadi dengan mendengar ceramah agama dapat mengingatkan diri serta berusaha menjadi insan yang lebih baik.
"Saya percaya untuk menjadi Muslimah sejati, tidak cukup hanya dengan menghadiri majlis ilmu. Ia boleh dicapai jika apa yang kita pelajari diamalkan dan diterapkan dalam kehidupan seharian selain memasang niat baik serta ikhlas dalam setiap perkara dilakukan," katanya.
Wani juga sentiasa berpegang kepada prinsip perniagaan yang dijalankan adalah satu ibadat dan untuk itu dia sentiasa menyeimbangkan di antara dunia dan akhirat.
"Contohnya, perniagaan kosmetik halal yang saya usahakan ini sebagai satu fardu kifayah, kerana memberi pilihan kepada wanita Muslimah untuk menggunakan produk yang bersih dalam menjalankan ibadat serta menyediakan rezeki kepada orang lain. Perniagaan juga satu medan dakwah. Biarlah kita berusaha mendapatkan rezeki dan keuntungan secara lebih berkat," katanya.