Pedoman: Rosak umat kerana hati
RASULULLAH SAW bersabda: “Bahawa di dalam tubuh badan manusia itu ada seketul daging, sekiranya baik daging itu maka baiklah seluruh tubuhnya tetapi sekiranya rosak daging itu maka rosaklah seluruh tubuh, daging itu ialah hati,” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Keburukan umat Islam masa kini berpunca kepada kebusukan hati terhadap satu sama lain. Pantang ada yang berjaya maka ada saja yang mula dengki dan busuk hati.
Akibatnya, kemajuan umat Islam tidak ke mana berbanding dengan kaum lain sama ada di negara ini atau di luar negara sekalipun. Bukan sifat dengki saja malah banyak lagi penyakit hati membabitkan umat Islam.
Imam Ghazali menyatakan di dalam kitab 'Ihya' Ulummudin. Hati manusia mampu dikuasai syaitan melalui beberapa cara. Antaranya perasaan marah, apabila manusia mengutamakan nafsu syahwat, sifat bakhil juga kedekut juga terlalu tergopoh-gapah dan tidak istiqamah dalam pelbagai urusan.
Penyakit hati berpunca daripada sifat keji (mazmumah) yang wujud dalam diri manusia, didalangi iblis dan syaitan laknatullah.
Dan syaitan adalah musuh yang sentiasa berusaha untuk memiliki dan menguasai hati serta jiwa anak Adam sehinggalah hari kiamat. Oleh kerana itu, adalah menjadi kewajipan kepada kita untuk memelihara hati daripada dimasuki dan dikuasai oleh syaitan.
Firman Allah SWT dalam surah Ar-Ra'du ayat 28: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah, ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia,”.
Berdasarkan ayat berkenaan, marilah kita memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT kerana zikir itu dapat memberikan ketenangan hati kepada seseorang.
Sebagai seorang hamba yang mengaku beriman kepada Allah SWT, marilah kita membersihkan jiwa daripada sifat mazmumah yang menjadi penyebab kepada berlakunya penyakit hati.
Hendaklah kita sentiasa mengingati Allah SWT dan bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan oleh-Nya kerana dengan cara demikian kita akan dapat menundukkan perasaan tamak haloba, hasad dengki serta pelbagai penyakit hati lain.
“Oleh itu, ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan, dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku),” (Al-Baqarah: 152).
Pedoman: Rosak umat kerana hati
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment