Beg Udara Kereta

Wednesday, December 23, 2009

Beg udara membantu menyelamatkan nyawa pemandu ketika berlaku nahas jalan raya dan mengurangkan kecederaan parah.

Bagaimanapun, timbul perdebatan di kalangan penganalisis permotoran dunia yang mendakwa beg udara kurang memberi perlindungan kepada kanak-kanak disebabkan saiz dan kedudukan mangsa dalam kenderaan ketika kemalangan.

Apabila berlaku pelanggaran, beg udara akan mengembang selaju 322 km/j (200 mp/h), lebih laju daripada kelipan mata dan kelajuan itu mampu mencederakan penumpang jika terlalu dekat dengan beg udara.

Kanak-kanak yang dipangku di tempat duduk penumpang hadapan berisiko tinggi mendapat kecederaan parah jika beg udara mengembang.

Ini kerana saiz kanak-kanak menyebabkan tali pinggang keledar menjadi longgar dan mudah terlucut sekiranya membrek dengan pantas.

Oleh itu, pemakaian tali pinggang keledar mampu menghalang perkara berkenaan berlaku.

Berikut panduan yang boleh diamalkan bagi mengelak kecederaan terhadap kanak-kanak ketika beg udara mengembang:

# Tempat terbaik untuk kanak-kanak di bawah usia 12 tahun adalah di tempat duduk belakang.

# Jangan letak sebarang perhiasan di tempat beg udara tersimpan.

# Kerusi kanak-kanak perlu diletakkan membelakangi kawasan beg udara mengembang di kerusi penumpang belakang.

# Kanak-kanak seharusnya berada di dalam kerusi keselamatan sekurang-kurangnya sehingga berusia satu tahun.

# Kerusi kanak-kanak perlu dipasangkan dengan betul.

# Beg udara sisi juga berfungsi dengan cemerlang terhadap penumpang dewasa, tetapi tidak kepada kanak-kanak.

# Periksa buku panduan kenderaan mengenai keupayaan beg udara sisi dan jarak selamat bagi kanak-kanak.

# Sekiranya kanak-kanak duduk di bahagian kerusi penumpang hadapan, jarakkan kerusi ke belakang supaya jarak antara kerusi dan beg udara tidak terlalu dekat.

# Pastikan setiap kanak-kanak menggunakan tali pinggang keledar dengan betul.

# Elakkan meletakkan barang yang besar dan berat di dalam kereta, sebaik-baiknya letakkan barang berkenaan di ruang penyimpanan barang di bonet belakang.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI