Menjadi kewajipan bagi mereka yang kufur kembali segera kepada Islam dengan mengucap dua kalimah syahadat selain menyesali perbuatan yang mengundang kepada gejala kekufuran berkenaan dan bertaubat untuk tidak mengulanginya lagi. Sebelum terjebak ke kancah kekufuran, masyarakat Islam perlu berwaspada dan memelihara segala kepercayaan, perbuatan dan ucapan agar tidak terpesong sehingga dimurkai Allah.
Pengurus Darul Hijrah Islamic Education, Mohd Rasyiq Mohd Alwi, berkata setiap Muslim perlu sentiasa memelihara imannya supaya tidak rosak menjadi kufur atau terkeluar dari Islam.
"Pada masa kini ramai mengambil mudah dan tidak berfikir ketika bercakap sehingga sebahagian ucapan berkenaan secara tidak disedari boleh mengeluarkan mereka dari Islam. Hadis Rasulullah bersabda, "Seseorang hamba jika mengucapkan perkataan (yang merendah, menghina Allah atau syariat) yang tidak dianggapnya bahaya, padahal perkataan itulah yang akan menjerumuskannya ke neraka.
"Murtad atau riddah menurut jumhur ulama, berlaku membabitkan kepercayaan, perbuatan dan ucapan ini termasuklah syak atau ragu terhadap kewujudan Allah, rasul, al-Quran, akhirat, syurga, neraka; menyembah selain dari Allah," katanya.
Beliau memberi syarahan pada Majlis Bicara Ilmu, anjuran Lembaga Pembangunan Kedah (Keda) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Masjid Tuan Hussein, Bukit Tukang Jusoh, Pantai Merdeka, Kedah, baru-baru ini. Turut hadir Penolong Pengurus Bahagian Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan Keda, Zupli Hassan dan Imam Ariffin Hashim.
"Bila seseorang memanggil Muslim lain dengan panggilan, 'wahai kafir' atau 'wahai Yahudi' atau 'wahai orang tidak beragama' dengan maksud orang yang diajak bercakap itu Islam, dia dianggap kufur. Oleh itu berfikir panjang dan berlandaskan ilmu sebelum bercakap kerana ia boleh mengundang kemurkaan Allah.
"Sesungguhnya setiap keyakinan, perbuatan dan ucapan yang menunjukkan penghinaan terhadap Allah, kitabnya, rasul, malaikat, ajaran agama, hukum atau ancaman-Nya, adalah kufur. Setiap orang hendaklah menjauhinya," katanya.
Mohd Rasyid berkata, terdapat lima asas bagi mencari keredaan Allah termasuklah beriman dengan segala rukun iman; Islam; berasa diri dipantau Allah; ikhlas dan menjauhkan diri dari bidaah.
"Dalam pada itu, Islam turut menitik beratkan keredaan ibu bapa bagi mencari keredaan Allah. Ini penting kerana pada zaman ini, ramai anak-anak tidak lagi mempedulikan ibu bapa dan setengahnya membiarkan ibu bapa mereka di rumah orang tua. Apabila keredaan ibu bapa tidak diperoleh, bagaimana pula kita mendapatkan keredaan Allah," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Rasyid turut menyentuh ancaman terhadap fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang datang dari pelbagai sudut dan meminta masyarakat Islam menyedarinya.
"Masyarakat Islam di negara ini berdepan dengan serangan pihak tertentu yang mempertikaikan amalan yang dilakukan Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan pelbagai kaedah, itu belum kira mereka yang berfahaman liberal Islam yang cuba mempengaruhi minda golongan yang cetak ilmu Islamnya," katanya.
Oleh Muhd Yusuf Abu Bakar
Berhati-hati ketika berbicara elak terpesong, undang kekufuran
Entri Lain
Permalink: Berhati-hati ketika berbicara elak terpesong, undang kekufuran
Categories Agama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment