Langkah Penjimatan Kerajaan 2014

Tuesday, December 31, 2013

Penjimatan kerajaan

Kerajaan semalam mengumumkan pelaksanaan sebelas langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam bermula 1 Januari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam satu kenyataan berkata, hal itu selaras hasrat kerajaan untuk mengamalkan perbelanjaan yang lebih berhemat pada tahun depan serta langkah penjimat an lain untuk sektor awam yang akan diperkenalkan dari semasa ke semasa berdasarkan kepada keperluan dan keadaan semasa.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas berunding dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Menurutnya, sebelas langkah itu ialah elaun keraian menteri dan timbalan menteri dikurangkan sebanyak sepuluh peratus manakala elaun keraian bagi pegawai kanan gred Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) C ke atas dikurangkan antara lima hingga sepuluh peratus.

Langkah lain ialah pengurangan sebanyak lima peratus kos utiliti elektrik di semua kementerian, jabatan, agensi serta premis kerajaan; kemudahan bayaran tol bagi pegawai kanan gred JUSA C dan ke atas dikurangkan sebanyak RM50 hingga RM100 atau 30 peratus; permohonan baru bagi pengubahsuaian ruang pejabat kementerian, jabatan, agensi serta premis kerajaan dibekukan serta mengetatkan pelantikan juruperunding untuk projek fizikal kerajaan termasuk dalam menjalankan kajian kesesuaian (feasibility study) dengan cadangan pelantikan hendaklah dikemukakan terlebih dulu kepada Jawatankuasa Perancang Pembangunan Negara yang dipengerusikan KSN.

Najib berkata, langkah seterusnya ialah mengurangkan penggunaan syarikat pengurusan acara serta pemberian sagu hati atau cenderamata untuk penganjuran persidangan atau majlis kerajaan yang membabitkan anggota pentadbiran kerajaan dan penjawat awam; pindaan terhadap kelayakan tiket penerbangan domestik dan antarabangsa bagi penjawat awam, sebagai contoh kelayakan bagi penerbangan sektor domestik bagi JUSA C ke bawah ialah kelas ekonomi serta mengurangkan penyediaan makanan dan minuman ketika penganjuran persidangan, seminar, mesyuarat, kursus, bengkel serta sebarang acara rasmi kerajaan.

Perdana Menteri berkata, langkah lain ialah mengurangkan penggunaan kain pemidang bagi penganjuran persidangan, seminar, mesyuarat, kursus, bengkel serta sebarang acara rasmi kerajaan; mengoptimumkan penggunaan ruang pejabat sedia ada untuk mengurangkan sewaan premis pejabat serta yang terakhir, mengaplikasi pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan mengoptimumkan penggunaan Pusat Latihan 1Malaysia (1MTC) serta kemudahan institusi latihan milik kerajaan bagi penganjuran kursus, seminar atau bengkel.


0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI