Teman lelaki Nor Syafikah diburu polis untuk bantu siasatan kematiannya

Monday, December 02, 2013

Polis sedang giat memburu seorang remaja lelaki yang dipercayai merupakan teman lelaki Nor Syafikah Nadia Rusdi.

Bernama melaporkan bahawa remaja itu diperlukan untuk membantu siasatan ke atas misteri di sebalik kematian Nor Syafikah, 14, dan adik-adiknya Nur Izzati Husna, 12, serta Puteri Nurul Akma, 3.

Menurut Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim, remaja itu kini dipercayai berada di Arau, Perlis dan beliau yakin bahawa dia akan dijumpai dalam masa terdekat.

Ahmad turut berkata polis sudah mempunyai bukti-bukti terkini dan saksi bagi membantu siasatan kes tersebut.

Ahmad juga mengesahkan tiga beradik itu tidak bunuh diri kerana terdapat unsur-unsur perbuatan jenayah berdasarkan keadaan mayat Nor Syafikah.

Beliau merayu orang ramai yang mempunyai maklumat atau ternampak kejadian tersebut tampil membantu siasatan.

Semalam, polis mengesahkan bahawa Nor Syafikah mati kerana lemas dan bukannya dirogol dan dibunuh seperti jangkaan awal.

Ini kerana keputusan awal bedah siasat menunjukkan Nur Syafikah didapati lemas kerana mukanya tersembam dalam lumpur.

Mayat Nor Syafikah ditemui tertiarap dalam keadaan separuh bogel di tepi sawah Alor Senibong di Alor Setar pada  petang Sabtu selepas keluar rumah bersama kedua adiknya pada malam Jumaat.

Mayat kedua adiknya pula ditemui sehari selepas itu di dalam terusan MADA Kampung Padang Petani, Langgar iaitu kira-kira 3.5 kilometer dari mayat Nor Syafikah ditemui.

Bedah siasat ke atas mayat kedua adik Nor Syafikah telah dibuat pagi ini.

Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh. ~ Bernama

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI